GURAU BIAR PATUH SYARIAH?

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

“Ustaz bergurau ke betul-betul ni? Anak Ustaz lahir 1 April?”

Tersentak saya seketika apabila mendapat panggilan daripada seorang kawan bertanya kesahihan berita kelahiran Puteri kedua saya Asma Sofiah yang jatuh pada 1 April 2002. Benar! Itulah tarikh lahir puteri saya, tapi ramai yang ingat saya cuma bergurau.

Itulah hakikat yang berlaku setiap kali menjengah awal bulan April. Istilah “APRIL FOOL” akan dikumandang seolah-olah manusia perlu dibodohkan dengan gurauan pelik sebagai melengkapkan calendar tahunan mereka. Tambah malang apabila ada segelintir Muslim turut sama menjadi bodoh dengan perkara ini.

Saya tak mahu ulas “asal surat beranak” istilah atau budaya itu, cuma apa yang pasti budaya gurau senda perlu dilihat menurut kaca mata Islam agar ia menjadi kunci syurga dan bukannya saham ke neraka. Antara buku moden mengulas isu ini adalah buku bertajuk – AL-MUZAH FIL ISLAM atau GURAUAN MENURUT ISLAM – karya Prof. Dr Abdul Ghani Abu Ghuddah seorang tenaga pengajar di Universiti Raja Su’ud di Riyadh, Arab Saudi.

Islam tidak melarang senda gurau yang biasa berlegar dalam kehidupan manusia. Inilah cantiknya Islam sebagai suatu syariat yang sangat manusiawi. Tidak dinamakan manusia jika hidupnya kosong tanpa gurau, ketawa, gembira, sedih, tangis dan berbagai cerminan emosi yang lain. Allah sendiri tegaskan bahawa ketawa dan tangis antara bukti kehebatan-Nya:

وَأَنَّهُ هُوَ أَضْحَكَ وَأَبْكَى

Ertinya: Dan bahawa sesungguhnya, Dia (Allah) lah yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa, dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis; (al-Najm 53:43).

Kita mungkin tersentak seketika setelah tahu bahawa gurauan boleh menjadi sebab bahagai atau duka di akhirat kelak. Kalau kena cara guraunya, kegembiraan yang berputik daripada senda gurau akan menjadi sebab ikatan silaturahim dan persaudaraan Islam semakin kukuh. Pastinya ia menjadi saham ke syurga. Manakala jika senda gurau menyebabkan runtuhnya ikatan silaturahim dan persaudaraan Islam, ia akan menjadi stok dosa yang menyempitkan laluan manusia ke syurga.

Rasulullah SAW selalu bergurau bagi menaikkan ceria orang. Bahkan baginda pernah bergurau dengan seorang anak kecil yang selalu bermain dengan anak burung kesayangannya. Anas bin Malik RA menceritakan:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحْسَنَ النَّاسِ خُلُقًا وَكَانَ لِي أَخٌ يُقَالُ لَهُ أَبُو عُمَيْرٍ قَالَ أَحْسِبُهُ فَطِيمًا وَكَانَ إِذَا جَاءَ قَالَ يَا أَبَا عُمَيْرٍ مَا فَعَلَ النُّغَيْرُ

Ertinya: Rasulullah SAW adalah orang yang paling baik akhlaknya. Aku ada seorang adik kecil yang digelar dengan nama Abu ‘Umayr. Aku kira usianya baru lepas susuan (3-4 tahun). Setiap kali nabi datang menziarahi kami baginda akan bergurau dengan adikku sambil bertanya: “Wahai Abu ‘Umayr! Apa yang dilakukan oleh si anak burung (mu)?” (Sahih al-Bukhari dan Muslim).

Bagi memudahkan penghadaman jiwa, penulis akan senaraikan beberapa syarat mudah yang akan menjadi penanda aras “PATUH SYARIAH” bagi apa sahaja bentuk gurauan:

1) Gurauan tidak boleh mempersendakan isi agama. Agama bukanlah bahan gurau. Silap bergurau dengan isi agama boleh mendatangkan musibah dosa yang berat. Tambahan pula ia menjadi celaan Allah kepada orang munafik:

وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ قُلْ أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنْتُمْ تَسْتَهْزِئُون

Ertinya: Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek gurau mereka) tentulah mereka (orang munafik) akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanya berbual dan bermain”. Katakanlah: “Patutkah nama Allah, ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu persenda dan ejek?” (al-Tawbah 9:65).

2) Tidak boleh berdusta untuk bergurau. Mungkin ada berkata, apa salahnya sedikit dusta dalam gurauan bagi menceriakan suasana. Islam menegaskan, matlamat tidak menghalalkan cara. Cukuplah hadith ini mengingatkan kita:

وَيْلٌ لِلَّذِي يُحَدِّثُ فَيَكْذِبُ لِيُضْحِكَ بِهِ الْقَوْمَ وَيْلٌ لَهُ وَيْلٌ لَهُ

Ertinya: Rasulullah bersabda: Celaka (biasalah) bagi orang yang berbicara secara berdusta untuk menimbulkan gelak tawa orang. Celaka baginya! Celaka baginya! (Sunan Abu Dawud).

