HIDAYAH : ANTARA SEBAB DAN MUSABBAB

Oleh: Ustaz Syaari Ab Rahman

Persoalan “mendahulukan dan mengkemudiankan” (التقديم والتأخير) bukanlah persoalan remeh. Bahkan ia sebahagian dari episod perbahasan panjang kemukjizatan al-Quran.

Masakan tidak, dalam surah Taha, “kami telah beriman dengan Tuhan Harun dan Musa”. Dalam surah al-A’raaf dan al-Syuaraa’, “kami telah beriman dengan Tuhan Musa dan Harun”.

Setiap kalimah yang dipilih sangat teliti. Setiap susunan kalimah ke kalimah sangat teliti. Pastinya ia bukan sekadar perbahasan pengaruh tema surah pada fashilah (penghujung) setiap ayat al-Quran, atau sekadar perbahasan siyaq (konteks) dan kesatuan tema surah dan kesannya pada uslub ayat sehingga ada keperluan didahulukan Harun atau didahulukan Musa.

Namun demikian, satu aspek yang kita tidak boleh terlepas pandang ialah aspek ibrah dan pengajaran.

Apabila dihimpunkan nas-nas sebutan Harun dan Musa yang diungkapkan ahli sihir Firaun selepas mereka sujud, satu pengajaran besar dari peristiwa besar itu bahawa ahli-ahli sihir Mesir itu telah kagum dengan dahsyatnya kekuasaan Allah dan bukannya dinisbahkan kekuasaan itu kepada Musa atau ayat Allah kepadanya iaitu tongkat dan tangan Baginda.

قَالُوا آمَنَّا بِرَبِّ الْعَالَمِينَ
‎رَبِّ مُوسَىٰ وَهَارُونَ
Al-A’raaf, 7 : 121-122

قَالُوا آمَنَّا بِرَبِّ الْعَالَمِينَ
رَبِّ مُوسَىٰ وَهَارُونَ
Al-Syu’araa’, 26 : 47-48

Mereka mendahulukan musabbab iaitu Rabbul ‘Alamin sebelum menyebut asbab sama ada beliau ialah Musa atau Harun yang mereka kenali.

Bahkan, kehebatan Musa yang mula jadi sebutan ramai penduduk Mesir yang menyaksikan, tiba-tiba disebut sebagai insan yang terkemudian selepas Harun.

فَأُلْقِيَ السَّحَرَةُ سُجَّدًا قَالُوا آمَنَّا بِرَبِّ هَارُونَ وَمُوسَىٰ
Taha, 20 : 70

Intima’ mereka ialah intima “kerana Allah” dalam erti kata yang sebenar, bukan intima’ fardi, ketakjuban peribadi, dan pemujaan batang tubuh.

Tanda iman melekat kuat dalam hati ialah tingginya keikhlasan, mampunya seseorang membezakan antara asbab dan musabbab hidayah ini.

Mengangkat-angkat peribadi atau tokoh tertentu hingga tahap memuja-muja, mencemuh dan memaki orang mengkritiknya, yang salah darinya tidak dikatakan salah, walau beliau seorang yang sangat mulia atau soleh sekalipun, itu bukanlah seruan dari al-Quran yang kita junjung muliakan.

مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُؤْتِيَهُ اللَّهُ الْكِتَابَ وَالْحُكْمَ وَالنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُوا عِبَادًا لِّي مِن دُونِ اللَّهِ وَلَٰكِن كُونُوا رَبَّانِيِّينَ بِمَا كُنتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتَابَ وَبِمَا كُنتُمْ تَدْرُسُونَ

Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab ugama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: “Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah”. Tetapi (sepatutnya ia berkata): “Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala – dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya.

Ali Imran, 3 : 79

وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِ الرُّسُلُ ۚ أَفَإِن مَّاتَ أَوْ قُتِلَ انقَلَبْتُمْ عَلَىٰ أَعْقَابِكُمْ ۚ وَمَن يَنقَلِبْ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ فَلَن يَضُرَّ اللَّهَ شَيْئًا ۗ وَسَيَجْزِي اللَّهُ الشَّاكِرِينَ

Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).

Ali Imran, 3 : 144




Comments are Closed