March, 2020

now browsing by month

 

TAFSIR ALAM MELAYU TERBUKTI BANYAK ISRA’ILIYYAT

Oleh: Ustaz Zahiruddin Zabidi

Cuma yang perlu kita fahami bahawa para ulama tafsir membahagikan Isra’iliyyat kepada tiga jenis:

1. Maqbul – boleh terima kerana tidak bercanggah dengan syariat Islam khususnya aqidah
2. Mardud – tertolak sama sekali kerana bercanggah dengan Syariat Islam khususnya aqidah
3. Maskut ‘anhu – Tidak diterima dan tidak ditolak, لا تصدق ولا تکذب, jenis ini paling banyak

Adapun yang banyak sampai ke Alam Melayu jenis yang mana!?

Yang banyak dalam tafsir-tafsir jenis yang mana, yang datang awal lagi melalui subjek lain jenis yang mana pula?

Sebahagian finding dalam karya Jawi Nusantara mendapati ada riwayat sama ada jenis Isra’iliyyat ataupun Mawdu’at yang tidak pernah wujud pun dalam karya-karya bahasa Arab sebelumnya.

Sebahagian kemudian dijumpai daripada kitab-kitab Syiah dan sebahagian pula hasil kreativiti masyarakat tempatan, wajarkah kita namakan ia sebagai MALAYUWIYYAT!?

EMPAT SYARAT GANJARAN BESAR UNTUK DUDUK RUMAH MUSIM WABA’ COVID-19

Oleh: Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam menyebut:
عَنْ عَائِشَةَ -رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا-، أَنَّهَا قَالَتْ: سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الطَّاعُونِ، فَأَخْبَرَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” أَنَّهُ كَانَ عَذَابًا يَبْعَثُهُ اللَّهُ عَلَى مَنْ يَشَاءُ، فَجَعَلَهُ رَحْمَةً لِلْمُؤْمِنِينَ، فَلَيْسَ مِنْ رَجُلٍ يَقَعُ الطَّاعُونُ، فَيَمْكُثُ فِي بَيْتِهِ صَابِرًا مُحْتَسِبًا يَعْلَمُ أَنَّهُ لَا يُصِيبُهُ إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَهُ، إِلَّا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ الشَّهِيدِ “.
Ertinya : “Dari Aisyah r.a, dia berkata: Aku telah bertanya kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam tentang Ta’un, maka Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam menjelaskan kepadaku: “Waba’ (Ta’un) itu adalah azab yang Allah kirim kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan Allah jadikan sebagai rahmat bagi orang-orang beriman. Tiadalah seseorang yang ketika terjadinya waba (Ta’un) lalu dia tinggal (berdiam) di rumahnya, bersabar dan berharap pahala (di sisi Allah), juga dia yakin bahawa tidak akan menimpanya kecuali apa yang ditetapkan Allah untuknya, maka dia akan mendapatkan seperti pahala syahid”.

Hadis berkenaan Ta’un ini turut terpakai untuk musibah seumpamanya seperti virus COVID 19 ini. Kelebihan dan rahmat kepada orang beriman yang disebut adalah dalam ertikata, musibah ini tiada lain kecuali MENGUKUHKAN TAWAKKAL dan REDHA ORANG beriman kepada Allah swt.

Pun begitu bagi mendapat ganjaran dan menjadi rahmat yang sebenar bagi orang beriman, Nabi salla allahu ‘alaihi menyebutkan EMPAT SYARAT:

1. SABAR atas ujian tersebut khususnya dari sudut segala kesusahan & keperitan yang timbul darinya.
2. MUHTASIBA ; iaitu sentiasa berharap ihsan dan ganjaran dari Allah swt atas ujian tersebut,
3. MENGEKALKAN USAHA iaitu suatu jenis IKHTIYAR dengan menetap di dalam rumah atau kawasannya bagi mengelakkan penyakit tersebut dari mengenainya atau mengenai orang lain.
4. REDHA ; iaitu jika ditaqdirkan Allah swt, penyakit tersebut mengenai orang tersebut, dia redha. Lalu baginya pahala besar di atas KESABARAN DAN REDHANYA SERTA USAHANYA yang menetap di rumah itu, ganjaran pahalanya adalah SEBESAR PAHALA mati Syahid.

