ICERD: Pertimbangan Baik Buruk & Pandangan

Ramai yang bertanya berkenaan International Convention on The Elimination of all Forms of Racial Discrimination (ICERD), sebenarnya saya telah pun memberikan pandangan kepada pihak kerajaan berkenaan perkara ini dalam pertemuan NGO Islam Bersama YB Menteri Agama, malah juga telah membentangkan pandangan ringkas saya kepada beberapa pimpinan kerajaan negeri Kedah pada 8 Nov 2018 yang lalu dalam program anjuran ABIM & Exco Agama negeri.

Secara mudahnya, beberapa perkara perlu dilihat iaitu :

1] Dari aspek jika tandatangan ICERD dan tidak..

A. APA KESAN JIKA TANDATANGAN ICERD?

• Bila sign, kita JIKA Malaysia pilih Ratifikasi maka ia adalah suatu komitmen berbentuk kukuh untuk menuruti semua artikel di dalam ICERD. Antaranya dalam artikel 5 ICERD (iv) yang menyatakan keharusan memilih pasangan bagi setiap individu, ia mungkin boleh mendesak kahwin sesama jenis dianggap hak asasi dan didesak agar dibenarkan.
• Namun obligasi tersebut DIBENARKAN untuk menyatakan pengecualian bagi artikel dan item tertentu seperti yang berbentuk affirmatif action/ discrimination (merujuk kepada perbezaan layanan kepada warga disebabkan justifikasi kukuh seperti OKU, penduduk asal, keterkebelakangan sesuatu kaum dan kelompok dan lain-lain).
• Hampir semua negara umat Islam yang menandatangani telah mengecualikan pengiktirafan negara Israel dan terdapat beberapa negara menambah pelbagai hal lain termasuk Singapura yang mengecualikan hampir 5 perkara.
• Namun begitu, pengecualian tersebut itu boleh dikritik dan dibantah oleh negara lain. Pun begitu, bantahan tersebut hanya sekadar bantahan sahaja.
• Dari hampir 197 negara di dalam UN, 177 telah menandatangani dan hanya Malaysia dan Brunei negara umat Islam yang tidak menandantanginya.
• Sebahagian besar negara yang menandatangani ICERD kelihatan tidak bersungguh pun dalam melaksanakan pelbagai klausa di dalam ICERD, malah terdapat yang telah menandatanganinya 20 atau 30 tahun lalu, namun tiada banyak perbezaan pun di negara mereka, ini menunjukkan tiada kuasa desaakan yang serius bagi mana-mana negara hatta yang menyetujui ratifikasi ICERD.
• Dan semua pihak menandatangai melaksanakan artikel di dalamnya secara terpiih dan ada yang telah mengambil masa 50 tahun sejak convention tersebut diperkenalkan, iaitu sejak 4 Jan 1969, namun masih lagi belum sepenuhnya.
• Di majoriti non muslim yang ratifikasi ICERD, majoriti muslim adalah mereka yang mengambil peluang melapor ketidakadilan kepada pihak UN. Namun, hatta selepas dibicara dan keputusan ‘Violation’ diperolehi, hanya sekadar nasihat dan teguran sahaja diberikan oleh ICERD kepada negara terbabit, tiada tindakan keras atau paksa kelihatan terkena kepada negara terbabit, hanya lobi melobi dan sindir menyindir di perhimpunan PBB sahaja.
• Selain itu, setiap negara yang meratifikasi perlu menghantar laporan setiap suku tahun.
• Tanpa sebarang pindaan undang-undang dalam negara, ICERD TIDAK BOLEH mengambil alih kekuasan undang-undang dalam negara. Justeru, ketakutan yang melampau dalam hal ICERD, adakalanya dan mungkin ditambah-tambah kerana motif politik kepartian di dalam negara.

B. JIKA TIDAK TANDATANGAN?

• Perkara terpenting pada hemat saya, tiada paksaan atau ugutan secara keras seperti sekatan ekonomi, penarikan pelaburan, penamatan usahasama dagangan antara negara dan yang sepertinya, sekiranya Malaysia TIDAK menandatangani ICERD, kecuali akan wujud lobi antarabangsa sahaja secara berterusan sahaja.
• Malaysia tetap boleh berfungsi seperti biasa dan mengungguli hak asasi melalui undang-undang setempat dalam negara.
• Hanya kelihatan Malaysia ketinggalan dan ‘degil’ pada pandangan masyaraakat antarabangsa kerana 179 buah negara sudah menandatangani dan hanya negara kecil dan kurang dikenali antarabangsa sahaja yang mengabaikan ICERD.
• Malaysia mungkin dilihat tidak mesra hak asasi rakyat oleh antarabangsa.

