October, 2018

now browsing by month

 

Allah SWT Berbicara dengan Umar RA Melalui Lidah Rasulullah SAW

Biasanya kita dengar Khalifah kedua ‘Umar bin al-Khattab RA memeluk Islam setelah mendengar 5 ayat awal surah Taha. Lalu sesetengah kita berkata “INI AYAT PELEMBUT HATI KERANA IA PERNAH MELEMBUTKAN HATI ‘UMAR YANG KERAS.” Jarang sekali kita dengar beliau memeluk Islam setelah mendengar Allah sendiri berbicara dengannya melalui lidah Rasulullah SAW dalam satu peristiwa di Masjid al-Haram sebelum beliau memeluk Islam. Ayuh kita ikuti riwayat ini:

قَالَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ خَرَجْتُ أَتَعَرَّضُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَبْلَ أَنْ أُسْلِمَ فَوَجَدْتُهُ قَدْ سَبَقَنِي إِلَى الْمَسْجِدِ فَقُمْتُ خَلْفَهُ فَاسْتَفْتَحَ سُورَةَ الْحَاقَّةِ فَجَعَلْتُ أَعْجَبُ مِنْ تَأْلِيفِ الْقُرْآنِ قَالَ فَقُلْتُ هَذَا وَاللَّهِ شَاعِرٌ كَمَا قَالَتْ قُرَيْشٌ قَالَ فَقَرَأَ { إِنَّهُ لَقَوْلُ رَسُولٍ كَرِيمٍ وَمَا هُوَ بِقَوْلِ شَاعِرٍ قَلِيلًا مَا تُؤْمِنُونَ } قَالَ قُلْتُ كَاهِنٌ قَالَ { وَلَا بِقَوْلِ كَاهِنٍ قَلِيلًا مَا تَذَكَّرُونَ تَنْزِيلٌ مِنْ رَبِّ الْعَالَمِينَ وَلَوْ تَقَوَّلَ عَلَيْنَا بَعْضَ الْأَقَاوِيلِ لَأَخَذْنَا مِنْهُ بِالْيَمِينِ ثُمَّ لَقَطَعْنَا مِنْهُ الْوَتِينَ فَمَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ عَنْهُ حَاجِزِينَ }
إِلَى آخِرِ السُّورَةِ قَالَ فَوَقَعَ الْإِسْلَامُ فِي قَلْبِي كُلَّ مَوْقِعٍ

Ertinya: ‘Umar menceritakan: “Pada suatu hari, sebelum aku memeluk Islam, aku keluar menghalang Rasulullah (daripada memasuki masjid). Aku dapati dia sampai terlebih dahulu ke Masjid. Aku berdiri di belakangnya dan baginda membuka solatnya dengan membaca surah al-Haqah (surah ke 69). Aku berasa kagum dengan susun atur al-Quran (yang baginda baca), lalu aku kata (dalam hatiku) “Demi Allah! (al-Quran) Ini adalah syair sebagaimana yang dikata orang Quraysh.” Sejurus itu baginda membaca ayat:

“Bahawa sesungguhnya Al-Quran itu ialah (wahyu dari Kami) yang disampaikan oleh Rasul yang mulia. Dan bukanlah Al-Quran itu perkataan seorang penyair (sebagaimana yang kamu dakwakan. Tetapi sayang!) amatlah sedikit kamu beriman (al-Haqah 69:40-41)”.

(Setelah mendengar ayat seperti jawapan terhadap sangkaan hatinya itu) Umar berkata: “(Muhammad ini) seorang pawang (kerana tahu yang disebut hatiku).” Sejurus itu baginda menyambung ayat yang dibacanya sehingga akhir surah:

“Dan juga bukanlah Al-Quran itu perkataan seorang pawang (sebagaimana yang kamu katakan. Tetapi sayang!) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan. (Al-Quran itu) diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam. Dan kalau (Nabi Muhammad yang menyampaikan Al-Quran itu) mengatakan atas nama Kami secara dusta – sebarang kata-kata rekaan, Sudah tentu Kami akan menyentapnya, dengan kekuasaan Kami, Kemudian sudah tentu Kami akan memutuskan tali jantungnya (supaya dia mati dengan serta-merta); (al-Haqah 69:42-46).”

Umar menyambung kisahnya: “(Selepas peristiwa itu), Islam mulai jatuh (menempati) ke dalam jiwaku dalam segenap penjurunya (Musnad Ahmad).”

Pengajaran mudah dari kisah ini adalah, al-Quran bukanlah sejenis baris jampi yang memberi kesan kepada jiwa manusia tanpa difahami. Ia adalah mesej Tuhan semesta alam yang perlu difahami mengikut kehendak-Nya. Jika Dia mahu kita ke kanan, jangan pula kita cuba faham Tuhan mahu kita ke belakang atau statik tidak bergerak.

Analoginya, ketua jabatan mahu pejabat sentiasa bersih, lalu dikeluarkan “surat arahan jelas” agar pejabat dibersihkan. Malangnya, kaki tangan pejabat mengambil surat si ketua jabatan lalu dimasukkan ke dalam bingkai gambar dan digantung dalam pejabat. Setiap pagi sebelum pejabat memulakan operasi, kaki tangan pejabat akan berdiri menasyidkan isi surat itu “TETAPI PEJABAT TETAP KOTOR SEPERTI BIASA…” Sungguh! Ini satu musibah pemikiran kepada kaki tangan pejabat tersebut.

Inilah juga masalah interaksi sesetengah umat Islam dengan al-Quran. Mereka hafaz ayatnya tapi tidak memahami isinya. Mereka baca lafaz ayatnya dengan suara fasih bertajwid tapi arahan dan larangannya diabaikan. Jika begini cara kita, jangan hairan jika hati kita masih sakit dan kotor dengan berbagai masalah manusia. Semoga Allah bimbing kita semua untuk berinteraksi dengan al-Quran sebetulnya seperti para sahabat RA.

Ustaz Abdullah Bukhari Abd Rahim Al Hafiz
Timbalan Presiden MURSHID

uab 1