COVID 19 BUKAN BERASAL DARIPADA JUMLAH MALAIKAT NERAKA

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Risau pula saya dengan fenomena menujum-tilik dengan al-Quran berikutan penularan wabak COVID 19. Ada yang cuba kaitkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan ayat 33 surah al-Ahzab yang dimulai dengan lafaz WA QARNA. Lalu dikatakan perkataan CORONA sebenarnya disebut ayat itu. Tambahan pula makna WA QARNA bermaksud “dan diamlah di rumah kamu” yang sesuai dengan perintah PKP. Perhatikan firman Allah ini:

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى وَأَقِمْنَ الصَّلَاةَ وَآتِينَ الزَّكَاةَ وَأَطِعْنَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ….

Ertinya: (Wahai para isteri Nabi SAW) Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang Jahiliyah zaman dahulu; dan dirikan sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya… (al-Ahzab 33:33).

Ketika mendapat mesej ini, saya istighfar panjang. Teori ini salah kerana asal bagi perkataan WA QARNA – وقرن – adalah WAQARA – وقر – dan ada juga pendapat mengatakan ia QARRA – قَرَّ – yang bermaksud DIAM/TINGGAL dan bukannya QARANA – قرن – yang bermaksud DAMPING. Bagi yang belajar Bahasa Arab tahu benar perihal fi’il Madhi perkataan ini. Apabila ia datang dalam bentuk arahan atau Fi’il Amar kepada sekumpulan wanita maka ia menjadi QARNA – قرن – bermaksud HENDAKLAH KALIAN DIAM/TINGGAL. Huruf Waw pada perkataan WA QARNA – وقرن- bukan asal perkataan tetapi Waw penghubung yang bermaksud DAN HENDAKLAH KALIAN DIAM/TINGGAL. Jauh sekali nak dikatakan ia adalah sama dengan perkataan CORONA. Tambahan pula istilah CORONA bukan berasal daripada bahasa Arab tetapi bahasa latin yang kemudiannya menjadi istilah perubatan moden.

Perlu diingat, al-Quran adalah kalam Tuhan yang tidak boleh dibuat sesuka hati tanpa ilmu. Neraka harganya! Sabda Rasulullah SAW:

مَنْ قَالَ فِي الْقُرْآنِ بِغَيْرِ عِلْمٍ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ

Ertinya: “Sesiapa yang berkata sesuatu tentang al-Quran tanpa ilmu, maka tersedialah untuknya tempat dalam neraka” (Sunan al-Tirmidhi, hadith ini dibincangkan ulama tentang status sahih atau dhaifnya).

Sebenarnya sikap suka menujum-tilik ayat al-Quran bukan perkara baru di Malaysia. Ia sudah berlaku beberapa kali dan semuanya menyimpang jauh daripada maksud sebenar ayat tersebut. Perhatikan kecelaruan ini:

1) Mengaitkan peristiwa kehilangan pesawat MAS MH 370 pada 8 Mac 2014 dengan surah Yasin.

2) Mengaitkan peristiwa Tsunami 2004 yang berlaku pada 26 Disember dengan kejutan serta gegaran langit dan bumi akibat dakwaan Allah mempunyai anak pada surah Maryam 19:88-91.

3) Mengaitkan peristiwa pengeboman bangunan World Trade Centre, New York, Amerika pada 11 September 2001 dengan ayat al-Tawbah 9:109.

4) Mengaitkan peristiwa Yang Dipertuan Agung ke 15 yang memakai gelaran Sultan Muhammad ke 5 dengan usia baginda ketika ditabalkan. Menurut peramal, baginda berusia 47 tahun ketika ditabalkan dan surah ke 47 dalam al-Quran juga dinamakan surah Muhammad.

Perkara ini perlu dibendung kerana jika ia dibiarkan, tidak mustahil suatu hari nanti al-Quran menjadi bahan mencari nombor ekor oleh penggila judi kaki ekor.

Sebelum kecelaruan ini merebak pula kepada wabak COVID 19, SAYA TERLEBIH DAHULU MENAFIKAN APA-APA KAITAN NAMA COVID 19 DENGAN KISAH JUMLAH 19 MALAIKAT PENJAGA NERAKA:

سَأُصْلِيهِ سَقَرَ (26) وَمَا أَدْرَاكَ مَا سَقَرُ (27) لَا تُبْقِي وَلَا تَذَرُ (28) لَوَّاحَةٌ لِلْبَشَرِ (29) عَلَيْهَا تِسْعَةَ عَشَرَ (30)

Ertinya: (Disebabkan kekufurannya itu) Aku akan masukkan dia ke dalam neraka Saqar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui kedahsyatan neraka Saqar itu? Ia membakar mangsanya dengan tidak meninggalkan sisa, dan tidak membiarkannya (binasa terus) Ia terus-menerus membakar kulit manusia! PENGAWAL DAN PENJAGANYA ADALAH SEMBILAN BELAS (MALAIKAT) (al-Muddaththir 74:26-30).

Ayat ini menunjukkan celaan Allah kepada tokoh Quraysh yang bernama Al-Walid bin al-Mughirah. Setelah mendengar dan tahu kebenaran al-Quran, dia tetap menolak dan menuduh al-Quran berasal daripada hikayat dongeng dahulu kala. Akibatnya dia bakal dihumban ke neraka Saqar yang disebut sifatnya dalam ayat ini. Neraka Saqar pula dikawal rapi oleh 19 malaikat. Angka 19 malaikat penjaga neraka sebenarnya suatu bukti mukjizat al-Quran kerana kitab Tawrat dan Injil sudah menyebut perkara sama. Kesamaan angka 19 yang unik tentang jumlah malaikat penjaga neraka menjadi sebab iman Ahli Kitab yang ikhlas dan para sahabat naik mencanak (Tafsir Ibn Kathir).

Janganlah pula ada yang berteori bahawa al-Quran sudah menyebut tentang angka 19 yang disempena-namakan dengan wabak ini yang panasnya membakar hampir seluruh dunia sama seperti kegarangan para malaikat penjaga neraka yang 19. Jangan sesekali anda kaitkan nama wabak ini dengan ayat ini. Takutlah Allah!

Saya percaya, nanti akan ada yang cuba mempertahankan tilikan sebegini atas alasan ia adalah MUKJIZAT ANGKA PADA AL-QURAN. Memang kajian itu ada dibuat seorang pengkaji bernama Abdul Razzak Nawfal dengan bukunya – al-I’jaz al-‘Adadiy Li al-Quran al-Karim (Mukjizat angka dalam al-Quran), terbitan Dar al-Kutub al-‘Arabiy tahun 1987. Ketahuilah! Jauh beza antara dakwaan mukjizat dengan dakwaan nujum tilik. Mukjizat angka ada dasarnya yang jelas dan tidak bersifat Nujum atau Tilik.

Nujum tilik pula sangat diperangi Islam kerana ia adalah cubaan mencabar pengetahuan ghaib yang hanya diketahui Allah. Interaksilah dengan al-Quran secara betul dan benar, bukan dengan cubaan tilik nujum kerana ia tak akan membawa kita ke mana-mana pun.

91355469_10216825321490737_263037227569774592_o


Comments are Closed