Bagaimana jika dia TERKENA atau TIDAK JUGA MENINGGAL DUNIA kerananya? Sama juga, dia juga bakal beroleh kelebihan dan ganjaran terbabit dengan syarat tiga perkara tadi dipenuhi iaitu sabar, ‘muhtasiba’ harapan ganjaran Allah SWT, berusaha dan redha dengan taqdirnya. Demikian dihurai oleh Imam Ibn Hajar Al-‘Asqolani, Ali al-Qari dan lain-lain.

Bagi PEJUANG BARISAN HADAPAN pula, jangan bimbang, para ulama turut menyatakan bagi mereka yang keluar dari rumah (khususnya para barisan hadapan) dengan niat yang betul dan memenuhi keempat-empat syarat yang disebut tadi. Sama penyakit ini trkena mereka atau tidak, mereka turut mendapat ganjaran yang sama. iaitu sebesar pahala Syahid. Sama ada terkenanya atau tidak, asalkan sahaja mereka sabar, berharap ganjaran Allah swt serta redha dengan yang ditimpainya.

Semoga mereka yang tidak terlibat dalam bahagian kritikal beroperasi mampu kekal dan sabar di rumah. Mereka yang perlu berperanan di bahagian kritikal mampu meneruskan usaha kalian. Ia rahmat Allah swt untuk menganjari hamba-hambaNya yang beriman lagi sabar.

90289576_2970220496372903_2150849046934192128_o

PKP JADI SEBAB DAPAT PAHALA SYAHID DAN PAHALA PATUHI PEMIMPIN?

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Setiap hari ada sahaja laporan korban COVID 19. Sehingga 24 Mac 2020 sudah 15 orang korbannya. Apa yang sangat menyedihkan adalah pemergian mereka tidak dapat diurus secara biasa. Tiada kucup selamat tinggal dan tiada keluarga hadir bersama menghantar ke pusara sedangkan itulah bakti terakhir yang hidup kepada yang pergi. Apa nak buat kerana itu adalah ketetapan yang dibuat pihak Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai langkah keselamatan membendung penularan penyakit ini. Kepada yang kehilangan, ingatlah doa masih boleh dikirim sebagai pengganti diri.

Di tengah kesedihan ini, ada banyak khabar gembira kerana Rasulullah SAW menjanjikan sesiapa yang meninggal dunia kerana beberapa jenis penyakit dikategorikan sebagai mati syahid:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا تَعُدُّونَ الشَّهِيدَ فِيكُمْ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ قُتِلَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَهُوَ شَهِيدٌ قَالَ إِنَّ شُهَدَاءَ أُمَّتِي إِذًا لَقَلِيلٌ قَالُوا فَمَنْ هُمْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ مَنْ قُتِلَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَهُوَ شَهِيدٌ وَمَنْ مَاتَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَهُوَ شَهِيدٌ وَمَنْ مَاتَ فِي الطَّاعُونِ فَهُوَ شَهِيدٌ وَمَنْ مَاتَ فِي الْبَطْنِ فَهُوَ شَهِيدٌ

Ertinya: Rasulullah SAW bertanya kepada para sahabat, “Apa tanggapan kalian tentang orang yang mati syahid dalam kalangan kalian?” Mereka menjawab: “Wahai Rasulullah sesiapa yang gugur berjuang pada jalan Allah, merekalah yang syahid.” Baginda menyambung: “Kalau begitu, amat sedikitlah yang mati syahid dalam kalangan umatku (sedangkan mereka sebenarnya ramai).” Sahabat bertanya: “Siapakah mereka itu Wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Sesiapa yang gugur berjuang dan mati pada jalan Allah maka dia dikira syahid, sesiapa yang mati kerana penyakit Taun maka dia dikira syahid, sesiapa yang mati kerana penyakit dalam perut maka dia dikira syahid (Sahih Muslim).

