JADIKAN RUMAH KITA TUMPUAN MALAIKAT SEMASA PKP COVID 19

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Malaikat makhluk istimewa. Doa mereka makbul sebagaimana sabda nabi SAW:

إِذَا سَمِعْتُمْ صِيَاحَ الدِّيَكَةِ فَاسْأَلُوا اللَّهَ مِنْ فَضْلِهِ فَإِنَّهَا رَأَتْ مَلَكًا وَإِذَا سَمِعْتُمْ نَهِيقَ الْحِمَارِ فَتَعَوَّذُوا بِاللَّهِ مِنْ الشَّيْطَانِ فَإِنَّهُ رَأَى شَيْطَانًا

Ertinya: Apabila kamu mendengar kokok ayam, maka mohonlah kepada Allah akan kurniaan-Nya kerana ayam itu telah melihat malaikat, manakala apabila kamu mengengar rengekan keldai, maka mintalah perlindungan dengan Allah daripada (kejahatan) syaitan kerana keldai itu telah melihat syaitan (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Sungguh beruntung orang yang dikerumuni malaikat. Antara manusia kegemaran malaikat adalah kaki surau Masjid:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ لِلْمَسَاجِدِ أَوْتَادًا الْمَلَائِكَةُ جُلَسَاؤُهُمْ إِنْ غَابُوا يَفْتَقِدُونَهُمْ وَإِنْ مَرِضُوا عَادُوهُمْ وَإِنْ كَانُوا فِي حَاجَةٍ أَعَانُوهُمْ

Ertinya: Sesungguhnya bagi masjid itu ada “tiang serinya”, mereka (kaki surau masjid) mempunyai teman (se-masjid) dari kalangan para malaikat, jika mereka tidak hadir (ke masjid) para malaikat akan bertanya khabar perihal mereka, jika mereka sakit para malaikat akan menziarahinya dan jika mereka mempunyai keperluan, para malaikat akan membantu mereka (Musnad Ahmad, sebahagian ulama’ hadith menilainya sebagai hadith lemah).

Walaupun masjid dan surau ditutup kerana maslahah lebih besar oleh pihak berkuasa agama dan kerajaan, kita masih boleh menjadi teman malaikat dengan menjadikan rumah kita sebagai masjid ganti. Isilah rumah anda dengan ilmu dan amal soleh kerana keduanya SANGAT DIGEMARI PARA MALAIKAT! Biar malaikat berkerumun menyerbu rumah kita. Perhatikan sabda nabi SAW ini:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ لِلَّهِ مَلَائِكَةً يَطُوفُونَ فِي الطُّرُقِ يَلْتَمِسُونَ أَهْلَ الذِّكْرِ فَإِذَا وَجَدُوا قَوْمًا يَذْكُرُونَ اللَّهَ تَنَادَوْا هَلُمُّوا إِلَى حَاجَتِكُمْ قَالَ فَيَحُفُّونَهُمْ بِأَجْنِحَتِهِمْ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا قَالَ فَيَسْأَلُهُمْ رَبُّهُمْ وَهُوَ أَعْلَمُ مِنْهُمْ مَا يَقُولُ عِبَادِي قَالُوا يَقُولُونَ يُسَبِّحُونَكَ وَيُكَبِّرُونَكَ وَيَحْمَدُونَكَ وَيُمَجِّدُونَكَ قَالَ فَيَقُولُ هَلْ رَأَوْنِي قَالَ فَيَقُولُونَ لَا وَاللَّهِ مَا رَأَوْكَ قَالَ فَيَقُولُ وَكَيْفَ لَوْ رَأَوْنِي قَالَ يَقُولُونَ لَوْ رَأَوْكَ كَانُوا أَشَدَّ لَكَ عِبَادَةً وَأَشَدَّ لَكَ تَمْجِيدًا وَتَحْمِيدًا وَأَكْثَرَ لَكَ تَسْبِيحًا قَالَ يَقُولُ فَمَا يَسْأَلُونِي قَالَ يَسْأَلُونَكَ الْجَنَّةَ قَالَ يَقُولُ وَهَلْ رَأَوْهَا قَالَ يَقُولُونَ لَا وَاللَّهِ يَا رَبِّ مَا رَأَوْهَا قَالَ يَقُولُ فَكَيْفَ لَوْ أَنَّهُمْ رَأَوْهَا قَالَ يَقُولُونَ لَوْ أَنَّهُمْ رَأَوْهَا كَانُوا أَشَدَّ عَلَيْهَا حِرْصًا وَأَشَدَّ لَهَا طَلَبًا وَأَعْظَمَ فِيهَا رَغْبَةً قَالَ فَمِمَّ يَتَعَوَّذُونَ قَالَ يَقُولُونَ مِنْ النَّارِ قَالَ يَقُولُ وَهَلْ رَأَوْهَا قَالَ يَقُولُونَ لَا وَاللَّهِ يَا رَبِّ مَا رَأَوْهَا قَالَ يَقُولُ فَكَيْفَ لَوْ رَأَوْهَا قَالَ يَقُولُونَ لَوْ رَأَوْهَا كَانُوا أَشَدَّ مِنْهَا فِرَارًا وَأَشَدَّ لَهَا مَخَافَةً قَالَ فَيَقُولُ فَأُشْهِدُكُمْ أَنِّي قَدْ غَفَرْتُ لَهُمْ قَالَ يَقُولُ مَلَكٌ مِنْ الْمَلَائِكَةِ فِيهِمْ فُلَانٌ لَيْسَ مِنْهُمْ إِنَّمَا جَاءَ لِحَاجَةٍ قَالَ هُمْ الْجُلَسَاءُ لَا يَشْقَى بِهِمْ جَلِيسُهُمْ

Ertinya: Allah mempunyai para malaikat yang tugasnya mengelilingi dunia mencari ahli zikir (orang yang menghadiri majlis ilmu, zikir dan sebagainya). Apabila menemuinya, para malaikat memanggil malaikat yang lain seraya berkata “Ayuhlah kamu semua memenuhi hajat kamu – menyertai majlis zikir.” Para malaikat itu kemudiannya berkerumun mengelilingi orang yang sedang berzikir itu dengan sayap mereka sehingga memenuhi antara mereka dan langit dunia (terdekat).

