KENYATAAN RASMI MURSHID PANDANGAN TERHADAP PENUBUHAN KELAB RAKAN SISWA YADIM DAN RAKAN REMAJA YADIM

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Pertubuhan Multaqa Asatizah Dan Du’at dengan ini menyatakan sokongan terhadap inisiatif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) meneruskan kesinambungan kewujudan Sahabat YADIM. Kini ianya bakal dikenali dengan nama baharu iaitu Rakan Siswa YADIM (RSY) dan Rakan Remaja YADIM (RRY). Inisiatif ini merupakan langkah penstrukturan semula usaha gerakan dakwah kepada pelajar beragama Islam seawal di bangku sekolah.

MURSHID berpandangan isu ini tidak patut ditimbulkan sehingga menimbulkan keresahan serta sangkaan buruk oleh sebilangan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai agama dan kaum di negara kita. Sebelum ini, YADIM juga telah mengeluarkan kenyataan penegasan bahawa tujuan utama kelab-kelab ini adalah sebagai mekanisma memupuk kemahiran berorganisasi, kesukarelawanan dan aktivisme yang bersifat menyeluruh dan terbuka dalam kalangan mahasiswa dan pelajar. Ianya juga tidak melibatkan mahasiswa dan pelajar bukan beragama Islam.

Kebenaran yang telah diberikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terhadap usaha ini perlulah dilihat secara positif dan ianya tidak melanggar mana-mana peruntukan perlembagaan negara yang menyatakan Islam sebagai agama persekutuan. Ianya juga merupakan suatu usaha pendedahan dan pendidikan tidak rasmi bagi melahirkan remaja yang lebih proaktif, beretika tinggi dan berintegriti dalam kehidupan mereka di masa hadapan.

MURSHID melihat usaha menaiktaraf institusi pendidikan sebagai medium melahirkan pelajar serta graduan terdidik dengan ilmu serta jiwa muslim yang dianjurkan oleh Islam amatlah baik dan bermanfat. Anak-anak muda kita perlu menjadi insan yang menghormati dan meraikan perbezaan dalam kehidupan masyarakat majmuk agar keharmonian ini terus dijaga. Semoga usaha ini disambut baik oleh semua lapisan masyarakat serta dilaksanakan sebaiknya untuk manfaat kita bersama.

Sekian, terima kasih.

Multaqa Asatizah dan Du’at (MURSHID)

rsy




Comments are Closed