KENYATAAN RASMI MURSHID MENGENAI KEPUTUSAN KES SAMAN SISTERS IN ISLAM (SIS) TERHADAP JAWATANKUASA FATWA NEGERI SELANGOR, MAIS & KERAJAAN NEGERI SELANGOR

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Pada 27 Ogos 2019 yang lalu, Mahkamah Tinggi telah mengeluarkan keputusan menolak permohonan semakan kehakiman oleh Sisters In Islam (SIS Forum Berhad) untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Kerajaan Negeri Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar, dan memutuskan bahawa isu fatwa berada dalam bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah.

MURSHID menzahirkan setinggi rasa syukur dan rahmat di atas pengumuman keputusan tersebut yang dianggap telah memelihara kesucian agama Islam serta kedaulatan Majlis Raja-Raja Melayu (D.Y.M.M. Sultan Selangor) yang merupakan tunjang pentadbiran hal ehwal Islam di negeri ini. Keputusan ini juga secara tidak langsung telah meningkatkan kredibiliti dan autoriti Jawatankuasa Fatwa Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor yang bertanggungjawab terhadap agama Islam di peringkat negeri.

MURSHID ingin menyeru semua individu, entiti, atau apa sahaja badan pertubuhan untuk mengelakkan pentafsiran nas al-Quran dan hadis tanpa didasari oleh kaedah-kaedah nas dan bahasa serta kefahaman konteks yang holistik. Justeru tanggungjawab dan autoriti itu mestilah diamanahkan dan dipikul oleh pihak berkuasa agama dan para alim ulama yang lebih berkelayakan. Sebagaimana wujudnya pakar-pakar dalam pelbagai bidang, ekonomi, kesihatan, kejuruteraan yang diberi autoriti dan mandat untuk mengulas, memberi pendapat dan membuat keputusan terhadap sesuatu isu yang berkaitan dengan kepakaran mereka, juga sudah semestinya urusan agama ini juga perlu diserahkan kepada pakar-pakar yang mahir dalam bidang tafsir, usul al-fiqh, fiqh, dan sebagainya. Ianya bagi mengelakkan berlakunya salah faham atau tafsiran yang kurang tepat terhadap sesuatu perkara atau isu yang berlaku.

Ianya bertepatan dengan firman Allah SWT:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ إِلَّا رِجَالًا نُّوحِي إِلَيْهِمْ ۚ فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

“Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu, kecuali orang-orang lelaki yang Kami beri wahyu kepada mereka; maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui”. (An Nahl: 43).

Juga firman Allah SWT dalam surah Fatir, ayat 8 yang mengingatkan umat agar tidak ditipu oleh syaitan sehingga menyangka kerja mereka yang salah dan sesat sebagai benar dan tepat:

أفَمَن زُيِّنَ لَهُ سُوءُ عَمَلِهِ فَرَآهُ حَسَنًا ۖ فَإِنَّ اللَّهَ يُضِلُّ مَن يَشَاءُ وَيَهْدِي مَن يَشَاءُ ۖ فَلَا تَذْهَبْ نَفْسُكَ عَلَيْهِمْ حَسَرَاتٍ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ بِمَا يَصْنَعُونَ

“Maka apakah orang yang dijadikan (syaitan) menganggap baik pekerjaannya yang buruk lalu dia meyakini pekerjaan itu baik, (sama dengan orang yang tidak ditipu oleh syaitan)? Maka sesungguhnya Allah menyesatkan siapa yang dikehendaki-Nya dan menunjuki siapa yang dikehendaki-Nya; maka janganlah dirimu binasa kerana kesedihan terhadap mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan.

Di kesempatan ini juga MURSHID ingin menasihati golongan masyarakat awam untuk tidak sewenang-wenangnya menafsirkan nas-nas al-Quran serta sunnah sahih Rasulullah SAW mengikut kepentingan peribadi atau pertubuhan masing-masing sehingga boleh menyebabkan kekeliruan dan salah faham dalam agama. Semoga perkara ini tidak lagi terus berlarutan sehingga boleh mengganggu gugatkan kedudukan agama Islam berasaskan ahli Sunnah Wal-Jamaah yang juga diiktiraf sebagai agama persekutuan di negara kita ini. InsyaAllah.

Sekian, terima kasih.

Multaqa Asatizah dan Du’at (MURSHID)

71434725932_JudgeHammer

« (Previous Post)

Comments are Closed