Author: Program MURSHID

USIAMU BUKAN DARI TARIKH LAHIR KE TARIKH MATI ?

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Kata Syeikh Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya – الوقت في حياة المسلم – WAKTU DALAM KEHIDUPAN MUSLIM (ms 55, 60-61).

Usiamu yang sebenar bukan dikira dari tarikh lahir sampai tarikh mati, tapi kiraannya diambil berdasarkan TEMPOH TAQWA, IBADAH DAN BAKTIMU PADA ALLAH.

Kalau kena caranya, kita akan Allah kurniakan usia kedua selepas mati. Sabda Nabi SAW:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ مِمَّا يَلْحَقُ الْمُؤْمِنَ مِنْ عَمَلِهِ وَحَسَنَاتِهِ بَعْدَ مَوْتِهِ عِلْمًا عَلَّمَهُ وَنَشَرَهُ وَوَلَدًا صَالِحًا تَرَكَهُ وَمُصْحَفًا وَرَّثَهُ أَوْ مَسْجِدًا بَنَاهُ أَوْ بَيْتًا لِابْنِ السَّبِيلِ بَنَاهُ أَوْ نَهْرًا أَجْرَاهُ أَوْ صَدَقَةً أَخْرَجَهَا مِنْ مَالِهِ فِي صِحَّتِهِ وَحَيَاتِهِ يَلْحَقُهُ مِنْ بَعْدِ مَوْتِهِ

Ertinya: Antara amalan serta kebaikan yang sentiasa menyertai orang beriman selepas matinya adalah ILMU YANG DIAJAR SERTA DISEBARKANNYA (MELALUI PENULISAN DAN SEBAGAINYA), juga anak soleh yang ditinggalkannya, juga kebaikan yang diwariskannya, atau masjid yang dibinanya, atau rumah (persinggahan) yang dibina untuk orang musafir, atau sungai yang dialirkan airnya, atau sedekah yang dia keluarkan daripada hartanya ketika sihat,ketika hidup yang (semuanya) akan menyertainya selepas dia mati (Sunan Ibn Majah, hadith no 238).

Oleh sebab itu, Nabi Ibrahim AS selalu berdoa agar NAMA atau USIANYA KEKAL HARUM (KERANA BAKTINYA) pada orang kemudian:

وَاجْعَلْ لِي لِسَانَ صِدْقٍ فِي الْآخِرِينَ

Ertinya: (Nabi Ibrahim AS berdoa) “Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang yang datang kemudian; (al-Syu’arak 26:84).

Ayuh tabur bakti dan sebar ilmu untuk PANJANGKAN USIA KITA WALAUPUN SELEPAS KITA MATI!

101671403_10217461162066354_400516043237148954_n

HIDAYAH : ANTARA SEBAB DAN MUSABBAB

Oleh: Ustaz Syaari Ab Rahman

Persoalan “mendahulukan dan mengkemudiankan” (التقديم والتأخير) bukanlah persoalan remeh. Bahkan ia sebahagian dari episod perbahasan panjang kemukjizatan al-Quran.

Masakan tidak, dalam surah Taha, “kami telah beriman dengan Tuhan Harun dan Musa”. Dalam surah al-A’raaf dan al-Syuaraa’, “kami telah beriman dengan Tuhan Musa dan Harun”.

Setiap kalimah yang dipilih sangat teliti. Setiap susunan kalimah ke kalimah sangat teliti. Pastinya ia bukan sekadar perbahasan pengaruh tema surah pada fashilah (penghujung) setiap ayat al-Quran, atau sekadar perbahasan siyaq (konteks) dan kesatuan tema surah dan kesannya pada uslub ayat sehingga ada keperluan didahulukan Harun atau didahulukan Musa.

Namun demikian, satu aspek yang kita tidak boleh terlepas pandang ialah aspek ibrah dan pengajaran.

Apabila dihimpunkan nas-nas sebutan Harun dan Musa yang diungkapkan ahli sihir Firaun selepas mereka sujud, satu pengajaran besar dari peristiwa besar itu bahawa ahli-ahli sihir Mesir itu telah kagum dengan dahsyatnya kekuasaan Allah dan bukannya dinisbahkan kekuasaan itu kepada Musa atau ayat Allah kepadanya iaitu tongkat dan tangan Baginda.