2. Aspek positif dan negatif darinya

A. APA ASPEK POSITIF HASIL DARINYA?

• Perjuangan Human Right dalam negara dianggap kuat dan setiap aduan berkaitan hak asasi di dalam negara bakal menerima sokongan meluas oleh masyarakat antarabangsa yang mendesak perubahan.
• Setiap komitmen untuk ratifikasi akan ada bantuan tenaga dan lain-lain dari UN untuk memastikan ianya berjaya.
• Menandatangani dianggap dapat menarik pelaburan asing, lebih banyak political support serta tambahan dagangan kerana negara terbabit akan dianggap lebih telus dan mesra human right, justeru lebih bagus untuk pelaburan jangka sederhana dan panjang.
• Keharusan membuat reservation dianggap cukup untuk memastikan hak tertentu seperti bumiputra, Islam dan seperti terjaga.
• Pencabulan hak asasi rakyat di pelbagai peringkat termasuk pejabat, sekolah, university, banduan di penjara, pesalah, mangsa tuduhan dan sebagainya bakal mendapat perhatian. Malah pihak antarabangsa turut boleh melakukan spot check di tempat berkaitan apabila wujud laporan atau kemungkinan wujud diskriminasi.
• Dengan adanya ICERD, semua melayu Islam dan kaum lain yang ditindas boleh mendapat sokongan lebih kuat dari pihak antarabangsa contoh pekerjaan tertentu yang tidak membenarkan bertudung, atau hanya khas berbahasa mandarin sahaja dan lain-lain.

B. APA ASPEK NEGATIF DARINYA?

• Melayan hegemony barat dengan tunduk kepada tafsiran hak asasi yang ditentukan oleh mereka mendahului tafsiran yang lain termasuk Islam.
• Appreciation of rights tailored to a different cultural context diminishes.
• Undang-undang dalam negara yang dilihat menggalakkan perbezaaan layanan akan dilobi secara kerap dari dalam dan luar negara untuk dipinda bagi memberikan beri kuasa kepada pelaksanaan treaty convention. Jika tidak pinda, mungkin akan ada unwelcomed surprise dari luar.
• Reservation terlalu banyak akan mengundang kejanggalan dan bantahan negara lain.
• Beberapa item mungkin kontroversi dan tidak termasuk dalam affirmative reservation menurut UN.
• Item yang disasarkan oleh ICERD hakikatnya boleh jadi sekadar illusonary sahaja kerana terlalu banyak negara yang menandatanganinya tetapi mereka masih tetap kelihatan mengabaikan sahaja perlakuan diskriminasi dalam negara mereka malah sebahagian besar mereka tidak pun menghantar laporan.
• Negara kita mungkin akan kerap dilawati pegawai UN yang berkunjung dan melobi pihak berkuasa, penyokong-penyokong tegar ICERD dan Menteri secara kerap agar apa-apa yang tidak digemari mereka dipinda dan dituruti, pun begitu tiada kuasa eksekutif ke atas kita.

KONKLUSI

• Tidak perlu tandatangani ICERD dan hanya perlu cukup dengan wujudkan konvension yang hampir sama dengan ICERD di peringkat OIC namun lebih mesra variasi bangsa dan hak sesebuah negara.
• Tidak perlu tandatangani ICERD dan hanya cukup dengan menambahkan lagi liputan dan hebahan antarabangsa dengan undang-undang tempatan yang digubal bagi menggungguli hak asasi dalam negara.
• Jika terpaksa menandatanganinya, cukup sekadar bersetuju untuk accession sahaja beserta dengan reservation iaitu peringkat paling awal yang bersifat semakan keserasian negara dengan ICERD itu (peringkat ini boleh mengambil masa 20 ke 30 tahun ATAU LEBIH sebenarnya) dan bukan persetujuan ratification yang lebih mengikat atau lebih menjemput tekanan lobi antarabangsa.
• Tidak boleh dinafikan ICERD memang BAIK untuk mana-mana golongan minoriti dalam mana-mana negara, kerna denganya mereka boleh menuntut lebih kesaksamaan layanan. Namun TIDAK PELIK juga golongan asal atau majoriti akan merasa tidak selesa kerana tuntutan kesamarataan tanpa had, bakal menghilangkan keistimewaan mereka termasuk hal agama jika tidak diletakkan dalam affirmative reservation.

Islam dalam hal ini memang menggungguli hak asasi namun neraca hak asasi dan keadilan yang dipakai oleh agama ada perbezaannya dalam beberapa hal dengan hak asasi yang didasari logika semata.

Adjunct Professor Dr Zaharuddin Abd Rahman
PRESIDEN MURSHID.

« (Previous Post)

Comments are Closed