ANGKA 3333 – NUJUM BERASASKAN AL-QURAN??

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Nujum dengan al-Quran muncul lagi. Kali ini isu jumlah akumulatif mangsa COVID 19 berjumlah 3333 yang dikaitkan dengan surah 33 ayat 33. Angka itu pula muncul pada tarikh “3” April 2020. Astaghfirullah! Apa yang kamu nak dengan al-Quran sebenarnya ?? Inikah sahaja level interaksi kamu dengan al-Quran?? Untuk berjunum dengan al-Quran? Adakah begitu rendah nilai al-Quran sehingga sanggup kamu “bersusah payah” mencari nombor sebegitu untuk dinujumkan dengan ayat al-Quran?

Apa kaitan firman Allah dengan angka itu? Nilailah sendiri:

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى وَأَقِمْنَ الصَّلَاةَ وَآتِينَ الزَّكَاةَ وَأَطِعْنَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنْكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا

Ertinya: Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang Jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara yang mencemarkan diri kamu – wahai “AhlulBait” dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji) (al-Ahzab 33:33).

Ayat ini perlu dibaca dari awal kisahnya iaitu ayat 28 berkenaan beberapa arahan dan teguran Allah kepada para isteri nabi. Ayat 33 ini tiada kaitan dengan arahan berkurung kerana wabak penyakit. Adil-lah dengan al-Quran!

Kalau perangai bernujum dengan no dan angka al-Quran ini tak dibendung, jangan terkejut jika selepas ni muncul syarikat TIKAM NOMBOR JUDI BERASAS AL-QURAN. Nak lagi hebat? Tambah lagi perisanya dengan melantik penasihat khas yang bergelar Ustaz. Apabila nama Ustaz diangkat, pastinya produk itu seakan halal. Nanti si Ustaz penasihat itu akan kata “tiada kebetulan pada takdir Allah.” Semuanya sudah ditentukan Allah sejak azali, termasukkan segala angka ajaib dalam al-Quran yang boleh ditikam dan diundi menjadi judi sesuka hati. Lalu Pemilik syarikat akan menunggang pula ayat ini:

مَا أَصَابَ مِنْ مُصِيبَةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي أَنْفُسِكُمْ إِلَّا فِي كِتَابٍ مِنْ قَبْلِ أَنْ نَبْرَأَهَا إِنَّ ذَلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ

Ertinya: Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah (Al-Hadid, 57: 22).

Contoh ini saya tahu sangat ekstrem. Fahamilah ia cuma analogi yang saya bawa untuk menggambarkan betapa bahaya budaya ini jika tidak dibendung. Semua tahu bahawa judi sudah lama diharamkan Islam (al-Ma’idah 5:90-92).

Ketika menegur silapnya telahan angka 3333 ini, saya suka petik logik kawan saya Ustaz Syed Shahridzan yang mengatakan, semalam angka akumulatif dijangkit COVID 19 sebanyak 3333 “cuma berlaku di Malaysia.” Jika benar apa yang dinujumkan oleh pencipta mesej itu, bagaimana pula dengan angka jangkitan di negara lain? Seolah al-Quran itu hanya turun untuk orang Malaysia sahaja? Ini terang bercanggah dengan matlamat al-Quran untuk seluruh manusia sepanjang zaman.

Wahai manusia yang BERANI BERMAIN DENGAN AL-QURAN!!

Jangan sesekali berani mencipta teori sebegini. Kena ingat amaran Rasulullah SAW bahawa sikap MEMANDAI2 DENGAN AL-QURAN TANPA ILMU YANG BENAR & SAHIH boleh membawa kita ke neraka! Saya ulang! Sikap berani sebegini perlu dibayar harganya dengan neraka! Neraka! Mohon dijauhkan Allah. Sabda Rasulullah SAW:

مَنْ قَالَ فِي القُرآنِ بغير علم ، فَلْيَتَبوأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Ertinya: “Sesiapa yang berkata sesuatu tentang al-Quran tanpa ilmu, maka tersedialah untuknya tempat dalam neraka.” (Sunan al-Tirmidhi, hadis nombor 2 874, dan Musnad
Ahmad, hadis nombor 1965).

92402962_10216888327825856_6355253521524195328_o

Comments are Closed