October, 2012

now browsing by month

 

Kenyataan Media MURSHID Sempena Aidil Adha

Alhamdulillah, sempena dengan sambutan Aidil Adha 1433 Hijrah yang jatuh pada hari Jumaat, 26 Oktober 2012 ini. Pihak Multaqa Asatizah dan Du’at (MURSHID) mengucapkan tahniah kepada seluruh umat Islam di Malaysia khususnya kepada semua calon haji dan hajjah yang sedang mengharungi kemuncak penghambaan dan ibadah kepada Allah di Makkah al-Mukaramah.

Dalam masa yang sama, pihak MURSHID juga mengajak seluruh umat Islam dan masyarakat Malaysia supaya menyelami falsafah atau hikmah di sebalik pensyariatan ibadah haji dan ibadah korban sebagaimana yang dituntut oleh Islam dalam penghayatan sesuatu ibadah.

Paling tidak dua ibadah besar telah disyariatkan dalam bulan Zulhijjah iaitu ibadah haji itu dan ibadah korban sesuai dengan tuntutan syarak. Keduanya adalah merupakan simbolik kepada suatu maksud yang lebih besar dan mendalam serta mampu memberikan kesan kepada umat Islam andai didalami dan difahami.

Ibadah haji adalah ibadah yang menjadi kesinambungan kepada sebuah sejarah agung sebagaimana yang dititipkan oleh Allah dalam al-Quran mengenai perjuangan, pengabdian dan ujian antara hamba-Nya yang salih dengan Tuhan mereka. Ibadah haji dan korban juga boleh dikatakan adalah satu perlambangan kepada penyerahan, pengabdian dan pengharapan yang total kepada Allah.

Aktor-aktor atau watak penting dalam sejarah dan falsafah haji serta korban ini tidak lain tidak bukan adalah Bapa Segala Nabi, Nabi Ibrahim a.s., isterinya Siti Hajar a.s. dan anak mereka Nabi Ismail a.s. Nabi Ibrahim seorang hamba yang taat dan dikasihi Allah SWT diuji dengan ujian yang sangat besar iaitu:

1.    Baginda diminta untuk membawa dan meninggalkan Siti Hajar bersama anak mereka yang baru lahir di sebuah lembah padang pasir yang tiada apa-apa:

“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Mekah) yang tidak ada tanaman padanya, di sisi rumah-Mu yang diharamkan mencerobohinya..” (Surah Ibrahim, ayat 37).

2.    Apabila anak tersebut sudah besar, datang perintah daripada Allah SWT melalui mimpi untuk menyembelih anaknya:

“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?. Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku daripada orang yang sabar.” (Surah Saffat, ayat 102-108).

Dapat kita lihat dalam sejarah bagaimana Siti Hajar menerima ujian tersebut dengan taat, sabar dan reda meskipun ia adalah tindakan yang zalim pada pandangan kasar manusiawi. Meninggalkan seorang wanita yang berstatus isteri bersama dengan anak yang baru dilahirkan tanpa sebarang kemudahan asas termasuk makanan dan minuman sekalipun. Akhirnya segala ritual kesusahan, keperitan dan kepayahan Siti hajar dimuliakan oleh Allah dengan mengangkat ritual tersebut sebagai ibadah rukun kepada umat akhir zaman.

Ismail yang masih muda remaja, apabila diberitahu oleh ayahnya, Nabi Ibrahim bahawa beliau diperintahkan oleh Allah untuk menyembelihnya, anak itu tidak memberontak malah mendesak dan memotivasikan ayahnya untuk melaksanakan perintah Allah itu dengan segera. Meskipun ada gangguan dan bisikan yang kemudian menjadi ritual simbolik kepada pelontaran batu di Jamrah, namun kesemuanya diatasi oleh mereka berdua sehingga penyembelihan berlangsung dan diganti dengan seekor kibas oleh Allah dengan kuasa-Nya.

Read the rest of this page »