قَالُوا آمَنَّا بِرَبِّ الْعَالَمِينَ
‎رَبِّ مُوسَىٰ وَهَارُونَ
Al-A’raaf, 7 : 121-122

قَالُوا آمَنَّا بِرَبِّ الْعَالَمِينَ
رَبِّ مُوسَىٰ وَهَارُونَ
Al-Syu’araa’, 26 : 47-48

Mereka mendahulukan musabbab iaitu Rabbul ‘Alamin sebelum menyebut asbab sama ada beliau ialah Musa atau Harun yang mereka kenali.

Bahkan, kehebatan Musa yang mula jadi sebutan ramai penduduk Mesir yang menyaksikan, tiba-tiba disebut sebagai insan yang terkemudian selepas Harun.

فَأُلْقِيَ السَّحَرَةُ سُجَّدًا قَالُوا آمَنَّا بِرَبِّ هَارُونَ وَمُوسَىٰ
Taha, 20 : 70

Intima’ mereka ialah intima “kerana Allah” dalam erti kata yang sebenar, bukan intima’ fardi, ketakjuban peribadi, dan pemujaan batang tubuh.

Tanda iman melekat kuat dalam hati ialah tingginya keikhlasan, mampunya seseorang membezakan antara asbab dan musabbab hidayah ini.

Mengangkat-angkat peribadi atau tokoh tertentu hingga tahap memuja-muja, mencemuh dan memaki orang mengkritiknya, yang salah darinya tidak dikatakan salah, walau beliau seorang yang sangat mulia atau soleh sekalipun, itu bukanlah seruan dari al-Quran yang kita junjung muliakan.

مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُؤْتِيَهُ اللَّهُ الْكِتَابَ وَالْحُكْمَ وَالنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُوا عِبَادًا لِّي مِن دُونِ اللَّهِ وَلَٰكِن كُونُوا رَبَّانِيِّينَ بِمَا كُنتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتَابَ وَبِمَا كُنتُمْ تَدْرُسُونَ

Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab ugama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: “Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah”. Tetapi (sepatutnya ia berkata): “Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala – dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya.

Ali Imran, 3 : 79

وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِ الرُّسُلُ ۚ أَفَإِن مَّاتَ أَوْ قُتِلَ انقَلَبْتُمْ عَلَىٰ أَعْقَابِكُمْ ۚ وَمَن يَنقَلِبْ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ فَلَن يَضُرَّ اللَّهَ شَيْئًا ۗ وَسَيَجْزِي اللَّهُ الشَّاكِرِينَ

Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).

Ali Imran, 3 : 144

PUASA GANTI & PUASA SUNAT SYAWWAL

Oleh: Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman

Puasa sunat Syawal sememangnya amat popular di kalangan masyarakat kita hari ini. Dikesempatan ini saya suka menasihatkan semua yang ingin mengamalkan puasa sunat ini agar berhati-hati dari tipu daya syaitan yang kerap berjaya menjadikan seseorang individu yang berpuasa itu bermegah dan riya’ dengan amalannya.

” kau , dah hari ker berapa dah?”

“aku dah 5 hari dah ni”

“esok aku raya (sunat syawal)”

Ini adalah antara kata-kata yang kerap didengari di bulan syawal ini.

Ia menjadi seolah-olah satu budaya untuk berlumba menamatkan puasa enam. Ia agak terpuji tetapi ia dicemari oleh habahan-hebahan yang dibuat tentang bilangan hari puasanya bertujuan melihat ‘sapa lebih hebat?’.

Amat dibimbangi, tindakan ini bakal menghilangkan seluruh pahala puasa sunatnya. Kerana ia boleh menjadikan seseorang merasa riya, serta memperdengarkan amalan masing-masing yang sepatutnya di sembunyikan khas untuk Allah.

NAMUN, ada juga bertanya, habis jika ia ditanya orang atau ketika dipelawa makan? adakah ingin senyap sahaja?