Ketika mengulas hadith ini Imam al-Nawawi mengkategorikan mati syahid kepada 3 jenis iaitu:

(1) Syahid terbaik iaitu di dunia dan di akhirat. Mereka adalah orang yang gugur ketika memerangi musuh yang kafir,

(2) Syahid di akhirat. Mereka berbeza dengan kategori sebelum ini. Jenazah mereka perlu diurus dan dimandikan seperti biasa,

(3) Syahid di dunia tetapi tidak mendapat ganjaran syahid di akhirat kerana jenayah yang mereka lakukan dalam perang seperti mati setelah menggelapkan harta rampasan perang atau mati di medan perang ketika melarikan diri (Syarh Sahih Muslim oleh Imam al-Nawawi).

Huraian lanjut 2 dosa syahid dunia itu adalah;

(3.1) Mati setelah menggelapkan harta rampasan perang boleh dirujuk dalam kisah kematian Mid’am. Selepas perang Khaybar, Rasulullah SAW menuju ke Wadi al-Qura untuk memburu saki baki orang Yahudi yang masih bersembunyi di situ. Mid’am yang berjalan di hadapan tunggangan Rasulullah SAW ditembak mati oleh sebatang anak panah sesat. Para sahabat yang melihat peristiwa itu menganggap Mid’am sungguh beruntung kerana gugur syahid pada jalan Allah. Baginda menafikan perkara itu dengan sabdanya:

بَلْ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ إِنَّ الشَّمْلَةَ الَّتِي أَصَابَهَا يَوْمَ خَيْبَرَ مِنْ الْمَغَانِمِ لَمْ تُصِبْهَا الْمَقَاسِمُ لَتَشْتَعِلُ عَلَيْهِ نَارًا

Ertinya: Tidak sama sekali. Demi yang jiwaku berada pada tangan (Kuasa-Nya), sesungguhnya KAIN SELIMUT YANG DIA GELAPKAN DARIPADA PERANG KHAYBAR YANG BELUM DIMASUKKAN KE DALAM BAHAGIAN PEMBAHAGIAN (HARTA KHAYBAR) AKAN MENJADI (SEBAB) NYALAAN API (NERAKA TERHADAPNYA) (Sahih al-Bukhari & Sahih Muslim).

(3.2) Melarikan diri dari medan perang termasuk satu dosa besar sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ قَالَ الشِّرْكُ بِاللَّهِ وَالسِّحْرُ وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَأَكْلُ الرِّبَا وَأَكْلُ مَالِ الْيَتِيمِ وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ وَقَذْفُ الْمُحْصَنَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ الْغَافِلَاتِ

Ertinya: “Jauhilah 7 dosa pemusnah.” Para sahabat bertanya: “Apakah dosa itu?” Baginda menyambung: “Syirik kepada Allah, mengamalkan sihir, bunuh jiwa yang diharamkan Allah melainkan dengan alasan benar (Qisas atau bunuh balas), makan riba, makan harta anak yatim, LARI DARIPADA MEDAN PERANG dan menuduh wanita suci berzina (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Dalam hadith lain nabi menambah lagi jenis mati syahid:

