June, 2018

now browsing by month

 

Pertemuan MURSHID Dengan Menteri Pendidikan dan Cadangan Serta Perbincangan Ringkas

Pihak MURSHID sempat melakukan kunjungan hormat terhadap YB Menteri Pendidikan, YB Dr Maszlee Malik pada 28 Jun 2018. Dalam pertemuan ringkas itu, kami sempat berbincang dengan mengangkat beberapa cadangan dan idea kepada YB Menteri selain turut menerima beberapa harapan YB Menteri kepada pihak kami selaku Badan NGO Islam. Antara kandungan pertemuan yang dibawa :-

1. Mencadangkan universiti mengiktiraf sumbangan para akademia kepada masyarakat awam dengan memberikan lebih merit untuk sumbangan sedemikian berbanding hanya memberi merit yang berat kepada kajian ilmiah yang disiarkan di jurnal ilmiah, iaitu bagi tujuan kenaikan pangkat. Ini kerana seseorang ahli akademik itu tidak sewajarnya hanya menyumbang dalam ruang yang agak kecil dan sepatutnya membuktikan sumbangannya kepada masyarakat awam yang lebih luas dalam bentuk yang kreatif dan sesuai menurut bidang masing-masing. Kita perlukan lebih ramai lagi, ‘public intellectual’ yang boleh meningkatkan tahap pemikiran, amalan kerja dan budaya masyarakat sama ada secara praktikal, perbahasan dan juga perbincangan.

2. Mencadangkan agar keluaran universiti diperkemaskan dengan ilmu yang lebih praktikal berbanding cenderung kepada teori sehingga kurang jejak dan lambat adaptasi di dalam dunia industri sebenar sehingga banyak ilmu yang dipelajari boleh dianggap kurang relevan dengan praktis industri.

3. Mencadangkan, agar keizinan, latihan dan galakan diberikan kepada pensyarah agar terlibat dalam bidang kepakarannya di luar kampus bagi mempastikan ilmunya sentiasa up-to-date dan kepakarannya terpelihara serta selari dengan perkembangan semasa di luar kampus; sebagai contoh seorang pensyarah undang-undang perlu dibenarkan terlibat dalam syarikat guaman dan sekali sekala terlibat menguruskan kes sebenar di mahkamah. Begitu juga pensyarah di dalam bidang kewangan Islam sebagaimana yang diamalkan oleh sebahagian pensyarah perubatan yang berfungsi sebagai doktor yang aktif di hospital.

4. Semua universiti tempatan mewujudkan ujian Bahasa Melayu bagi semua pelajar tempatan dan antarabangsa, ia penting bagi memartabatkan Bahasa Malaysia selain membuka ruang dan peluang institusi seperti Dewan Bahasa & Pustaka memperkenalkan modul Ujian Bahasa terbabit & juga menyebarluaskan kebolehan Bahasa Malaysia kepada para pelajar asing yang bakal membawa bersamanya balik ke negara mereka.

5. Dewan Bahasa Pustaka kembali memperkenalkan kempen membaca, khususnya kini ketika minat membaca bahan berkualiti dan semi ilmiah menjadi semakin berkurangan, sehinggakan jualan buku turut merudum. Ia juga boleh mempersiapkan masyarakat yang berilmu sesuai dengan cabaran teknologi tinggi dan zaman yang semakin moden kini.

6. Menyediakan satu subjek pengurusan aliran tunai atau ‘cash flow’ dalam format praktikal untuk peribadi dan keluarga, agar semua graduan mengurus kewangan peribadi masing-masing dengan lebih berkesan di samping mampu meningkatkan ilmu masyarakat dalam hal yang kritikal tersebut, ini kerana menurut statistik AKPK, punca kedua tertinggi musibah kewangan dan kemuflisan adalah kekurangan dan lemahnya ilmu pengurusan kewangan peribadi dan keluarga.

7. Mengkaji dan seterusnya jika boleh, menghapuskan system FROG VLE yang menyusahkan para guru, juga ternyata tidak berkesan juga dalam pelaksanaannya, disebabkan alatan yang tidak mencukupi serta murid tiada peluang yang sesuai untuk menggunakannya, ini menyebabkan guru terpaksa berpura-pura ‘login’ bagi pihak murid disebabkan pegawai pendikan yang inginkan nama dan kemenangan bagi sekolah mereka (dalam pertandingan sekolah paling tinggi pengguna online – kononnya), akhirnya ia menambah kerja guru tanpa sepatutnya, malah menghabiskan wang kerajaan juga.