Juga sebuah hadith lain:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّكَ تُدَاعِبُنَا قَالَ إِنِّي لَا أَقُولُ إِلَّا حَقًّا

Ertinya: Para sahabat berkata: “Wahai Rasulullah! Tuan pun bergurau dengan kami?” Baginda menjawab: “Aku tidak berkata (walaupun dalam gurauan) melainkan yang benar sahaja” (Sunan al-Tirmidhi).

Soalan para sahabat itu berdasarkan gurauan baginda sebagaimana disebut sebuah hadith lain:

عن الحسن قال : أتت عجوز إلى النبي صلى الله عليه وسلم ، فقالت : يا رسول الله ، ادع الله أن يدخلني الجنة ، فقال : « يا أم فلان ، إن الجنة لا تدخلها عجوز » قال : فولت تبكي فقال : « أخبروها أنها لا تدخلها وهي عجوز » إن الله تعالى يقول : ( إنا أنشأناهن إنشاء فجعلناهن أبكارا عربا أترابا

Ertinya: Seorang wanita tua bertemu Nabi SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, doakan kepada Allah agar Dia masukkan aku ke dalam syurga.” Baginda menjawab (secara gurauan): “Wahai Ibu si fulan, syurga itu suatu tempat yang tidak dimasuki orang tua.” Wanita tua itu pun berlalu pergi sambil menangis. Nabi kemudiannya berkata: “Khabarkan kepada wanita itu bahawa dia tidak akan dimasukkan ke dalam syurga dalam keadaan tua, kerana Allah berfirman bahawa penghuni syurga semuanya anak muda (petikan ayat 35 surah al-Waqi’ah) (Syama’il Muhammadiyah oleh Imam al-Tirmidhi).

3) Tidak boleh mengejutkan atau menakutkan seseorang dalam sebarang gurauan. Pernah para sahabat bermusafir bersama Rasulullah. Apabila mereka singgah di sebuah tempat, beberapa sahabat bergurau dengan mengambil barang milik seorang lelaki yang sedang tidur. Apabila lelaki itu sedar dan mendapati barangnya hilang, dia sangat terkejut dan kumpulan yang menyembunyikan barangnya ketawa besar. Setelah tahu perihal gurauan tersebut, baginda menegur keras dengan sabdanya:

لَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يُرَوِّعَ مُسْلِمًا

Ertinya: Tidak halal (tidak patut) bagi seorang Muslim mengejutkan (menakut-nakutkan) saudara Muslimnya yang lain (walaupun sekadar gurauan) (Sunan Abu Dawud dan Musnad Ahmad).

Kita dapati gurauan sebegini sering dijadikan bahan tarikan sesetengah stesyen radio. Pengacara radio berpakat dengan kenalan mangsa untuk membuat panggilan palsu bagi menimbulkan rasa cemas si mangsa. Tambah parah apabila gurauan ini disiar secara meluas sehingga mengaibkan mangsa gurau. Jika ia berlaku, dosanya bukan hanya dosa gurau palsu tetapi diiring bersama dosa mengaibkan orang.

4) Gurauan tidak dilakukan dengan niat mengejek atau merendahkan mangsa gurau. Ia diterang jelas oleh Allah melalui firman-Nya dalam surah al-Hujurat 49:11.

5) Jangan terlalu banyak bergurau kerana ia boleh membuang masa dan mematikan hati. Hati yang banyak ketawa senang lupa akhirat. Cukuplah firman Allah kepada orang Munafik sezaman nabi SAW ini menjadi teguran untuk kita semua:

فَلْيَضْحَكُوا قَلِيلًا وَلْيَبْكُوا كَثِيرًا جَزَاءً بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

Ertinya: Oleh itu biarkanlah mereka ketawa sedikit (di dunia ini) dan mereka akan menangis banyak (di akhirat kelak), sebagai balasan bagi apa yang mereka telah usahakan (al-Tawbah 9:82).

Dunia ini banyak warnanya seperti warna gembira dalam gurau dan tawa. Usahlah diburukkan warna gurau dengan dosa dan cerca. Gurau senda seperti garam dalam masakan. Ada secubit menambah rasa. Tiada garam makanan kurang sedap tapi masih boleh disantap. Terlebih garam bakal memberi mudarat. Oleh itu, sebelum bergurau, timbanglah dahulu rupa bentuknya dalam teropong agama agar ia menjadi gurau patuh syariah dan gurau yang membuahkan pahala.

55779002_10214204658455799_6081093926385614848_o

Comments are Closed