أَنَّ عَمَّهُ جَابِرَ بْنَ عَتِيكٍ أَخْبَرَهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَاءَ يَعُودُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ ثَابِتٍ فَوَجَدَهُ قَدْ غُلِبَ فَصَاحَ بِهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمْ يُجِبْهُ فَاسْتَرْجَعَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَالَ غُلِبْنَا عَلَيْكَ يَا أَبَا الرَّبِيعِ فَصَاحَ النِّسْوَةُ وَبَكَيْنَ فَجَعَلَ ابْنُ عَتِيكٍ يُسَكِّتُهُنَّ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَعْهُنَّ فَإِذَا وَجَبَ فَلَا تَبْكِيَنَّ بَاكِيَةٌ قَالُوا وَمَا الْوُجُوبُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ الْمَوْتُ قَالَتْ ابْنَتُهُ وَاللَّهِ إِنْ كُنْتُ لَأَرْجُو أَنْ تَكُونَ شَهِيدًا فَإِنَّكَ كُنْتَ قَدْ قَضَيْتَ جِهَازَكَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ قَدْ أَوْقَعَ أَجْرَهُ عَلَى قَدْرِ نِيَّتِهِ وَمَا تَعُدُّونَ الشَّهَادَةَ قَالُوا الْقَتْلُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ تَعَالَى قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الشَّهَادَةُ سَبْعٌ سِوَى الْقَتْلِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ الْمَطْعُونُ شَهِيدٌ وَالْغَرِقُ شَهِيدٌ وَصَاحِبُ ذَاتِ الْجَنْبِ شَهِيدٌ وَالْمَبْطُونُ شَهِيدٌ وَصَاحِبُ الْحَرِيقِ شَهِيدٌ وَالَّذِي يَمُوتُ تَحْتَ الْهَدْمِ شَهِيدٌ وَالْمَرْأَةُ تَمُوتُ بِجُمْعٍ شَهِيدٌ

Ertinya: Jabr bin ‘Atik RA menceritakan Rasulullah SAW menziarahi Abdullah bin Thabit yang sedang sakit…setelah beliau meninggal dunia anak perempuannya berkata “Sebenarnya aku berharap agar engkau mati syahid (pada jalan Allah) kerana engkau sudah bersiap untuk itu (merancang untuk menyertai satu perang bersama nabi)!” Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah telah mengurniakan padanya pahala syahid berdasarkan niatnya . Apa pandangan kamu tentang orang yang mati syahid?” Para sahabat yang hadir bersama nabi berkata: “ (Hanya) orang yang gugur berjuang pada jalan Allah (sahaja).” Rasulullah SAW bersabda: “Ada 7 jenis mati syahid lagi selain gugur berjuang pada jalan Allah. (Mereka adalah) orang yang mati kerana penyakit taun, orang yang mati lemas, orang yang mati kerana sakit paru-paru, orang yang mati kerana penyakit dalam perut, orang yang mati terbakar (semuanya) dikira mati syahid. Begitu juga orang yang mati ditimpa sesuatu (bangunan) dan wanita yang mati melahirkan anak juga dikira mati syahid (Sunan Abu Dawud).

Bukan hanya yang meninggal kerana penyakit berbahaya sahaja diberikan ganjaran. Yang sabar sedang kuarantin pun ada habuannya. Sabda nabi SAW:

عَنْ عَائِشَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهَا أَخْبَرَتْنَا أَنَّهَا سَأَلَتْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الطَّاعُونِ فَأَخْبَرَهَا نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ كَانَ عَذَابًا يَبْعَثُهُ اللَّهُ عَلَى مَنْ يَشَاءُ فَجَعَلَهُ اللَّهُ رَحْمَةً لِلْمُؤْمِنِينَ فَلَيْسَ مِنْ عَبْدٍ يَقَعُ الطَّاعُونُ فَيَمْكُثُ فِي بَلَدِهِ صَابِرًا يَعْلَمُ أَنَّهُ لَنْ يُصِيبَهُ إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَهُ إِلَّا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ الشَّهِيدِ

Ertinya: Aishah RA memberitahu Rasulullah SAW pernah memberitahu beliau tentang hakikat penyakit Taun: “Ia adalah sejenis azab yang dihantar Allah kepada siapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Maka Allah jadikan ia sebagai limpahan rahmat untuk orang beriman. Oleh itu, tiada seorang Muslim pun (yang tinggal di sebuah tempat terkena penyakit taun) lalu dia kekal sabar berada di tempat tinggalnya (tanpa resah). Dia juga sedar bahawa tiada sesuatu apa pun yang boleh menimpanya melainkan apa yang ditentutkan Allah, maka dia akan memperolehi pahala seperti orang yang mati syahid (Sahih al-Bukhari).