Pertanyaan ini kelihatan sepatutnya mampu disesuaikan dengan nasihat di atas tanpa perlu bertanya lagi. Namun di zaman semua perlu dijelas satu persatu ini, kelihatan semua gagal menggunakan kebijaksanaan memahami mesej dari sebuah nasihat maka memilih untuk membangkang dan membantah. APA YANG dinasihati adalah semua kita berhati-hati agar kita tidak sesuka hati mengumumkan kita berpuasa atau jumlah bilangan puasa kita dan diikuti dengan rasa ingin menunjuk-nunjuk. Jika diperlukan sekadar menjawab persoalan dan mampu pula dijaga hati agar tidak sum’ah dan tidak pula berlebihan berbicara berkenaannya, seperti menyambung jawapan pertanyaan dengan menyebut jumlah hari yang sudah berpuasa, ditambah pula dengan adakalanya ‘memperlekehkan’ jumlah puasa orang lain dan yang sepertinya, maka SEKADAR menjawab ‘berpuasa’ wajarlah tiada masalah dan TIDAKLAH TERMASUK dalam larangan yang dinasihati.

Demikian juga bagi mereka yang memaklumkan puasanya dia kepada ahli keluarga atau rakan dengan niat mendorong kepada kebaikan, maka itu jika dilakukan dengan hati yang terkawal dan niat baik, TIDAK JUGA termasuk dalam riya’ dan sum’ah yang merosakkan. Insha Allah. Apapun perlu berhati-hati sentiasa kerana Syaitan itu amat licik dalam usaha melencongkan niat manusia seluruhnya.

ISU BERULANG SETIAP TAHUN

Satu isu yang kerap ditimbulkan berkenaan hal ini adalah tentang penggabungannya dengan puasa ganti ramadhan dan puasa yang mana satu lebih perlu diutamakan.

Jika ada yang bertanya manakah yang lebih baik di antara puasa sunat syawwal dan puasa qadha?. Jawapannya sudah tentu adalah puasa Qadha. Ini terbukti dari hadis Qudsi yang sohih

وما تقرب إلي عبدي بشيء أحب إلي مما افترضت عليه وما يزال عبدي يتقرب إلي بالنوافل حتى أحبه

Ertinya : “..dan tidaklah hampir kepadaku seorang hambaKu dengan apa juapun, maka yang lebih ku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardhu/wajib ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepadaKu dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya…” (Riwayat Al-Bukhari, no 6021)

Hadis tadi sebagai asas keutamaan, walau bagaimanapun dari sudut praktikal jawapannya mungkin berbeza menurut keadaan diri seseorang.

Maksudnya begini, jika seseorang itu perlu Qadha puasanya selama 30, berpuluh atau berbelas hari (kerana nifas atau haid yang lama di bulan Ramadan sebagai contoh) dan tubuhnya juga sihat dan di yakini masih kuat. ELOKLAH dia mengerjakan puasa sunat Syawwal terlebih dahulu di ketika itu . Ini adalah kerana waktu sunnat puasa Syawwal yang singkat berbanding Qadha (sepanjang tahun).

Bagaimanapun harus di ingat, walaupun waktu bagi puasa Qadha adalah panjang, kita tetap tidak pasti adakah kita mampu sampai ke tarikh itu atau ajal menjelang dahulu.

Seseorang yang mati sebelum mengganti puasa Ramadannya tetapi sudah berpuasa sunat Syawwal akan pasti bermasalah kerana ia dikira masih berhutang dengan Allah SWT.

Bagaimanapun seseorang yang mati setelah berjaya menggantikan puasanya tetapi tidak sempat berpuasa sunat Syawwal, pastinya tiada sebarang masalah pun, malah mungkin ia juga mungkin boleh mendapat pahala sunat syawal itu sekali. Berdasarkan sabda Nabi Salla Allahu ‘Alaihi wasallam :-

‏إن الله كتب الحسنات والسيئات ثم بين ذلك فمن هم بحسنة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له عنده عشر حسنات إلى سبع مائة ضعف إلى أضعاف كثيرة ومن هم بسيئة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له سيئة واحدة

Ertinya ” … barangsiapa yang beringinan melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, telah di tuliskan oleh Allah baginya pahala penuh, maka jika ia beringinan dan kemudian melakukannya, di tuliskan 10 pahala sehingga 700 kali ganda..” ( Riwayat Al-Bukhari, no 6010)

Kita harus memahami bahawa darjat puasa Qadha adalah lebih tinggi dan tanggungjawab bagi menunaikannya adalah jauh lebih besar dari sunat Syawwal, ini kerana puasa qadha adalah puasa wajib dan merupakan ‘hutang’ ibadah dengan Allah berbanding puasa syawwal yang hanyalah sebagai tambahan pahala.

