Perutusan

now browsing by category

 

Seruan Multaqa Asatizah & Du’at (MURSHID) Menjelang PRU-13 Malaysia

MURSHID adalah perkumpulan asatizah, pendakwah dan ilmuan Islam yang meyakini bahawa pendekatan Islam yang Wasatiyyah merupakan cara yang terbaik untuk umat Islam melaksanakan Syariat Islam di dalam kehidupan mereka. Bertitik tolak dari kesedaran para ilmuwan merupakan guru dan pembimbing masyarakat, MURSHID terpanggil untuk membuat kenyataan rasmi menjelang PRU-13 sebagai sebahagian dari usaha mendidik dan menasihati masyarakat.

Berpegang kepada prinsip-prinsip fundamental yang telah digariskan oleh al-Quran dan Sunnah Rasulullah sallaallahu ’alaihi wasallam berkaitan politik, kepimpinan, hak warga yang dipimpin dan juga peranan segenap anggota masyarakat seumpama:

1. Prinsip Amanah

al-Quran: “Allah telah memerintahkan kamu agar menunaikan amanah kepada mereka yang berhak, dan apabila kamu menghukum di antara manusia, berhukumlah dengan adil…. (al-Nisa (4): 58).

al-Quran (Ali Imran, (3): 103): “Berpeganglah kamu dengan tali Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai…”

Rasulullah sallaallahu’alaihi wasallam juga berpesan: “Setiap kamu adalah pengembala, dan setiap kamu bertanggungjawab ke atas gembalaanmu” (HR al-Bukhari)

2. Prinsip ‘Adl wa Ihsan

“Allah telah memerintahkan kamu agar menunaikan amanah kepada mereka yang berhak, dan apabila kamu menghukum di antara manusia, berhukumlah dengan adil…. (al-Nisa (4): 58)

Rasulullah Sallaallahu’alaihi wasallam, di antara lain yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mewajibkan berlaku ihsan (menyempurnakan sesuatu dengan baik) dalam semua perkara.” (HR Muslim)

Di dalam hadis lain, baginda juga ada menyebutkan: “Barangsiapa yang berupaya memberikan manfaat kepada saudaranya, maka hendaklah ia melakukannya” (HR Muslim);

Rasulullah sallaallahu’alaihi wasallam juga menjanjikan menurut hadis yang disampaikan oleh Abu Hurayrah: “Barangsiapa yang melepaskan seorang mukmin daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskannya daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan Qiamat. Barangsiapa yang mempermudahkan bagi orang susah, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya di dunia dan di akhirat.” (HR Muslim);

3. Prinsip Amar Ma’ruf Nahy Munkar (Mengajak kepada kebaikan melarang kemungkaran)

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.” (Al Imran (3): 110);

Rasulullah sallaallahu’alaihi wasallam yang menyentuh persoalan tersebut, antaranya: “Barangsiapa yang nampak kemungkaran hendaklah dia merubahnya dengan tangan, dan jika dia tidak mampu, maka hendaklah dia menggunakan lisannya, dan jika tidak mampu hendaklah dia merubahnya dengan hatinya, maka itu adalah selemah-lemah iman” (HR Muslim.)

Di dalam hadis yang lain pula, Rasulullah sallaallahu’alaihi wasallam bersabda: “Ketua para syuhada di syurga ialah Hamzah, dan seorang lelaki yang berdiri di hadapan pemimpin yang zalim dan menasihatinya, dan kemudian dia dibunuh” (Hadis riwayat al-Hakim.)

Baginda juga menyatakan di dalam makna yang sama: “Sebaik-baik jihad adalah perkataan yang benar di hadapan pemimpin yang zalim” (Hadith riwayat al-Tarmidhi, Abu Daud dan Ibn Majah)

4. Prinsip Islah

“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) ummatan wasata (satu umat yang pertengahan), supaya kamu layak menjadi orang yang menjadi Syuhada (saksi dan pemberi keterangan) kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.” (al-Baqarah (2): 143)

Islah juga merupakan tema asasi perutusan para Nabi dan Rasul. Pendekata, Islam sepertimana yang telah diturunkan oleh Allah SWT ke atas manusia sekeliannya melalaui para Nabi dan Rasul mempromosikan Islah secara hebat. Islah adalah tugas utama para Khalifah di muka bumi sebagai manifestasi kepada pandangan dunia Tawhid mereka. Tanpa Islah, proses ubudiyyah tidak akan berlaku secara berterusan dan diwarisi turun temurun .

Read the rest of this page »

PESANAN MURSHID SEMPENA HARI RAYA ‘IDUL FITRI

Sempena sambutan hari Raya Aidil Fitri yang bakal menjelma pada 1 Syawwal 1433H ini, pihak Multaqa Asatizah dan Du’at (MURSHID) atau ‘Himpunan Para Ustaz dan Pendakwah’ ingin memberikan nasihat berkaitan Hari Raya ‘Idul Fitri dan juga aspek keselamatan Jalan Raya semasa pulang berhari raya.