Ketika mengulas hadith ini, Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan janji ganjaran syahid itu bersifat umum merangkumi semua orang yang sabar dan redha dengan penularan wabak in. Tanpa mengira sama ada dia mati kerana penyakit taun, sembuh kembali selepas sakit atau dipanjangkan usia kemudiannya meninggal kemudian hari tanpa sakit taun (Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari).

Aduhai! Lihatlah betapa Pemurahnya Allah. Sabar dan bertahanlah di rumah anda ketika wabak COVID 19 melanda, kerana dengan berbuat demikian anda sudah beroleh dua pahala besar iaitu pahala yang dijanjikan hadith di atas dan ganjaran kerana mematuhi arahan pemimpin.

ISRA’ILIYYAT – MAKIN KARUT MAKIN SEDAP DIDENGAR!

Oleh: Ustaz Zahiruddin Zabidi

Satu fakta yang menarik mengenai Isra’iliyyat di Alam Melayu adalah, kemasukannya bukan melalui karya tafsir sedangkan Isra’iliyyat sinonim dengan tafsir al-Quran.

Tafsir lengkap 30 juzuk pertama dijumpai dalam bahasa Melayu tuisan Jawi berjudul Tarjuman Mustafid karya Shaykh ‘Abd al-Ra’uf Fansuri al-Sinkili r.h. (kajian Ph.D PM Dr Wan Nasyrudin Wan Abdullah) dikarang pada hujung abad ke-18, sedangkan riwayat-riwayat Isra’iliyyat sudah bertapak di Alam Melayu seawal abad ke-12 lagi iaitu sama lama dengan usia agama Islam sampai ke Alam Melayu.

Pelik, tafsir lengkap pun dikarang pada abad ke-18 bagaimana pula riwayaf Isra’iliyyat yang sinonim dengan tafsir boleh menyerap masuk beberapa abad lebih awal!?

Persoalan inilah antara yang mendorong saya menulis naskhah ISRĀ’ĪLIYYĀT, ḤADĪTH MAWDŪʿ & FITNAH SĪRAH DI ALAM MELAYU (2019).

JOM GUNA DOA TAWASSUL UNTUK HENTIKAN COVID 19

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Rahim

Musim wabak sebegini kita boleh usaha jaga keselamatan dengan menjaga jarak selamat dan kebersihan diri. Pun begitu, doa juga berguna untuk menyelamatkan kita. Antara doa terbaik untuk diamalkan adalah DOA TAWASSUL.

Apa maksud Tawassul? Ia adalah usaha berdoa menggunakan PERANTARA. Antara PERANTARA TERBAIK ADALAH BERDOA MENGGUNAKAN NAMA ALLAH:

وَلِلَّهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى فَادْعُوهُ بِهَا وَذَرُوا الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي أَسْمَائِهِ سَيُجْزَوْنَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Ertinya: Dan Allah punyai nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang yang berpaling daripada kebenaran ketika menggunakan nama-Nya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan (al-A’raf 7:180).

Cara mudah berdoa dengan nama Allah adalah dengan menyesuaikan permohonan kita dengan nama-Nya yang cocok seperti;

“Ya Allah! Tuhan Yang Maha Penyembuh, sembuhkan sakitku!”

“Ya Allah! Yang Maha Berkuasa, selamatkan kami dari kejahatan wabak COVID 19 ini.”

