Uncategorized

now browsing by category

 

Salam Aidilfitri Maaf Zahir Batin

Pertubuhan Multaqa Asatizah & Du’at (MURSHID) mengucapkan Salam Aidilfitri & Maaf Zahir Batin kepada umat Islam yang menyambutnya di Malaysia dan seluruh dunia amnya.

Semoga Aidilfitri ini bermakna kepada semua yang menyambutnya bersama kaum keluarga dan sahabat handai.

aidilfitri - Copy 2

Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman; 10 Terakhir Ramadhan & Lailatul Qadar

malam lualtul qadar

Peluang ibadat dalam 10 malam terakhir Ramadhan telah sedai diketahui ramai. Pengkhususan berkenaan kehebatan dan tawarannya juga bukan lagi ganjil dari minda umat Islam sedunia.

Kehebatan Malam Al-Qadr

Dalam tulisan ringkas ini, cuba sama-sama kita hayati beberapa keistimewaan Laylatul Qadar seperti berikut :-

1) Malam berkat yang di turunkan padanya Al-Quran (secara sepenuhnya dari Lawh Mahfuz ke Baytil Izzah di langit dunia sebelum diturunkan kepada Nabi SAW secara berperingkat) ;

Justeru ia disifatkan sebagai malam penuh berkat dalam ayat 3 surah ad-Dukhaan. Pandangan ini adalah sohih dari Ibn Abbas, Qatadah, Sai’d Ibn Jubayr, ‘Ikrimah, Mujahid dan ramai lagi. (Tafsir Al-Baidawi, 5/157 ; Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 16/126 )

2) Di tuliskan pada malam tersebut “qadar” atau ketetapan bagi hidup, mati, gembira, rezeki, sihat, sakit dan apa jua berkaitan qadar manusia dan destinasi mereka pada tahun itu.

Ini diambil dari firman Allah s.w.t :-

فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ أَمْرًا مِّنْ عِندِنَا إِنَّا كُنَّا مُرْسِلِينَ

Ertinya : Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah, urusan yang besar dari sisi Kami. Sesungguhnya Kami adalah Yang mengutus rasul-rasul ( Ad-Dukhan : 4-5)

Imam At-Tabari menyebut bahawa pada malam itu, diputuskan hal ajalnya seseorang, rezekinya, kejadiannya. Malah di malam tersebut juga, ditentukan siapa yang berkahwin dengan siapa, nama siapa yang termasuk dalam senarai kematian pada tahun berikutnya, apakah musibah yang akan menimpa dan lain-lain. Ia juga yang dihuraikan oleh Imam Qatadah, Mujahid dan Al-Hassan(Tafsir At-Tabari, 25/108 )

Imam Al-Qurtubi mencatatkan

Ertinya : Berkata Ibn Abbas, Allah s.w.t menghakimi atau menentukan urusan untuk dunia apabila tibanya Laylatul Qadar, dari segala urusan tentang kehidupan (hambanya) atau kematian atau rezeki (Al-Jami Li Ahkam Al-Quran, Al-Qurtubi, 16/126)

Demikian juga yang difahami dari apa yang disebut oleh Ibn Abbas. (Tafsir Ibn Kathir, 137/138). Imam An-Nawawi ada menghuraikan maksud panjang bagi hal ini. (Syarah Sohih Muslim, 8/57). Menurut pandangan yang lain qadar juga membawa bermaksud mulia atau agung.

Adakah kita sudah BERSEDIA untuk meninggal dunia hari ini atau sebentar lagi?

Adakah merasa takut untuk menunggu kehadirannya?

Saya selalu cuba menghadirkan perasaan dan persoalan ini dalam minda saya, terutamanya ketika memandu kereta dan menaiki kapal terbang. Terbayang tayar meletup dan kereta terhumban, atau kapal terbang rosak dan menunggu maut hadir sebagaimana yang saya kerap dan suka saya lihat perbincangan mengenainya di dalam rancangan ‘Air Crash’ terbitan National Geographic Channel.

Jika belum merasa sedia, maka apakah sebabnya? Adakah umur yang diberikan belum mencukupi?, atau aqal belum sempurna berfikir untuk menyiapkan persediaan.? Bukankah kita merupakan insan normal yang punyai aqal sihat, malah kita amat marah digelar ‘bodoh’ oleh orang lain.

