KALAU BENAR MIMPI NABI SEBUT SUMAC UBAT COVID KAJILAH DAHULU!

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Hairan saya! Semua mesej masuk whats app group terus ditelan tanpa risau. Jika kita risau tertelan racun yang boleh memudaratkan tubuh, KITA SEPATUTNYA LEBIH RISAU MENELAN DAKWA DAKWI tak pasti tentang agama. Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan NABI KITA SAW. Dakwa sesuatu hadith atas nama Nabi SAW tanpa bukti termasuk dosa besar yang disepakati para ulama.’ Sabda baginda SAW:

عَنْ الْمُغِيرَةِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ

Ertinya: Sesungguhnya berdusta atas namaku tidak sama dengan dusta ke atas orang lain. Sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja, maka tersedialah tempatnya dalam neraka (Sahih al-Bukhari, Hadith no 1209).

Terbaru orang berkongsi kisah mimpi seorang wanita alim Turki yang bermimpi bertemu Nabi sebanyak 2 kali di atas Bukit Judi. Dalam mimpi itu Nabi menyatakan ubat CORONA VIRUS adalah Sumac sejenis herba seiras Za’faran.

Jika kita mencipta sesuatu dakwaan palsu pada Yang Di Pertuan Agong, atau mendakwa bermimpi YDPA mengarahkan sesuatu yang tak pasti, lalu kita sebarkan dakwaan dan mimpi itu serata Malaysia, apa agaknya pihak Istana Negara atau pihak polis lakukan? Anda mungkin ditahan atas dakwaan MENGHINA YDPA.

Itu baru YDPA, pemimpin tertinggi di Malaysia, pastinya sebarang dakwaan atas nama Nabi SAW jauh lebih bahaya! Tambahan pula mimpi tak boleh dijadikan hujah dalam Islam kerana sandaran mimpi sangat rapuh. Boleh jadi ia benar, boleh jadi ia sekadar mainan tidur, boleh jadi ia tipu daya syaitan yang mahu sesatkan kita. Dalam Islam, mimpi ada 3 jenis. Sabda Rasulullah SAW:

إِذَا اقْتَرَبَ الزَّمَانُ لَمْ تَكَدْ رُؤْيَا الْمُسْلِمِ تَكْذِبُ وَأَصْدَقُكُمْ رُؤْيَا أَصْدَقُكُمْ حَدِيثًا وَرُؤْيَا الْمُسْلِمِ جُزْءٌ مِنْ خَمْسٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنْ النُّبُوَّةِ وَالرُّؤْيَا ثَلَاثَةٌ فَرُؤْيَا الصَّالِحَةِ بُشْرَى مِنْ اللَّهِ وَرُؤْيَا تَحْزِينٌ مِنْ الشَّيْطَانِ وَرُؤْيَا مِمَّا يُحَدِّثُ الْمَرْءُ نَفْسَهُ فَإِنْ رَأَى أَحَدُكُمْ مَا يَكْرَهُ فَلْيَقُمْ فَلْيُصَلِّ وَلَا يُحَدِّثْ بِهَا النَّاسَ

Ertinya: Apabila waktu (kiamat) semakin dekat, hampir sahaja mimpi seorang muslim tidak mendustainya. Orang yang paling benar mimpinya adalah orang yang paling benar lidahnya. Mimpi orang Islam adalah satu bahagian dari 45 bahagian kenabian. Mimpi itu 3 jenis: (1) Mimpi yang benar adalah perkhabaran gembira dari Allah, (2) mimpi gangguan dari syaitan (untuk menyedihkan) dan (3) mimpi yang dipengaruhi oleh jiwa seseorang (psikologi). Sekiranya kamu bermimpi sesuatu yang tidak kamu sukai, maka bangunlah bersolat dan usahlah diceritakan mimpi itu kepada manusia (Sahih Muslim, Hadith no 4200).

