HALAU SYAITAN DARI RUMAH SEPANJANG PKP

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Bagi kaki Masjid dan Surau, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sangat memeritkan jiwa kerana hati jantung mereka sudah lama terikat dengan rumah Allah. Saranan agar tidak menunaikan solat di rumah Allah seumpama arahan berpisah daripada kekasih hati yang sudah lama dimadu kasih. Mereka juga yakin dengan kelebihan solat berjemaah yang disebut dalam banyak nass agama, tapi demi menjaga maslahah lebih besar, mereka patuh akur dengan arahan pihak berkuasa agama.

Walaupun begitu, solat berjemaah tetap dilakukan di rumah dan ini juga peluang memakmurkan rumah sendiri dengan berbagai ibadah. Oleh itu, disarankan setiap kali masuk waktu solat agar azan dilaungkan di rumah masing-masing. Biar syiar atau tanda utama agama ini jelas berkumandang sepanjang masa. Terdapat banyak kelebihan azan, saya ingin kongsi 2 kelebihannya di sini:

1) Mampu menghalau syaitan sejauh mungkin kerana mereka benci dan takutkan laungan azan. Laungan azan adalah laungan Tawhid yang menegaskan Allah adalah satu-satu-Nya Tuhan Penguasa alam, Rasulullah SAW adalah pesuruh Allah yang wajib dipatuhi dan solat mampu membawa kepada kejayaan hakiki di dunia dan di akhirat. Semua intipati azan ini sangat dibenci syaitan. Sabda Nabi SAW:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ أَدْبَرَ
الشَّيْطَانُ وَلَهُ ضُرَاطٌ حَتَّى لَا يَسْمَعَ التَّأْذِينَ

Ertinya: Apabila dilaungkan azan untuk solat, syaitan lari terkentut-kentut sehingga tidak didengarinya laungan azan (Sahih al-Bukhari hadith no 573 & 1146).

2) Laungan azannya disaksikan oleh semua makhluk yang nyata dan yang ghaib:

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي صَعْصَعَةَ الْأَنْصَارِيِّ عَنْ أَبِيهِ أَنَّهُ أَخْبَرَهُ أَنَّ أَبَا سَعِيدٍ الْخُدْرِيَّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ لَهُ إِنِّي أَرَاك تُحِبُّ الْغَنَمَ وَالْبَادِيَةَ فَإِذَا كُنْتَ فِي غَنَمِكَ وَبَادِيَتِكَ فَأَذَّنْتَ بِالصَّلَاةِ فَارْفَعْ صَوْتَكَ بِالنِّدَاءِ فَإِنَّهُ لَا يَسْمَعُ مَدَى صَوْتِ الْمُؤَذِّنِ جِنٌّ وَلَا إِنْسٌ وَلَا شَيْءٌ إِلَّا شَهِدَ لَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ قَالَ أَبُو سَعِيدٍ سَمِعْتُهُ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Ertinya: Abdul Rahman bin Abdullah bin Abdul Rahman bin Abi Sa’sah al-Ansari menceritakan (sahabat nabi SAW) Abu Sa’id al-Khudri RA pernah berpesan padanya; “Aku lihat kamu ini suka mengembala kambing dan berada di kawasan pedalaman (jauh daripada penempatan manusia). Apabila kamu berada bersama kambing ternakanmu di kawasan pedalaman, maka laungkanlah azan dengan suara yang tinggi kerana tiada yang mendengarnya (suara si tukang azan), sama ada dia jin, manusia atau apa sahaja melainkan dia/ia akan bersaksi baginya (si tukang azan) pada hari kiamat kelak.” Abu Sa’id berkata; Aku dengar hadith ini daripada Rasulullah SAW (Sahih al-Bukhari hadith no 574 & 3053).

Aduhai! Untungnya nasib si tukang azan kerana alam semesta menjadi saksi atas baktinya mengisytiharkan syiar agama Allah dan memanggil orang untuk menunaikan solat. Bayangkan berapa banyak lagi pahala setiap orang yang solat diperolehinya berikutan usahanya itu.

Insya-Allah! Larangan ini akan ditarik balik tak lama lagi. Sabarlah seketika wahai pencinta Masjid dan Surau. Solat kita di rumah di kala PKP tetap memperolehi pahala yang setimpal kerana Allah tahu apa yang terbuku sedih dalam jiwa kita. Sekurang-kurangnya syaitan yang mungkin selama ini bersarang di rumah kita sudah tak senang duduk setelah mendengar laungan azan sekerap 5 kali sehari. Laungan azan ini juga akan menambah berkat rumah tangga kita kerana ia mengajak kepada kebaikan dan rukun utama Islam iaitu solat.




Comments are Closed