8. Mengkaji dan seterusnya menghapuskan sistem E-Kehadiran yang turut sebagai tidak berkesan sekiranya sistem laporan kehadiran manual masih dikuatkuasakan. Sepatutnya sekiranya telah ada e-kehadiran, sistem manual patut dimansuhkan, atau sebaliknya digunakan salah satu dan bukannya kedua-duanya sekali, kerana turut menyebabkan para guru tenggelam dalam urusan administrasi dengan mengurangkan tumpuan mengajar mereka.

9. Kami turut mencadangkan agar Kementerian mengkaji dan jika sesuai untuk menamatkan kos-kos pengurusan yang ditanggung kerajaan terhadap servis kurang berkesan seperti Frog VLE, e-Kehadiran dan lain-lain, maka dengan penjimatan itu, pihak kementerian dijangka mampu menggunakan lebihan bajet untuk melaksanakan manifesto seperti mewujudkan pembantu guru bagi setiap beberapa kelas (setiap dua contohnya) & lain-lain perkara dalam manifesto yag memerlukan belanja. Kerana tanpa bajet tambahan, sebahagian besar janji tercatat di dalam manifesto akan sukar dilaksanakan, padahal ia sebenarnya masih boleh dilaksana melalui penjimatan dari pelbagai bahagian lain. Kami turut mencadangkan agar, setelah dikira kelak, amat baik jika jumlah penjimatan itu diwarwarkan kepada awam. YB Menteri ada menyatakan satu servis yang tidak efisyen & membebankan kementerian sehingga perlu membayar berbelas juta setiap bulan, kementerian sedang mengkaji perjanjian terbabit katanya.

10. Turut membincangkan bagaimana pengajian falsafah yang positif dapat diceduk sedikit dalam pengajian menengah dan universiti dalam bentuk kreatif yang mana ia diterapkan dalam pengajaran sains, matematik dan lain-lain, Ini bagi menjadikan pengajaran lebih menarik dan meningkatkan tahap pemikiran pelajar.

11. Turut membincangkan bagaimana boleh diwujudkan kaedah pengajaran standard yang berkesan (pedagogy) dalam bentuk video panduan bagi setiap warga pendidik sama ada sekolah dan universiti, ini kerana menyedari tidak smua yang berilmu mampu menyampai dengan berkesan, justeru, memerlukan video standard berkesan tatacara mengajar seseutau topik dalam bentuk mudah faham dan berkesan.

12. Turut membincangkan keperluan sesi latihan berterusan kepada guru-guru (train the trainers) kerana bertambahnya kepakaran mereka maka ertinya lebih banyak manfaat bakal diturunkan kepada murid dan pelajar mereka.

13. Turut membincangkan ringkas keperluan dan relevannya sekolah berasrama penuh yang mengumpukan guru-guru terbaik dan meninggalkan keperluan sekolah lain terhadap guru sedemikian.

14. Cadangan memperkenalkan sistem ‘blockchain’ terhadap semua sijil yang dikeluarkan oleh pihak universiti dan kolej, agar tidak lagi kes penipuan sijil sewaktu permohonan kerja dan penggunaan gelaran atau menambah kredibiliti untuk kepentingan peribadi. Pembangunan sistem ini hanya memerlukan sekitar RM 10,000-20,000 sahaja menurut pakarnya, namun manfaatnya besar.

15. Perlunya segera mengubah budaya di sekolah-sekolah rendah bagi mencontohi beberapa kaedah yang positif di pelbagai seperti Jepun yang membudayakan sejakdari kecil akan pelbagai nilai murni seperti kebersihan, budaya kuat kerja serta sokongan kepada rakan, bukannya ejekan dan buli. Bagi melaksanakan ini, silibus pengajaran di sekolah rendah perlu dikaji semula atau dikurangkan bagi menjadikan sekolah tempat yang lebih menarik dan bukan lagi terasa terlalu membebankan pelajar sekolah rendah, cukup sasaran utama kepada 3 M (membaca, menulis dan mengira) sahaja, bakinya adalah dalam bentuk menarik dan pembudayaan ilmu melalui praktis bersama dan bukan sepenuh dalam bentuk ‘exam oriented’.

Demikian beberapa perkara yang cuba dibawa dan telah dibincangkan ringkas sebahagian besar darinya bersama YB Menteri dalam pertemuan sekitar 40 minit, terdapat juga beberapa hal lain seperti pendidikan Islam, tahfiz dan lain-lain. Semoga ia mampu memberikan sedikit input kepada YB Menteri dalam menggalas tanggungjawab Malaysia Baharu.