Isu Gabung Sunat & Qadha

Isu menggabungkan puasa qadha dan syawal sememangnya amat popular, pandangan ringkas saya adalah seperti berikut :-

Tidak elok untuk menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu (dari sudut kesihatan tubuh dan lain-lain) untuk memisahkannya. Ini kerana sepengetahuan saya tiada dalil yang specifik membuktikan Nabi SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk menggabungkannya.

Apabila Nabi, sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik kerana pilihan Nabi Salla Allahu ‘Alaihi wasallam dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.

Malah terdapat juga hujjah-hujjah yang menyebabkan pandangan yang yang mengharuskan penggabungan ‘qadha dan ganti’ itu dipersoalkan, iaitu :-

1. Jika seseorang mengatakan boleh gabung puasa qadha (yang wajib) dengan puasa syawwal (yang sunat) maka sudah tentu selepas ini timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti gabungan solat isyak dengan terawih, atau subuh dengan ‘tahiyyatul masjid’ atau dengan solat sunat fajar, atau solat jumaat dengan solat sunat ‘tahiyyatul masjid’. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain timbul dalam ibadah wajib termasuk rekaan-rekaan pelik seperti solat fardhu subuh campur istikharah dan banyak lagi rekaan ibadah secara gabungan yang baru kelak termasuklah gabungan Haji beserta Umrah sekaligus dengan satu niat.

2. Menurut Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa’dy (ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan) mereka berpendapat bahawa amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat lain, kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu a’lam.

3. Tindakan A’isyah r.a yang melewatkan Qadha pula boleh di jadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan kedua-dua puasa Qadha dan Syawwal. Maka inilah yang terpilih sepatutnya. (tidak gabungkan kerana Aisyah r.a tidak menggabungkannya) . Aisyah menyebut :

كأن يكون عليّ الصيام من شهر رمضان فما أقضيه حتى يجئ شعبان

Ertinya : Kewajiban ke atasku untuk puasa (Qadha) dari puasa Ramdhan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang sya’ban” ( Riwayat Muslim, no 101)

4. Amalan wajib (qadha) memerlukan niat yang ‘jazam’ (tepat dan pasti) maka tindakan mengabungkan ia dengan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkannya kepastiannya. Kerana itulah ulama yang mengizinkannya mencadangkan agar diniat puasa qadha sahaja, adapun syawwal itu dipendam sahaja dengan harapan Allah menerimanya.

Bagaimanapun, ulama yang mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya tetap mengurangkan pahala sunat syawwal ini kerana tidak diniat dan tidak dilakukan sepenuhnya (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23)

5. Malah ada pula yang berhujjah bahawa amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu. Demikian menurut Syeikh Abu Raghib al-Asfahani, Syeikh Ihsan Muhammad ‘Aayish al-‘Utaibi dan juga di sebutkan oleh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh Awlawiyyat. Ini ada asasnya kerana berdasarkan hadith Nabi SAW

من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال فكأنما صام الدهر

Ertinya: “Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari Syawwal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)” (Riwayat Al-Bukhari, no 6502).

Kita dapat melihat penggunaan ‘fe’il madhi’ iaitu ‘past tense’ bagi puasa Ramadan, mungkin sahaja boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa Ramadannya perlulah melengkapkan dahulu, kemudian barulah mereka layak bagi mendapat peruntukan pahala sunat Syawwal.

Hujjah ulama yang mengharuskannya

Datang dari hadith:-

” Sesungguhnya amalan itu berdasarkan kepada niat, dan bagi seseorang apa yang diniatkan.” (Riwayat Bukhari, no 1, 1/12)

Ia dilihat agak umum, memang benar apa yang diniatkan adalah penting, tetapi niat mempunyai kaedah dan cara-caranya bagi diterima, contohnya seperti niat solat yang di cadangkan di dalam mazhab Syafie dimulakan semasa lafaz takbiratul ihram di sebut, jika tidak niat itu tidak dikira. (Rujuk Al-umm, hlm 78, cet Baytul Afkar; Rawdhah At-Tolibin, An-Nawawi, cet Baytul Afkar, hlm 103).