Allah kemudiannya bertanya kepada mereka, sedangkan Allah Maha Tahu perbuatan mereka – “Apa yang diminta oleh hamba-Ku (dalam majlis zikir tersebut?).”Para malaikat menjawab: “Mereka bertasbih, bertakbir, memuji dan mengangungkan-Mu.” Allah bertanya lagi: “Adakah mereka (mampu) melihat-Ku?” Para malaikat menjawab: “Demi Allah! Mereka tidak dapat melihat-Mu.” Allah bertanya: “Apa akan jadi jika mereka mampu melihat-Ku?” Para malaikat menjawab: “Sudah pasti mereka akan tambah banyak beribadat pada-Mu, mengagungkan-Mu, memuji-Mu dan bertasbih pada-Mu.”

Allah bertanya lagi: “Apa yang mereka mohon pada-Ku?” Malaikat menjawab: “Mereka memohon syurga.” Allah bertanya: “Adakah mereka pernah melihat syurga-Ku?” Malaikat menjawab: “Tidak pernah.” Allah bertanya: “Apa akan jadi jika mereka dapat melihat syurga!” Malaikat menjawab: “Sudah pasti mereka akan bertambah keinginan mencapainya.”

Allah bertanya: “Apa yang mereka mohon perlindungan (dari-Ku)?” Malaikat menjawab: “Mereka memohon perlindungan-Mu dari azab neraka.” Allah bertanya: “Adakah mereka pernah melihat neraka?” Malaikat menjawab: “Tidak pernah.'” Allah bertanya: “Apa akan jadi jika mereka dapat melihat neraka!” Malaikat menjawab: “Sudah pasti mereka akan lari jauh daripadanya dalam ketakutan.”

Allah berfirman: “Aku jadikan kamu semua sebagai saksi bahawa Aku sudah ampunkan (dosa) mereka.” Satu malaikat berkata: “Dalam kalangan mereka ada seorang lelaki yang datang bukan kerana niat berzikir, tetapi masuk bersama mereka kerana suatu tujuan lain.” Allah berfirman: “Mereka semua (Aku ampunkan) kerana orang yang duduk bersama mereka tidak akan ditimpa celaka (Sahih al-Bukhari).

Pun begitu, jangan pula halang kehadiran mereka dengan perkara yang mereka tak suka seperti kisah hadith ini”

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّهَا قَالَتْ وَاعَدَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام فِي سَاعَةٍ يَأْتِيهِ فِيهَا فَجَاءَتْ تِلْكَ السَّاعَةُ وَلَمْ يَأْتِهِ وَفِي يَدِهِ عَصًا فَأَلْقَاهَا مِنْ يَدِهِ وَقَالَ مَا يُخْلِفُ اللَّهُ وَعْدَهُ وَلَا رُسُلُهُ ثُمَّ الْتَفَتَ فَإِذَا جِرْوُ كَلْبٍ تَحْتَ سَرِيرِهِ فَقَالَ يَا عَائِشَةُ مَتَى دَخَلَ هَذَا الْكَلْبُ هَاهُنَا فَقَالَتْ وَاللَّهِ مَا دَرَيْتُ فَأَمَرَ بِهِ فَأُخْرِجَ فَجَاءَ جِبْرِيلُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَاعَدْتَنِي فَجَلَسْتُ لَكَ فَلَمْ تَأْتِ فَقَالَ مَنَعَنِي الْكَلْبُ الَّذِي كَانَ فِي بَيْتِكَ إِنَّا لَا نَدْخُلُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلَا صُورَةٌ

Ertinya: Aisyah menceritakan pada suatu hari Rasulullah SAW berjanji untuk bertemu dengan Jibril AS. Apabila tiba waktu itu, Jibril tidak kunjung tiba. Baginda meletakkan tongkatnya seraya bersabda: “Allah dan utusan-Nya sama tidak akan memungkiri janji.” Baginda kemudiannya berpaling dan mendapati ada seekor anak anjing berada di bawah katil baginda. Berikutan itu baginda bertanya: “Wahai Aisyah! Bila anjing in masuk ke sini?” Aisyah menjawab: “Aku tak tahu!” Anjing itu pun dikeluarkan. Selepas itu barulah Jibril datang. Baginda bertanya: “Engkau berjanji mahu bertemuku. Aku duduk di sini menunggumu tetapi Tuan tidak datang.” Jibril menjawab: “ANJING YANG ADA DALAM RUMAHMU MENGHALANGKU DATANG KERANA KAMI (PARA MALAIKAT) TIDAK AKAN MASUK RUMAH YANG ADA ANJING ATAU GAMBAR (LUKISAN ATAU UKIRAN)” (Sahih Muslim).

Ayuh kita jemput malaikat ke rumah kita semasa PKP ini dengan ilmu dan amal soleh! Berdoalah juga agar Allah segera angkat bencana wabak COVID 19 bersama doa tetamu malaikat kita. Insya-Allah!

91333487_10216813444553821_6656037236678590464_n

Comments are Closed