Wakil MURSHID yang hadir adalah saya sendiri, Ustaz Abdullah Bukhari (Timbalan Presiden), Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman (Setiausaha), Noorashikin Zainal (Bendahari), Ahmad Loqman Izzat (Eksekutif), Ust Ahmad Fauwaz Fadzil, Ust Zahirudin Zabidi, Xifu Naseer Abd Rahman, Ust Mustafar, Sdr Alfie Ng dan pakar blockchain iaitu Prof. Dato’ Dr Norbik.

Dr. Zaharuddin Abdul Rahman
Presiden MURSHID
28 Jun 2018

Dr MM (1)

Dr MM (2)

Dr MM (3)

Dr MM (4)

Dr MM (5)

Perluaskan Penggunaan “Roller Barrier” di Kawasan Bahaya Seluruh Malaysia

Semalam (19 Jun 2018), negara dikejutkan dengan kemalangan melibatkan bas di Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak. Seorang penumpang meninggal dunia dan berpuluh penumpang yang lain cedera.

Tumpuan orang awam dan pengguna jalan raya terarah kepada keberkesanan pemasangan “roller barrier” yang dilanggar kenderaan tersebut. Pemasangannya dapat meninggalkan kesan ketara apabila impak terhadap kenderaan dan penumpang menurun. Berbeza dengan pemasangan penghadang besi yang sangat memberi kesan besar kepada kenderaan dan penumpang.

Difahamkan teknologi “roller barrier” sudah dipasang untuk sesi ujian sejak beberapa tahun lepas di beberapa kawasan di Malaysia. Oleh itu, MURSHID berpandangan sudah tiba masanya perlaksanaan secara menyeluruh terhadap teknologi ini diperluaskan merangkumi kawasan yang berisiko kemalangan seperti selekoh tajam, kawasan berbukit sama ada di lebuh raya, jalan persekutuan atau jalan negeri.

Penggunaan teknologi “roller barrier” ini sangat bertepatan dengan Maqasid Syariah yang utama iaitu mementingkan penjagaan nyawa. Sebarang usaha yang dibuat bagi menjaga nyawa manusia dipuji Allah sebagaimana firman-Nya dalam al-Quran:

وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَا أَحْيَا النَّاسَ جَمِيعًا

Ertinya: Dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya (al-Ma’idah 5:30).

MURSHID juga menggesa pihak kerajaan agar mengawal selia proses pemasangan “roller barrier” dengan telus agar tidak berlaku ketirisan atau penyelewengan kualiti bahan kerana ia melibatkan nyawa pengguna.

Pada masa sama, para pengguna juga mesti diingatkan agar mengamalkan pemanduan selamat dan berhemah bagi menjaga keselamatan di jalan raya. Sebarang kemalangan yang berlaku kerana kecuaian kita akan merugikan banyak pihak. Ingatlah, sebarang aksi anda di jalan raya boleh membuahkan pahala dan dosa.

Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim
Timbalan Presiden
MURSHID (Pertubuhan Multaqa Asatizah dan Du’at)
20 Jun 2018
.
Sumber: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/seorang-maut-42-cedera-dalam-kemalangan-km33-3-lebuhraya-karak-178446

Nota: Contoh penggunaan ‘Roller Barrier’.

sri jengka jamm

Salam Aidilfitri Maaf Zahir Batin

Pertubuhan Multaqa Asatizah & Du’at (MURSHID) mengucapkan Salam Aidilfitri & Maaf Zahir Batin kepada umat Islam yang menyambutnya di Malaysia dan seluruh dunia amnya.

Semoga Aidilfitri ini bermakna kepada semua yang menyambutnya bersama kaum keluarga dan sahabat handai.

aidilfitri - Copy 2

Ustaz Mustafar Mohd Suki; Amalan Sunat Sewaktu Menyambut Aidilfitri

Dengarkan penerangan daripada Ustaz Mustafar Mohd Suki mengenai amalan sunat sewaktu menyambut Aidilfitri di saluran Youtube rasmi MURSHID (#MURSHIDTV).

Semoga penerangan ini memberikan kefahaman kepada kita semua mengenai amalan sunat sewaktu menyambut perayaan besar umat Islam ini.

 

Infografik: Amalan-Amalan Sunat Hari Raya Aidilfitri

Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang tiba. Berikut perkara-perkara yang sunat dilakukan semasa menyambut perayaan yang diiktiraf oleh Islam ini.

Semoga kita dapat mengamalkannya bersama-sama supaya dapat menambahkan pahala di hari raya yang mulia ini.

Sila klik muka hadapan infografik di bawah ini untuk mendapatkan lebih banyak lagi!

Kami sangat berterima kasih jika album infografik ini disebarkan untuk manfaat semua.

aidilfitri perlu dilakukan_cover