Justeru, niat juga ada displinnya dan tidak boleh dibuat sesuka hati di dalam ibadah.

KESIMPULAN

Kesimpulan dalam yang mengutarakan perbincangan yang terbatas ini adalah, terdapat IJTIHAD ULAMA yang membolehkan gabung dan wujud juga yang tidak membolehkan, justeru persoalan UTAMA yang tinggal kini boleh BOLEH ATAU TIDAK MENGGABUNGKAN tetapi lebih kepada manakah kaedah yang terbaik untuk DIRI. Jika ditanya kepada saya, jawabnya adalah SANGAT ELOK tidak digabungkan JIKA MAMPU DAN BERKINGINAN GANJARAN TERBESAR, justeru elok sangat didahulukan yang wajib (qadha) daripada sunat (syawwal);

Pandangan yang membolehkan saya anggap sebagai RUKHSAH “keringanan” bagi mereka yang mempunyai KESUKARAN kerana uzur dan tidak mampu untuk mengasingkannya. Antara ulama yang membolehkan untuk menggabungkannya adalah beberapa ulama dari mazhab Syafie (Mughni al-Muhtaj, 1/602), Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA), Syeikh Atiyyah Saqar, panelis fiqh Islam online.net dan beberapa yang lain.

TADABBUR PILIHAN JUZUK 30 – BIAR MALAIKAT SENTAP JASADNYA SATU PERSATU!

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Ayat pilihan yang elok kita faham, belajar dan hadam daripada juzuk 30 sempena hari ke 30 Ramadhan adalah:

أَرَأَيْتَ الَّذِي يَنْهَى (9) عَبْدًا إِذَا صَلَّى (10) ………….. كَلَّا لَئِنْ لَمْ يَنْتَهِ لَنَسْفَعًا بِالنَّاصِيَةِ (15) نَاصِيَةٍ كَاذِبَةٍ خَاطِئَةٍ (16) فَلْيَدْعُ نَادِيَهُ (17) سَنَدْعُ الزَّبَانِيَةَ (18) كَلَّا لَا تُطِعْهُ وَاسْجُدْ وَاقْتَرِبْ (19)

Ertinya: ADAKAH ENGKAU NAMPAK (BAIKNYA) ORANG YANG MELARANG (DAN MENGHALANG), SEORANG HAMBA ALLAH )MUHAMMAD SAW) APABILA DIA MENGERJAKAN SEMBAHYANG? ……… Jangan sekali-kali berlaku derhaka! Demi sesungguhnya jika dia (Abu Jahal) tidak berhenti (daripada perbuatannya yang buruk itu), nescaya Kami akan sentap ubun-ubunnya (dan mengheretnya ke dalam neraka), Ubun-ubun (orang) yang berdusta, yang bersalah. Kemudian biarlah dia (Abu Jahal) memanggil kumpulannya (untuk menyelamatkannya), Kami pula akan memanggil malaikat Zabaniyah (untuk menyeksanya)! Ingatlah! JANGANLAH ENGKAU (WAHAI MUHAMMAD) MENURUT KEHENDAKNYA, DAN (SEBALIKNYA) SUJUDLAH DAN DAMPINGKANLAH DIRIMU KEPADA ALLAH (DENGAN TAAT DAN BERAMAL SOLEH)! (al-‘Alaq 96:9-19).

