Jangan Ejek Pesakit Mental!

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Timbalan Presiden MURSHID

jangan ejek

“Anda sedang sakit kaki kerana terseliuh dan langkah anda terbatas. Tiba-tiba seorang lelaki melintas di hadapan anda dengan SENGAJA mengajuk langkah anda yang terhencot-hencot. Selepas beberapa langkah meninggalkan anda, lelaki tersebut sempat menoleh ke arah anda sambil senyum mengejek. Apa perasaan anda?”

“Anak anda dilahirkan sumbing hidung. Cakapnya tak jelas dan sengau. Pada suatu hari tetamu datang ke rumah anda. Ketika anak anda keluar mahu bersalam dengannya, si tetamu sengaja menukar suara menjadi sengau dan selepas itu tetamu anda ketawa besar. Apa perasaan anda?”

Jarang sekali kita jumpa manusia berhati hitam sanggup mengejek sakit orang lain seperti gambaran di atas. Fitrah manusia biasanya menunjukkan rasa kasihan belas kepada orang yang menghidap apa-apa sakit. Itulah hakikatnya, namun ada juga sesetengah sakit yang kelihatannya tercicir dari “KAMUS BELAS KASIHAN” sesetengah orang seperti sakit mental.

Rabu lepas (5 Oktober 2016) saya dijemput berkongsi pengalaman tentang liku-liku sakit dan jalan menuju penyembuhan dalam forum anjuran Jabatan Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia. Forum yang dinamakan “JOURNEY TO RECOVERY” memang membuka mata saya betapa sakit mental adalah suatu UJIAN ALLAH yang sama beratnya dengan sakit yang lain. Bahkan sakit ini sering dijadikan bahan ejek ramai pihak tanpa sedar.

Ada keluarga pesakit berkongsi pengalaman bagaimana mencabarnya menjaga anak mereka yangs sering dijadikan “BAHAK TAWA” orang luar. Perkataan “ORANG GILA! SAKIT OTAK! MERENG! OTAK 3 SUKU” memang mudah diucapkan, tapi perkataan itu seumpama PISAU TAJAM yang menghiris hati ahli keluarga pesakit. Bukan mereka minta diuji dengan sakit ini. Oleh itu, sebelum menghambur kata ejek, bayangkan anda berada dalam kasut pesakit atau keluarga pesakit. Mahukah anda meluahkan perkataan itu?

Bukan setakat itu, ada juga penghibur atau pelawak yang menjadikan sakit ini sebagai bahan lawak mereka. Pernah juga saya dengar seorang penceramah agama melawakkan kecacatan orang lain yang akhirnya memecahkan derai tawa hadirin. Bayangkan apa impak buruk yang akan terpalit pada agama akibat dari lawak tidak beretika si penceramah. Semoga penceramah itu sedar kesalahannya.

Semasa dalam forum, saya jelaskan JOURNEY TO RECOVERY adalah berkaitan CARA MENGHADAPI DAN MENGURUSKAN UJIAN HIDUP. Semua manusia di dunia ini diuji Allah sama ada dalam kesusahan atau kesenangan. Firman Allah:

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ وَنَبْلُوكُمْ بِالشَّرِّ وَالْخَيْرِ فِتْنَةً وَإِلَيْنَا تُرْجَعُونَ

Ertinya: Setiap diri akan merasai mati, DAN KAMI MENGUJI KAMU DENGAN KESUSAHAN DAN KESENANGAN SEBAGAI CUBAAN; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan (Al-Anbiya [21:35]).

Langkah awal yang perlu dilakukan oleh orang yang diuji adalah redha dengan ujian tersebut. Selepas Redha, kita akan mampu melangkah ke tahap seterusnya iaitu menguruskan sakit dengan berubat dan sebagainya. Selepas berbicara tentang redha, saya diajukan soalan dari seorang hadirin, soalannya ringkas, padat dan tepat:

“Bila kita sakit, kita kena redha dan makan ubat. Selepas itu….APA PULA?”

Saya agak terkejut dengan soalan itu, oleh itu saya sambung penjelasan dengan kepentingan doa. Doa sangat penting dalam menghadapi ujian sakit kerana Allah yang memilih kita memasuki ujian sakit pasti mampu memberikan penyembuhan kerana hanya DIA YANG MAHA PENYEMBUH. Lihatlah keyakinan nabi Ibrahim dalam al-Quran:

وَإِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِينِ

Ertinya: (Nabi Ibrahim AS berkata) “Dan apabila aku sakit, MAKA DIA LAH YANG MENYEMBUHKAN PENYAKITKU; (al-Syu’ara’[26:80]).

Rasulullah SAW juga bersabda:

لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءٌ فَإِذَا أُصِيبَ دَوَاءُ الدَّاءِ بَرَأَ بِإِذْنِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

Ertinya: Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila sesuatu ubat menyentuh sesuatu penyakit, maka ia akan memberikan penyembuhan dengan izin Allah (Sahih Muslim).

Selain itu, redha akan bertambah subur apabila kita faham bahawa sebarang ujian sakit pasti MAMPU kita lalui kerana Allah menjelaskan jenis ujian adalah sepadan dengan kekuatan mental dan jiwa kita. Ia difaham dari firman Allah ini:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Ertinya: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya (al-Baqarah[2:286]).

Panjang lagi huraian yang saya ulas dalam forum itu, tapi cukuplah dahulu untuk kali ini. Pesan saya kepada semua, benar sekali kata Dr Rozanizam penulis buku (AKU NABI ISA, REFLEKSI WAD SAKIT JIWA terbitan PTS) bahawa “KESIHATAN MENTAL ADALAH NI’MAT YANG JARANG KITA SYUKURI.”

Jangan jadikan ujian sakit mental orang lain sebagai bahan ejek dan bahak tawa kita kerana kita tidak tahu siapa kelak akan diuji dengan sakit ini pada masa hadapan. Mungkin diri kita, mungkin anak kita, mungkin adik beradik kita dan mungkin pasangan kita. Ingatlah bahawa hidup ini adalah suatu kitaran yang tidak pasti sebagaimana teguran Allah kepada para sahabat yang tewas daam perang Uhud:

إِنْ يَمْسَسْكُمْ قَرْحٌ فَقَدْ مَسَّ الْقَوْمَ قَرْحٌ مِثْلُهُ وَتِلْكَ الْأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ النَّاسِ

Ertinya: Jika kamu (dalam perang Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) (Ali ‘Imran [3:140]).

Jangan ejek sakit atau bencana orang lain, sebaliknya doakan penyembuhan untuk mereka dan keselamatan kita sepanjang masa. Amalkan doa Rasulullah SAW ini:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Ertinya: Ya Allah! Aku mohon perlindungan denganMu dari hilangnya ni’mat kurniaanMu, juga dari berubahnya ni’mat kesihatan kurniaanMu, juga dari bencana ketentuanMu yang mengejut dan dari semua kemurkaanMu (Sahih Muslim).

Disiarkan di akhbar Utusan Malaysia pada 18 Oktober 2016.

Comments are Closed