Lantas, apakah lagi alasan yang ingin kita sebutkan? Adakah kerana terlalu sibuk mengejar dunia dan leka dengan kenikmatan sementaranya, sehingga tiada masa memikirkan ibadah dan mengetahui perkara halal serta haram.

Justeru, malam Al-Qadr boleh menjadi satu peluang dan ruang untuk berdoa memanjangkan umur dalam ibadah, amal soleh dan rezeki yang baik. Berusahalah.

Sama-sama kita hidupkan malam-malam akhir Ramadhan dengan dengan beribadat sehabis mungkin bagi memastikan yang terbaik buat destinasi hidup kita.

Hanya beberapa hari sahaja untuk bersengkang mata dan melawan nafsu tidur dan rehat. Jika kita punyai cuti yang agak panjang sebelum raya, habiskan ia dengan bacaan Al-Quran dan fahami ertinya. Nafsu ‘shopping’ dan rehat pasti akan menganggu. Lawani ia, hanya beberapa hari sahaja, paling panjang 10 hari sahaja.

3) Malam ini terlebih baik dari seribu bulan untuk beribadat.

Perlu difahami bahawa para ulama berbeza pandangan dalam pengertian seribu bulan kepada pelbagai takwilan. Cuma Imam At-Tabari selepas membawakan hampir semua pendapat-pendapat semua pihak ia mentarjihkan dengan katanya :-

وأشبه الأقوال في ذلك بظاهر التنزيل قول من قال عمل في ليلة القدر خير من عمل ألف شهر ليس فيها ليلة القدر

Ertinya : Pendapat yang paling tepat dari zahir teks nas yang diturunkan adalah pendapat yang mengatakan erti Seribu bulan adalah “beramal di laylatu Qadr sama dengan amalan seribu bulan yang tiadanya lailatul Qadr ( selain bulan Ramdhan) ( At-Tabari, 30/259)

Imam Malik dalam al-Muwatta’ membawakan satu hadis Nabi s.a.w yang memberi makna seribu bulan itu adalah gandaan sebagai ganti kerana umur umat zaman ini yang pendek berbanding zaman sebelum Nabi Muhammad SAW yang amat panjang seperti Nabi Nuh as. (Al-Muwatta, no 698, 1/321 ; Al-Jami’ Li Ahkamil Quran, Al-Qurtubi, 20/133 ; Syeikh Atiyyah Saqar, Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, dengan pindaan).

4) Pada malam itu, turunnya para Malaikat dan Ruh (Jibrail as).

Hal ini disebutkan di dalam al-Quran dari surah al-Qadr. Manakala, dalam sebuah hadith disebutkan bahawa pada malam tersebut, malaikat akan turun dan berjalan kepada seluruh individu yang sedang beribadat secara berdiri, duduk, bersolat, berzikir, serta memberi salam kepada mereka dan mengaminkan doa mereka maka Allah akan mengampunkan mereka kecuali empat kumpulan : Peminum arak, penderhaka ibu bapa, pemutus siltarurrahmi dan individu yang sedang bermusuhan.

5) Malam itu juga disebutkan sebagai malam yang sejahtera.

Hinggakan Syaitan juga tidak mampu untuk melakukan kejahatan dalamnya. (Tafsir Ibn Kathir, 4/531 ; Al-Qurtubi, 20/134 ) . Sejahtera dan keberkatan ini akan berterusan sehingga naik fajar dan bukannya pada saat tertentu sahaja. Hal ini juga di sebutkan dari firman Allah dalam surah al-Qadr.

6) Diampunkan dosa terdahulu bagi sesiapa yang menghidupkannya dengan iman, ikhlas dan mengharap redha Allah;

Ia berdasarkan hadith sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim. (Fath al-Bari, 4/251)

Hidup kita adalah pendek, panjangkan ia dengan amal jariah dan amalan soleh melebihi seribu bulan.

Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman; Boleh Tegur Pemimpin

Akhbar Sinar Harian hari ini memaparkan artikel mengenai apakah cara bersesuaian untuk mengenai isu menegur pemimpian.