Sambutan hari raya adalah suatu anugerah Allah yang amat besar kepada umat Islam (al-Baqarah[2:185]). Kepulangan berhari raya sepatutnya menjadi suatu kesinambungan rahmat tersebut dengan menjaga adab semasa berada di jalan raya dan menyambut ‘Idul Fitri. Pesanan ini merangkumi dua perkara iaitu;

SAMBUTAN ‘IDUL FITRI

Sambutan ‘Idul Fitri sejurus berakhirnya sekolah Ramadhan adalah suatu lambang kejayaan mendidik jiwa manusia mencapai martabat taqwa sebagaimana firman Allah:

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa (al-Baqarah[2:183]).

Anugerah Taqwa yang diperolehi dari latihan Ramadhan bakal menjadi pembimbing bagi umat Islam untuk menempuh kehidupan sepanjang hayat sebagaimana firman Allah:

Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar (al-Anfal[8:29]).

Read the rest of this page »

Perutusan MURSHID sempena Ramadhan 1433

Sempena menyambut bulan Ramadan yang mulia tahun 1433 Hijrah ini, Multaqa Asatizah dan Du’at (MURSHID) atau ‘Himpunan Para Ustaz dan Pendakwah’ ingin mengucapkan tahniah kepada semua umat Islam yang diberi anugerah rezeki oleh Allah s.w.t bagi menyambut bulan Ramadan pada tahun ini.

Dengan itu, kami menyeru seluruh umat Islam agar menyambut bulan Ramadan yang mulia ini dengan kesedaran bahawa ia adalah suatu bulan mujahadah bagi mencapai taqwa melalui latihan kerohanian dan ketahanan terhadap dugaan syahwat yang pelbagai serta peningkatan ilmu terhadap inti Al-Quran serta menambahkan bacaannya. Allah s.w.t menyebut :

شهر رمضان الذي أنزل فيه القرآن هدى للناس وبينات من الهدى والفرقان

Ertinya: “Bulan Ramadan yang diturunkan padanya Al-Quran sebagai pentunjuk bagi manusia dan bukti keterangan dari petunjuk dan pembeza (di antara yang benar dan salah). (Al-Baqarah: 185)

Sempena bulan Ramadan, bulan tarbiah dan perjuangan ini, kami ingin menegaskan beberapa hal berikut :-

1. Menyeru para ilmuan Islam dan masyarakat awam agar kembali memikirkan dan berusaha memberikan fokus serta penelitian terhadap amalan dan isu-isu yang paling utama di bulan Ramadan seperti :-

a) Meraih Taqwa & Mendapatkan Keampunan : Hal ini ternyata dengan sangat jelas melalui arahan Allah dan RasulNya. Perbincangan berkenaan kaedah, cara dan cabaran yang boleh menghalang seseorang dari mencapai sasaran ini perlu diberikan perhatian yang lebih utama.

b) Bulan Mengingati Fungsi Al-Quran : Allah menyebut bahawa Al-Quran diturunkan di bulan Ramadhan ini sebagai petunjuk, dan bukti kebenaran petunjuk dan pembeza di antara haq dan yang batil. Justeru perbincangan berkenaan kemestian umat Islam kembali kepada Al-Quran sebagai satu-satunya formula untuk berjaya sebagai golongan bertaqwa dan selamat dunia akhirat perlu diperhebatkan.

c) Amaran Terhadap Pengikis Pahala Ramadhan yang tiada khilaf padanya: Sabda-sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam berkenaan tindakan yang boleh menghapuskan pahala puasa Ramadhan seperti bercakap kotor, nista, carut dan perbuatan jahat dan keji di waktu bulan ini. Ia perlu dipertekankan kerana ia adalah perkara yang disepakati bakal merosakkan pahala puasa seseorang walaupun ia tidak sampai membatalkan zahir puasanya.

d) Kaedah Penambah Pahala & Redha Allah di Bulan Ramadhan yang tiada khilaf padanya: Sabda-sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam yang mengandungi janji-janji dan tawaran Allah di bulan ini juga perlu diperluas kepada orang ramai agar semakin ramai yang berpotensi ke Syurga Allah sekaligus melemahkan fungsi Syaitan dan nafsu amarah yang sentiasa ingin mengajak kepada kemaksiatan.