Ayat di atas menyebut larangan menghalang mana-mana hamba Allah sujud kepada-Nya. Dalam kisahnya, ia menyebut cubaan musuh Allah (Abu Jahal) menghalang Rasulullah SAW daripada sujud kepada Allah. Berikutan cubaannya itu, dia akan dikeronyok kasar oleh malaikat Zabaniyyah dalam neraka di akhirat kelak. Ketika menjelaskan ayat ini, para ulama’ membawa sebuah kisah:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ أَبُو جَهْلٍ هَلْ يُعَفِّرُ مُحَمَّدٌ وَجْهَهُ بَيْنَ أَظْهُرِكُمْ قَالَ فَقِيلَ نَعَمْ فَقَالَ وَاللَّاتِ وَالْعُزَّى لَئِنْ رَأَيْتُهُ يَفْعَلُ ذَلِكَ لَأَطَأَنَّ عَلَى رَقَبَتِهِ أَوْ لَأُعَفِّرَنَّ وَجْهَهُ فِي التُّرَابِ قَالَ فَأَتَى رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يُصَلِّي زَعَمَ لِيَطَأَ عَلَى رَقَبَتِهِ قَالَ فَمَا فَجِئَهُمْ مِنْهُ إِلَّا وَهُوَ يَنْكُصُ عَلَى عَقِبَيْهِ وَيَتَّقِي بِيَدَيْهِ قَالَ فَقِيلَ لَهُ مَا لَكَ فَقَالَ إِنَّ بَيْنِي وَبَيْنَهُ لَخَنْدَقًا مِنْ نَارٍ وَهَوْلًا وَأَجْنِحَةً فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْ دَنَا مِنِّي لَاخْتَطَفَتْهُ الْمَلَائِكَةُ عُضْوًا عُضْوًا

Ertinya: Abu Hurayrah menceritakan Abu Jahal pernah bertanya “Adakah Muhammad membenamkan mukanya (solat dan sujud) ketika di ada bersama kalian?” Orang ramai menjawab – Ya!” Abu Jahal berkata “Demi Tuhan (Berhala) al-Lata dan al-‘Uzza, Kalau aku nampak dia masih begitu (sujud), Aku akan benam wajahnya ke tanah.” Dia kemudiannya keluar mencari Rasulullah SAW yang ketika itu sedang solat. Setiap kali Abu Jahal cuba menghampiri Baginda, dia akan terundur ke belakang dan menahan sesuatu dengan dua tangannya. Orang bertanya: “Mengapa kamu berbuat begitu?” Abu Jahal menjawab: “Aku dapati ada parit api, sesuatu menggerunkan dan banyak sayap yang menghalang antara aku dan dia.” Rasulullah bersabda: “Jika dia cuba dekati aku, pasti malaikat akan menyentap anggota badannya satu persatu (Sahih Muslim, hadith no 5005).

Larangan Allah pada akhir surah ini bukan sahaja suatu penegasan agar usah tunduk dengan tuntutan musuh Allah tapi punyai petanda ia situasi paling dekat antara hamba dan Tuhannya. Ia disebut perkataan واقترب – dan dekatkan dirimu kepada Allah. Sabda Rasulullah SAW:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ

Ertinya: Saat paling dekat antara seorang hamba dengan Tuhannya adalah ketika dia sujud. Oleh itu perbanyakkanlah doa (ketika sujud) (Sahih Muslim, hadith no 744(.

Ingat saya dahulu ketika masih kecil kanak-kanak. Kami kuat bermain dan bergurau sehingga ketika solat pun gurauan nak diajukan. Ketika abang saya solat, kanak-kanak nakal ini cuba mengganggunya. Pang! Tangan kecil abang saya menampar tepat ke muka. Saya jatuh menggelupur sakit luar biasa. Pada waktu itu timbul rasa hairan, tamparnya perlahan sahaja tapi sakitnya seperti ditumbuk keras tenaga orang dewasa. Selepas bertahun kisah itu berlalu, saya tadabbur ayat ini. Lalu hati jantung saya SEAKAN DAPAT RASA PUKULAN ITU TURUT TERSELIT PUKULAN MALAIKAT UNTUK MENDIDIK KANAK-KANAK KECIL ITU.

Solat adalah aktiviti paling mulia. Jangan sesekali cuba halang orang daripada menunaikan solat. Jika anda majikan atau yang berkuasa, berikan hak orang bawahan anda untuk menunaikan solat! Jangan sombong cuba menghalang hamba Allah sujud pada Tuhannya kerana bimbang saya, anda akan berhadapan keganasan Zabaniyah di akirat neraka kelak. Mohon dijauhkan Allah!

100384388_10217335542645947_5526412807211319296_n

RINGKASAN AMALAN DI HARI RAYA & BOLEHKAH BERSUKARIA DI MUSIM RAYA?

Oleh: Ustaz Dr Zaharuddin Abd Rahman

Jika demikian, adakah Muslim di tegah untuk bersuka ria di hari raya dan hanya bersedih sahaja ?.