Artikel ini turut memuatkan bingkisan temuramah wartawan Sinar Harian bersama Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman (Presiden MURSHID).

Artikel penuh ini boleh dibaca di pautan yang tertera di bawah;
http://www.sinarharian.com.my/sinar-islam/boleh-tegur-pemimpin-1.841351

WhatsApp Image 2018-06-01 at 15.46.53


 

 

Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman; Penjelasan Mengenai Mengejar Gandaan Pahala Ditawar di Musim Ramadhan.

lelak mengai

SOALAN : Salahkah mereka tiba-tiba ringan beribadah di bulan Ramadhan kerana ingin mengejar gandaan pahala yang ditawar di musim Ramadhan?

JAWAPAN SAYA : TIDAK SALAH, malah jika benarlah ia salah, mengapa pula Allah dan RasulNya menawarkannya kepada manusia perkara yang salah utuk dikejari? Ia juga TIDAK SALAH kerana pahala itu adalah ghaib sifatnya yang berupa lembaran keredhaan Allah swt dan bukannya bersifat material duniawi. Ini sama halnya seperti beribadah kerana mengejar syurga Allah. Justeru, mengejarnya beerti manusia sangat responsif, sangat mengambil berat dan sekaligus mengagungkan Allah swt itu sendiri dan seluruh tawaranNya.

Ia juga BUKAN syirik, kerana pahala itu adalah hal yang TIDAK terpisah dari Allah swt, redha dan rahmatNya.Ia juga TIDAK bercanggah dengan definisi keikhlasan dalam beribadat, ikhlas beramal adalah hanya untuk Allah swt, beramal untuk meraih pahala yang disediakan Allah juga sebahagian dari definisi tersebut. Cuma ia mungkin jika dilihat dari sudut Tasauf, ia dari jenis ibadah yang sederhana kualiti dan bukan yang tinggi sahaja.

Hasilnya, jika manusia amat ghairah dan berminat beribadah kerana pahala walaupun hanya di bulan ini kalau itulah sahaja yang termampu dek mereka asalkan mereka tidak meninggalkan yang wajib. Namun demikian, mereka sepatutnya membuat yang lebih baik dari itu dengan meneruskannya di luar Ramadhan sebagai tanda berjayanya proses pendidikan Ramadhannya.

Sifat keinginan kepada pahala di waktu puasa ini dinyatakan dalam hadis popular :-
من صام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه
Ertinya : Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dalam keadaan penuh keimanan dan “ihtisab” , maka akan diampunkan baginya dosanya yang terdahulu” ( Riwayat Al-Bukhari, no 38, 1/22)

Apakah erti ihtisab?

Al-Hafidz Ibn Hajar memetik takrifan yang diberikan oleh Imam Al-Khattabi iaitu :-
احتسابا أي عزيمة وهو أن يصومه على معنى الرغبة في ثوابه
Ertinya : Ihtisab ertinya satu keinginan kuat iaitu dia berpuasa dalam rasa keinginan kuat untuk memperolehi pahalanya. (Fath Al-Bari, 4/110)

Pengertian yang serupa boleh dilihat dalam kitab ‘Aunul Ma’bud Syarah Sunan Abi Daud (2/190)

Selain itu, ihtisab juga membawa erti ikhlas untuk Allah swt dan mengkehendaki redhanya. (Syarah Sohih Muslim, An-Nawawi, 6/39 ; ‘Umdatul Qari, 1/226)

Malah jikalau keinginan beroleh pahala itu ditegah, maka apa gunanya Allah SWT menawarkannya dan sudah tentu Nabi s.a.w tidak akan kerap mengulang-ulangkan perihal ganjaran pahala kepada para sahabat dan Umat Islam. Semua tawaran dan tarikan pahala ini boleh dilihat terlalu banyak dalam pelbagai ayat dan hadis dalam pelbagai jenis keadaan. Contohnya rujuk Surah al-Nisa ayat 74, 95, 126 ; Surah al-Fath : ayat 10, 29 dan banyak lagi.

