KENYATAAN RASMI MURSHID MENGENAI ISU PENYEBARAN VIDEO MENGAIBKAN INDIVIDU DALAM JEMAAH MENTERI & NASIHAT UMUM KEPADA UMAT ISLAM

KENYATAAN RASMI MURSHID MENGENAI ISU PENYEBARAN VIDEO MENGAIBKAN INDIVIDU DALAM JEMAAH MENTERI & NASIHAT UMUM KEPADA UMAT ISLAM

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Sejak kelmarin, masyarakat di Malaysia digemparkan dengan satu video yang tersebar. Video ini yang disebarkan itu dikatakan mirip dengan seorang individu yang berada dalam Jemaah Menteri. MURSHID menyeru agar video ini tidak lagi disebarkan. Hentikan segera penyebarannya. Sekiranya perlu, padamkan segala rakaman atau gambar berkaitan di dalam gajet masing-masing.

Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat Ayat 6 yang berbunyi:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن جَآءَكُمۡ فَاسِقُۢ بِنَبَإٖ فَتَبَيَّنُوٓاْ أَن تُصِيبُواْ قَوۡمَۢا بِجَهَٰلَةٖ فَتُصۡبِحُواْ عَلَىٰ مَا فَعَلۡتُمۡ نَٰدِمِينَ
Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

Begitu juga dengan firman Allah SWT dalam Surah An Nur ayat 12 iaitu:
لَّوۡلَآ إِذۡ سَمِعۡتُمُوهُ ظَنَّ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَٱلۡمُؤۡمِنَٰتُ بِأَنفُسِهِمۡ خَيۡرٗا وَقَالُواْ هَٰذَآ إِفۡكٞ مُّبِينٞ
Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: “Ini ialah tuduhan dusta yang nyata”.

Allah SWT berfirman lagi:
لَّوۡلَا جَآءُو عَلَيۡهِ بِأَرۡبَعَةِ شُهَدَآءَۚ فَإِذۡ لَمۡ يَأۡتُواْ بِٱلشُّهَدَآءِ فَأُوْلَٰٓئِكَ عِندَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡكَٰذِبُونَ
Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta (Surah an-Nur: Ayat 13)

Terakhir sekali, Allah SWT telah berfirman melalui Surah an-Nur Ayat 16
وَلَوۡلَآ إِذۡ سَمِعۡتُمُوهُ قُلۡتُم مَّا يَكُونُ لَنَآ أَن نَّتَكَلَّمَ بِهَٰذَا سُبۡحَٰنَكَ هَٰذَا بُهۡتَٰنٌ عَظِيمٞ
Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: “Tidaklah layak bagi kami memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau (ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah)! Ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan.

MURSHID juga menyeru agar tidak terus menyebarkan berita seperti ini kerana ia mengundang fitnah lebih besar. Media juga dinasihatkan supaya meminimakan liputan meluas isu seperti ini kerana ia tidak membantu dalam proses penjanaan minda masyarakat.

MURSHID turut mencadangkan agar ahli-ahli politik segera meninggalkan budaya serangan politik kotor dan menjijikkan. Ini tidak bertepatan dengan saranan dianjurkan dalam Islam ini.

Semoga perkara ini dapat diselesaikan segera. Perkara sebegini kurang berfaedah untuk ditatapi masyarakat sehingga menjejaskan pembangunan negara

PERTUBUHAN MULTAQA ASATIZAH & DU’AT

1

2


Comments are Closed