Jawapannya, bergembira di Syawal tidak ditegah, malah Rasulullah s.a.w sendiri membenarkan umat islam bergembira di Syawal, dengan syarat gembira itu mestilah dilaksanakan dan dizahirkan dalam bentuk yang di terima Islam.

Nabi SAW juga pernah menegur kepada Abu Bakar As-Siddiq apabila melihat Abu Bakar memarahi Aisyah r.a dan penghibur kanak-kanak yang sedang menyanyikan nasyid di rumah Rasulullah SAW dengan katanya :

دعهما يا أبا بكر فإنها أيام عيد

Ertinya : “Biarkan ia ( wahai Abu Bakar) kerana ini adalah hari raya” ( Riwayat Al-Bukhari)

Mukmin sebenar akan merasa gembira kerana berterima kasih kepada Allah s.w.t atas kurniaan kesempatan dan peluang untuk mereka mendapat keampunan di bulan Ramadhan.

Sudah tentu mukmin ini merasa puas dengan usahanya yang berganda, walaupun penerimaannya adalah terpulang kepada Allah SWT semata. Ia bertepatan dengan Hadith Nabi SAW :

من سَرَّتْهُ حَسَنَتُهُ وَسَاءَتْهُ سَيِّئَتُهُ فذلك الْمُؤْمِنُ

Ertinya “Sesiapa yang merasa gembira apabila ia melakukan amal baik dan merasa buruk dengan perlakuan dosanya, itulah ciri Mukmin sejati ” (Riwayat At-Tirmizi, no 2165, 4/465 ; Tirmizi : Hasan Sohih ; Al-Haithami : perawinya sohih , rujuk Majma Az-Zawaid, 1/86 )

Selain mengenangkan usaha berganda yang telah dilakukan sewaktu Ramadhan, bergembira juga atas kejayaan membina ‘benteng kukuh’ dari godaan Syaitan, bukankah Nabi SAW telah menyebut bahawa “Puasa itu benteng” (Riwayat Al-Bukhari).

Kerana itu mereka menyambutnya dengan kegembiraan.

MENGAPA ORANG MUKMIN TULEN BERSEDIH?

Jika tadi disebut mukmin gembira, kali ini mengapa pula mukmin bersedih dengan pemergian Ramadhan?

Bergembiralah Orang Yang Membersihkan Hatinya di Ramadhan Secara ringkasnya, dengan berdasarkan dalil-dalil yang sohih, peluang dan kemudahan yang diberikan Allah SWT di bulan ini yang pastinya akan dirindui dan di tangisi oleh para mukminin dan solihin adalah :-

1) Peluang untuk meraih ke Syurga yang terbuka luas di dalamnya, berdasarkan hadith yang menyebut tentang pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan Syaitan di belenggu. Lalu mukmin sentiasa bimbang akan penerimaan Allah SWT terhadap diri dan amalannya.

2) Tawaran pengampunan dosa-dosa silam bagi yang berpuasa dan menghidupkan malamnya dengan solat terawih ikhlas kerana Allah. Berdasarkan hadith Bukhari dan Muslim. Tamat jua peruntukan hebat ini di akhir Ramadhan.

3) Kemaqbulan doa yang hebat ketika berpuasa dan berbuka berdasarkan hadith Riwayat Ibn Majah yang sohih. Berlalulah tawaran ini dengan pemergian Ramadhan.

4) Peluang mempertingkat taqwa, iman dan menambah keberkatan dalam hidup dunia dan akhirat. Ia berdasarkan firman Allah SWT.

5) Peluang terbesar di Malam al-Qadar yang amat istimewa. (Rujuk artikel lepas)

Hasil dari sebab inilah, kita dapati ramai ulama silam disifatkan amat sedih dengan pemergian Ramadhan, terutamanya apabila memikirkan samada akan dapat bertemu lagi pelaung sehebat Ramadhan di tahun hadapan.

TAMATNYA SIRI YANG DIMINATI

Bagi sesiapa yang ingin memahaminya dengan lebih lagi. Cuba anda bayangkan anda meminati sebuah rancangan drama di televisyen yang disiarkan tepat jam 5-6 petang setiap hari.