Sifat manusia yang normal memang sukakan ganjaran, bezanya bagi seorang insan soleh, yang beriman lagi bertaqwa mereka sukakan ganjaran pahala dan syurga serta keredhaanNya. Namun janganlah sehingga menolak pahala kerana inginkan keredhaan, hal ini kerap dinisbahkan kepada tokoh Sufi Rabi’ul Adawiyah, namun saya tidak pasti kesohihan menisbahkan kata-kata sebegini kepadanya. Sekali lagi, pahala itu juga sebahagian dari keredhaan Allah swt, maka mengapa ingin dipisahkan?.

INGIN PAHALA JUGA ADALAH PROSES PENDIDIKAN

Selain itu, pahala adalah sesuatu ganjaran yang bersifat spiritual dan tiada kelihatan sama sekali. Oleh itu, sesiapa yang bermotivasi untuk bersedeqah, solat, doa, membaca Al-Quran dan lain-lain ibadah kerana inginkan pahala yang disebutkan Allah dan RasulNya, itulah satu jenis pendidikan spiritual yang juga amat dituntut.

Bukan semua orang terangsang dengan gandaan pahala di bulan Ramadhan, hakikatnya lebih ramai yang tertarik dengan ganjaran duit dan kebendaan berbanding pahala yang tidak kelihatan itu.

Amat jelas, individu yang beribadah berkali ganda di bulan ini kerana pahala, sedang menjalani proses pendidikan yang dikehendaki Islam, iaitu memantapkan keimannnya kepada Allah, hari akhirat serta menyakini bergunanya ‘matawang’ pahala di alam selepas mati. Itu sepatutnya di puji dan bukan diulas seolah-olah satu kesalahan untuk mendapat pahala. Bukan mudah untuk membuat seseorang tertarik dengan pahala.

Kesimpulan, soal pahala adalah soal besar, jangan dianggap kecil sehingga dipersoal “apakah sekadar pahala?”. Dengan pahala, mungkin kemampuan untuk terus beristiqamah akan menjelma. Justeru beramal untuk pahala tidak salah, cuma jika sesiapa ingin beramal bukan kerana pahala tetapi kerana redha Allah swt semata-mata.. itu mungkin lebih tinggi kedudukannya, cuma terserah kepada Allah swt menentukan dan menilai tahap keikhlasan sebenarnya manusia.

Seminar Asbab Nuzul al-Quran

Ramadhan ini, Pertubuhan Multaqa Asatizah & Du’at (MURSHID) bakal mengadakan Seminar Asbab Nuzul al-Quran. Seminar ini merupakan anjuran bersama MURSHID dengan Masjid Ibnu Sina, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Pelbagai topik akan dibentangkan berkaitan penurunan ayat-ayat al-Quran. 5 orang pembentang yang diundang khas akan menghuraikan perkara berkaitan penurunan al-Quran

Topik bakal dibentangkan:
1) Penurunan & Qiraat al Quran
Ustaz Felza Zulhibri (UIAM Kuantan)
2) Tadabbur Surah al-Alaq 1-5: Ayat Pertama al Quran
Ustaz Abdullah Bukhari Abd Rahim al-Hafiz (UIAM Gombak)
3) Tadabbur Ayat Kedua al Quran Yang Diturunkan (Surah al Mudassir)
Ustaz Mustafar Mohd Suki
4) Tadabbur Ayat Ketiga al Quran Yang Diturunkan (Surah ad-Dhuha)
Ustaz Dr. Shauqi Othman (UPM)
5) Apakah itu Surah Makiyyah & Madaniyyah
Ustaz Zahiruddin Zabidi

Berikut merupakan butiran penuh program:
Tarikh: 2 Jun 2018
Masa: 9 pagi – 7 petang
Tempat: Masjid Ibnu Sina, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Masuk percuma & juadah berbuka puasa disediakan.
Pautan borang pendaftaran: http://tiny.cc/seminarnuzulquran
Nota: Pendaftaran akan ditutup pada 28 Mei 2018 (Isnin) jam 4 petang.

Pihak kami amat berbesar hati sekiranya hebahan melalui ‘share’ dibuat bagi manfaat semua. Semoga perjalanan program ini dipermudahkan oleh Allah SWT.

san 3 baru