Kita boleh sesuaikan permintaan kita dengan mana-mana nama Allah. Dalam sebuah hadith disebut, Allah punyai 99 nama:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ لِلَّهِ تِسْعَةٌ وَتِسْعُونَ اسْمًا مِائَةٌ إِلَّا وَاحِدًا لَا يَحْفَظُهَا أَحَدٌ إِلَّا دَخَلَ الْجَنَّةَ

Ertinya: Allah mempunyai 99 nama, iaitu seratus kurang satu. Tiada ada orang yang menghafaznya (menjiwai serta menunaikan hak Allah pada semua nama itu) melainkan akan masuk syurga (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Lalu timbul soalan, adakah nama Allah hanya 99 itu sahaja? Para ulama mengatakan jumlah nama Allah tidak terbatas hanya pada 99 nama itu sahaja. Hadith di atas seolah menjamin sesiapa yang menghafaz dan menjiwai 99 nama tersebut akan mendapat jaminan syurga. Pun begitu nama Allah sebenarnya infiniti tanpa batasan. Perhatikan doa nabi SAW ini:

عَنِ الْقَاسِمِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا أَصَابَ أَحَدًا قَطُّ هَمٌّ وَلَا حَزَنٌ فَقَالَ اللَّهُمَّ إِنِّي عَبْدُكَ وَابْنُ عَبْدِكَ وَابْنُ أَمَتِكَ نَاصِيَتِي بِيَدِكَ مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قَلْبِي وَنُورَ صَدْرِي وَجِلَاءَ حُزْنِي وَذَهَابَ هَمِّي إِلَّا أَذْهَبَ اللَّهُ هَمَّهُ وَحُزْنَهُ وَأَبْدَلَهُ مَكَانَهُ فَرَجًا قَالَ فَقِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَلَا نَتَعَلَّمُهَا فَقَالَ بَلَى يَنْبَغِي لِمَنْ سَمِعَهَا أَنْ يَتَعَلَّمَهَا

Ertinya: Rasulullah SAW bersabda – Sesiapa sahaja ditimpa resah atau sedih yang berdoa dengan doa ini, akan dihapuskan Allah resah dan sedihnya. Kemudian resah dan sedih itu diganti dengan kesenangan. (Doa itu adalah) “Ya Allah! Sesungguhnya aku ini hamba-Mu, anak hamba-Mu (lelaki dan perempuan), ubun-ubunku mutlak pada tangan-Mu, tetap padaku hukum-Mu, adil padaku ketentuan-Mu. Aku mohon dengan semua nama yang Engkau miliki, sama ada yang Engkau namakan sendiri untuk diri-Mu, atau (nama-Mu) yang Engkau pernah ajarkan kepada mana-mana makhluk-Mu, atau (nama-Mu) yang pernah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang Hanya Engkau ketahui dalam ilmu ghaib di sisi-Mu, (aku mohon dengan semua itu) agar Engkau menjadikan al-Quran sebagai penghibur hatiku, sinar bagi hati jantungku, penghilang kesedihanku dan penghapus kesusahanku. Para sahabat lalu bertanya – Wahai Rasulullah! Adakah kami perlu pelajarinya? Baginda menjawab: “Ya! Setiap orang yang mendengarnya memang patut mempelajarinya” (Musnad Ahmad).

Doa ini lebih khusus menjadikan al-Quran sebagai ubat jiwa. Alhamdulillah! Sejak bertahun saya amal doa ini, jiwa saya lebih tenang dan kurang stress. Saya yakin sepenuh hati ia bersebab daripada doa ini yang TERANGKUM PADANYA KAEDAH TAWASSUL DENGAN NAMA ALLAH DAN MENUMPANG KEHEBATAN AL-QURAN.

Apa tunggu lagi? Ayuh kita hafaz doa ini dan amalkan semasa kegawatan wabak ini.

91060222_10216785329370959_687129715785334784_o