Rancangan yang tidak pasti akan ada ulangannya atau tidak ini, sudah anda ikuti siri-sirinya sejak sekian lama, tiba-tiba dengan sebab jem yang teruk di jalanan, anda terlepas dari menyaksikannya. Anda juga tidak pasti bagaimana atau samada anda boleh mendapatkan rancangan ulangannya. Demikian juga anda pasti merasakan sedih kerana rancangan kegemaran anda sudah hampir berakhir. Sedangkan anda masih belum puas menontonnya dan menikmatinya.

Sebagaimana perasaan hiba dua ibubapa yang ingin berpisah dengan anak kesayangannya setelah selesai musim cuti hariraya.

Demikianlah para mukmin soleh dengan Ramadhan, tamatnya siri hebat ramadhan ini amat memilukan bagi mereka yang hatinya bersinar dengan cahaya iman.

RINGKASAN AMALAN DI HARI RAYA

Di hari mulia Syawal ini pula, umat Islam adalah amat digalakkan untuk :-

1) Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat idil fitri .

Ulama besar Tabien Said Bin Jubayr berkata : “Tiga perkara sunnah di hari raya iaitu antaranya : mandi sunat sebelum keluar solat hari raya”.

2) Menjamah makanan sebelum keluar. (kecuali tahun 2020 ini tidak dibenakran keluar beraya bagi ramai)

Ia berdasarkan hadith dari Anas Bin Malik yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang menyebut : “Nabi SAW tidak keluar di pagi hari raya idil fitri sehinggalah Nabi SAW menjamah beberapa biji kurma…”

3) Memperbanyakkan Takbir dan bukan memperbanyakkan menonton TV dan bermain mercun ;

Seharusnya umat Islam jangan terlalu di sibukkan dengan aktiviti persiapan raya sehingga meninggalkan peluang takbir ini. Ini adalah penting bagi syiar Islam selain kalimah Takbir yang dibenci oleh Syaitan. Ad-Dar Qutni melaporkan bahawa apabila Ibn Umar r.a keluar di hari raya Idul Fitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan solat hari raya.

4) Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain ;

Tiada masalah untuk menggunakan apa jua kalimah, asalkan ianya mempunyai maksud yang sama. Bagaimanapun, kalimah yang digunakan di zaman baginda SAW adalah “Taqabbalallahu minna wa minkum” ertinya : Semoga Allah menerima amalan (amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu”.

Disebut dalam sebuah riwayat :

قال واثلة لقيت رسول الله يوم عيد فقلت تقبل الله منا ومنك قال نعم تقبل الله منا ومنك

Ertinya : Berkata Wathilah, Aku bertemu Rasulullah s.a.w pada hari raya dan aku katakan pada baginda “taqabballahu minna wa minka”, baginda menjawab : Ya, taqabbalallahu minna wa minka” ( Al-Baihaqi, rujuk perbincangan di Fath Al-Bari, 2/446 )

5) Memakai pakaian terbaik yang ada ;

Walaupun demikian, perlulah mengikut kemampuan dan tiada pembaziran dibenarkan.

Tidak dibenarkan untuk menghina pakaian orang lain yang kurang indah dan mahal (kecuali pakaian seksi dan tidak menutup aurat memang di haramkan di dalam Islam).

6) Menukar jalan ke tempat solat (balik dan pergi bagi mereka yang dibenarkan pada tahun ini ) ;

Ia berdasarkan hadith dari Jabir r.a yang menyebut bahawa Nabi SAW biasanya menukar atau berbeza jalan pergi dan pulang apabila di hari raya” (Riwayat Al-Bukhari)

7) Berziarah dan merapatkan hubungan baik (ukhuwwah) sesama Muslim sempena musim cuti yang diperolehi. (bagi yang dibenarkan)

Nabi pernah bersabda :

مَن سَرّه أن يُبسط له في رزقه ، وأن يُنسأ له في أثره ؛ فَلْيَصِل رَحِمَه

Ertinya : Barangsiapa yang suka untuk diperluaskan baginya rezekinya, dan ditangguhkan (dipanjang) umurnya, maka hendaklah dia menyambung (mengukuh) hubungan persaudaraannya ( Riwayat Al-Bukhari & Muslim)