2. Mengajak seluruh umat Islam agar mempergandakan amalan kebaikan, ketaatan, dan menghulurkan bantuan kebendaan dan doa kepada faqir miskin dan semua yang memerlukan sama ada di Malaysia atau di luar negara, khususnya di negara-negara yang sedang bergolak seperti di Syria dan Rohingya, Burma. Mereka sedang menderita di tangan orang-orang zalim dan pihak pelampau sehingga menghadapi penderitaan dan kesukaran mempertahankan nyawa dan maruah selain penderitaan mendapatkan sesuap makanan, turut terganggu peluang untuk menyempurnakan ibadah di bulan Ramadan ini. Tidak ketinggalan juga menyeru agar kita mempergandakan doa bagi pembebasan bumi Palestin dan Al-Quds Al-Syarif yang diberkati.

3. Kami juga mengajak semua pemerintah dan ketua di peringkat masing-masing untuk melakukan penelitian terhadap amanah masing-masing dan keadaan semua yang di bawah tanggungjawab mereka, mengenalpasti punca kelemahan dan masalah serta penyelesaian dengan ilmu dan keinsafan. Justeru, tingkatkanlah amalan syura melalui konsultansi dan perbincangan dengan mereka yang di bawah agar keadilan dapat ditegakkan dan mengembalikan keharmonian.

4. Mendesak dan menyeru pihak berwajib di Malaysia agar menyatakan teguran kepada pihak kerajaan Burma atas kezaliman terhadap masyarakat Muslim di Burma dapat ditamatkan dengan segera. Tindakan seperti ancaman menyekat hubungan diplomasi di antara negara juga wajar dilakukan jika hal tersebut dibiarkan berterusan.

5. Menyeru diri kami sendiri, para ulama, golongan ilmuan agama dan masyarakat awam agar menghormati perbezaaan pandangan dan ijtihad dengan menjauhi perdebatan secara melampau dan cercaan dalam membincangkan hal-hal seperti perkara-perkara yang membatalkan puasa, jumlah rakaat solat terawih dan lain-lain hal yang diperbezakan halnya di kalangan ulama sejak dahulu. Ini adalah kerana dibimbangi, perdebatan dan kekasaran kata-kata mampu mencarikkan tuntutan penjagaan ukhuwwah, lidah, mulut dan mengundang kemarahan di bulan yang mulia ini.

6. Menyeru kepada seluruh masyarakat agar mempertingkatkan kualiti diri di bulan Ramadan dan bukan dijadikan alasan untuk tidak produktif. Ramadan bukan sama sekali suatu bulan yang patut dijadikan alasan penghalang produktiviti kerja. Begitu juga amat perlu menjauhi pembaziran dan pemborosan dalam makanan dan penggunaan masa.

7. Menyeru masyarakat awam mengambil peluang gandaan pahala di bulan ini dengan memperbanyakkan amalan ibadah khusus serta peluang nasihat menasihati dengan cara yang terbaik dan disenangi melalui akhlak mulia. Menjauhi sangkaan buruk dan mendahulukan sangkaan baik terhadap sesama Muslim.

8. Bagi memastikan kita mampu mencapai keampunan Allah dan rahmat apabila tamat Ramadan nanti, kami menyeru diri kami dan semua umat Islam agar menginsafi apa jua hak orang lain yang dirampas, tubuh yang dipukul, harta yang diambil tanpa izin, hutang yang sengaja dilewat dan tidak dibayar, maruah yang dicorek melalui perkataan dan fitnah, sihir yang dikenakan ke atas orang lain serta apa jua kezaliman yang dilakukan agar segera ditamatkan atau dipulang semula harta yang diambil.

9. Kami turut menyeru umat islam agar menjauhi hutang tanpa keperluan di bulan mulia ini semata-mata untuk menunjuk-nunjuk atau bermewah dengan harta yang dipunyai. Membebankan diri dengan hutang tanpa keperluan mendesak boleh membawa kemudaratan di kemudian hari.

Sekian,
Multaqa Asatizah dan Du’at (MURSHID)
1 Ramadan 1433 H

Ahli-ahli MURSHID :
1. Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Penasihat)
2. Dr. Zaharuddin Abd Rahman (Pengerusi)
3. Dr. Zahazan Mohamed
4. Dr. Maszlee Malek
5. Dr. Abd Basit Abd Rahman
6. Dr. Ahmad Wifaq Mokhtar
7. Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali
8. Dr. Mohd Sukki Othman
9. Ustaz Roslan Mohamed
10. Ustaz Mohd Zamri Mohd Zainuldin
11. Ustaz Muhammad Nidzam Abd Kadir
12. Ustaz Imam Muda Muhammad Asyraf Ridzuan
13. Ustaz Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim
14. Ustaz Mohd Aizam Mas’ud
15. Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman
16. Ustaz Ahmad Fauwaz Dato’ Fadzil
17. Ustaz Syed Mohamad Nurhisyam Tuan Padang
18. Ustaz Muhd Ramadhan Fitri Elias
19. Ustaz Abdullah Bukhari Abd Rahim
20. Xifu Abd Naser Abd Rahman