Dalam pengkategorian di atas, cuma satu jenis mimpi sahaja yang MUNGKIN BENAR! Itu pun bergantung pada integriti yang bermimpi:

إِذَا اقْتَرَبَ الزَّمَانُ لَمْ تَكَدْ رُؤْيَا الْمُسْلِمِ تَكْذِبُ وَأَصْدَقُكُمْ رُؤْيَا أَصْدَقُكُمْ حَدِيثًا

Ertinya: Apabila waktu (kiamat) semakin dekat, hampir sahaja mimpi seorang muslim tidak mendustainya. Orang yang paling benar mimpinya adalah orang yang paling benar lidahnya (Sahih Muslim, Hadith no 4200).

Tambah parah apabila mesej tentang mimpi Simac itu cuba menunggang pula sebuah hadith Nabi SAW yang mengatakan:

مَنْ رَآنِي فِي الْمَنَامِ فَسَيَرَانِي فِي الْيَقَظَةِ أَوْ لَكَأَنَّمَا رَآنِي فِي الْيَقَظَةِ وَلَا يَتَمَثَّلُ الشَّيْطَانُ بِي

Ertinya: Sesiapa yang melihatku dalam mimpinya, maka dia akan MELIHATKU KETIKA SEDAR, ATAU DIA SEAKAN-AKAN SUDAH MELIHATKU KETIKA SEDAR, SESEUNGGUHNYA SYAITAN TIDAK DAPAT MENJELMA DALAM RUPAKU (Sahih al-Bukhari hadith no 6478, Sahih Muslim hadith no 4207 dan Sunan Abu Dawud hadith no 4369).

Hadith ini sahih tanpa pertikai. Tapi cara penyebar mesej sandarkan hadith ini yang jadi pertikaian. Pernah saya dengar kisah seorang wanita menjadi pengikut tegar Ayah Pin selepas bermimpi melihat Ayah Pin duduk bersebelahan dengan Nabi. Lalu dia terus memasang akidah, Ayah Pin direstui Nabi dalam perjuangannya.

Hadith mimpi bertemu Nabi SAW perlu diaudit terlebih dahulu kerana syaitan memang tak mampu menyamar dalam rupa Nabi SAW, tapi dia mampu menyamar dalam rupa orang lain, lalu mendakwa dirinya sebagai Nabi. Sebab itu, para ulama salaf akan menilai dahulu sebarang dakwaan mimpi jumpa Nabi SAW untuk menjamin kesahihannya. Pernah seorang lelaki bertemu Tab’in tersohor, Muhammad bin Sirin dan menceritakan dia bermimpi bertemu Nabi. Imam Ibn Sirin minta lelaki itu menggambarkan rupa Nabi. Setelah didapati gambaran lelaki itu tidak bertepatan dengan gambaran para sahabat dalam Hadith, Muhammad Ibn Sirin menolak dakwaan mimpi si lelaki (Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari ketika Imam Ibn Hajar mengulas hadith no 6478).

Pernah juga seorang lelaki menemui Abdullah Ibn ‘Abbas RA, sepupu Nabi dan mendakwa bermimpi bertemu Nabi SAW. Wajah Nabi yang dilihatnya sangat mirip dengan rupa cucu Nabi, Hasan bin Ali RA. Abdullah bin ‘Abbas lalu mengesahkan mimpi ini (Mustadrak al-Hakim hadith no 8301).

Dalam kedua riwayat ini jelas menunjukkan “parameter kebenaran” rupa nabi yang dimimpi adalah nilaian para sahabat kerana mereka adalah satu-satunya generasi yang melihat Nabi dengan mata kepala mereka.

Jika benar mimpi itu datang daripada Nabi, sabarlah seketika. Jangan terus disebar dengan yakin SEBALIKNYA MOHON PARA DOKTOR ATAU SAINTIS ATAU WHO SUPAYA KAJI APA NUTRISI DALAM SUMAC. Adakah benar ia mujarab untuk membunuh CORONA VIRUS? Jika benar berapa dosnya? Buktikan dahulu, barulah nampak umat Islam lebih cerdik dan berpijak di bumi nyata dan bukannya Umat yang suka merujuk pada mimpi atau suka bermimpi di siang hari.

Nasihat saya kepada semua pembaca dan pengguna media sosial. Sabar! Sabar! Sabar! Jangan mudah mendakwa sesuatu atas nama Nabi kita yang tercinta. Sayangilah nabi kita secara betul mengikut landasan ilmu.


Comments are Closed