CARI-LAH HIKMAH DI SEBALIK LANJUTAN PKP

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari Bin Abdul Rahim

Entah mengapa ujian berkurung ini dilanjutkan Allah.

Mungkin kerana doa kita agar wabak COVID 19 diangkat Allah belum dimakbulkan sepenuhnya.

Mungkin kerana iklim bumi belum benar-benar pulih setelah lama dicederakan manusia.

Mungkin kerana arahan berkurung oleh kerajaan belum benar-benar kita patuhi.

Mungkin kerana solat jemaah dalam rumah kita belum cukup mengisi ruang rohani dalam keluarga yang selama ini penuh leka.

Mungkin kerana hubungan keluarga masih belum erat rapat dalam tempoh berkurung sebelum ini.

Mungkin kerana bacaan al-Quran kita masih belum mencapai sasaran rohani sepatutnya.

Mungkin kerana darjat sabar kita belum benar-benar teruji.

Mungkin Allah mahu kita yang tetap gaji bulanannya mengecap rasa sukarnya hidup orang yang tuaian bulannya terjejas teruk dek PKP, lalu kasihan belas sesama kita semakin meningkat

Mungkin? Mungkin? Mungkin?

Banyak sekali kemungkinan dan andaian yang boleh dibuat sebagai suatu cara muhasabah diri. Apa yang pasti banyak musibah berlaku kerana salah kita bukan salah Allah. Firman Allah:

مَا أَصَابَكَ مِنْ حَسَنَةٍ فَمِنَ اللَّهِ وَمَا أَصَابَكَ مِنْ سَيِّئَةٍ فَمِنْ نَفْسِكَ وَأَرْسَلْنَاكَ لِلنَّاسِ رَسُولًا وَكَفَى بِاللَّهِ شَهِيدًا

Ertinya: Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia daripada Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia daripada (kesalahan) dirimu sendiri. Dan Kami telah mengutus engkau (wahai Muhammad) kepada seluruh umat manusia sebagai seorang Rasul (yang membawa rahmat). Dan cukuplah Allah menjadi saksi (yang membuktikan kebenaran hakikat ini) (al-Nisa’ 4:79).




Comments are Closed