MASJID DITUTUP: UTAMAKAN DUNIA DARI AKHIRAT? TUBUH DARI IBADAH?

Oleh: Ustaz Dr. Zaharuddin Abdul Rahman

Ada yang bertanya, apakah sebenarnya dalil yang membolehkan kita menutup masjid dari ibadat serta mengutamakan kesihatan tubuh berbanding keperluan mendirikan ibadah. Bukankah menghalang orang Islam dari mendatangi masjid dan memakmurkan rumah Allah itu tanda kejahatan serta dilarang secara nas di dalam al-Quran:
وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّن مَّنَعَ مَسَاجِدَ اللّهِ أَن يُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ وَسَعَى فِي خَرَابِهَا
Ertinya : Dan siapakah yang lebih aniaya daripada orang yang menghalang-halangi menyebut nama Allah dalam masjid-masjid-Nya, dan berusaha untuk merobohkannya? (Al-Baqarah : 114 )

JAWAPAN RINGKAS

Islam menetapkan tanpa kesihatan tubuh & keselaatan nyawa, maka ibadah tidak dapat dijalankan. Justeru, walaupun Islam atau agama merupakan maqasid tertinggi dalam Maqasid al-Shariah yang lima, namun itu tidak beerti Islam akan membiarkan umatnya mengorbankan diri & nyawa hanya kerana beribadat, sedangkan Islam adalah agama fitrah dan meraikan keadaan setiap hambanya. Justeru, wujud peruntukan rukhsah dalam banyak keadaan.

Malah, sebenarnya menutup masjid dan menghalangkan umat Islam dari berkumpul mendirikan solat berjemaah dan Jumaat pada tempoh tertentu ketika ini bagi tujuan mengelakkan dari menularnya jangkitan BUKANLAH MENGUTAMAKAN TUBUH BERBANDING IBADAH sebagaimana didakwa, namun ia adalah UNTUK MENJAGA KEDUA-DUANYA SEKALIGUS, NYAWA DAN AGAMA.

Ibadah solat berjemaah atau bersendirian masih dapat dijalankan di rumah masing-masing dan nyawa juga turut dijaga, lebih dari itu, tindakan PENCEGAHAN ini juga secara nas adalah menuruti arahan syara’ dan menghidupkan sunnah Nabi salla allaihi wasallam. Tindakan tersebut sebenarnya bakal diganjari dan sangat bermanfaat dari sudut kerohanian seseorang.

Ayat di atas juga difahami secara salah, kerana ia ditujukan kepada penzalim yang menghalang kerana kebencian terhadap Islam dengan niat untuk merobohkan Islam dan segala syiarnya termasuk masjid itu sendiri. Konteks tersebut tidak sama sekali tepat dalam situasi penutupan masjid sewaktu covid 19 ini.

Dari sudut dalil terdapat beberapa dalil yang jelas antaranya:

1. Terdapat sahabat Nabi yang dibenarkan untuk mengungkap kalimah kufur sewaktu darurat bagi menjaga nyawanya. Ini diiktiraf oleh Allah swt di dalam Surah an-Nahl ayat 106

مَن كَفَرَ بِاللَّهِ مِن بَعْدِ إِيمَانِهِ إِلَّا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالْإِيمَانِ
Ertinya : Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah dia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman .. ( An-Nahl : 106)

2. DIbolehkan berbuka puasa bagi mereka yang uzur atau musafir dan menggantikan dengan waktu lain Ketika sihat.
Firman Allah SWT :
فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ
Ertinya : Maka barang siapa di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain..

3. Fardhu haji hanya akan menjadi wajib ke atas seseorang apabila cukup syarat istito’ah, antaranya adalah diyakini selamat kenderaan dan perjalanan. Tanpa keyakinan terhadap selamatnya jalan, maka haji juga tidak menjadi wajib ke atas individu tersebut. (Rujuk Al-Mughni, Ibn Qudamah)

4. Nabi salla Allahu ‘alaihi wasallam yang bersamanya 1400 sahabat bersetuju untuk menangguhkan umrah qada’ walaupun sudah sampai di Dzul Hulaifah di sempadan tanah Mekah apabila dihalang orang kafir Quraisy Mekah, dan hanya dapat memasukinya pada tahun ketujuh iaitu tahun berikutnya melalui perjanjian Hudaibiah.

5. Menjaga nyawa dan menjauhi diri dari terdedah dari tempat jangkitan atau boleh berjangkit adalah tuntutan syara’ yang mana menurutinya dalah sunnah dan pahala, malah besar ganjarannya. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam menyebut:

عَنْ عَائِشَةَ -رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا-، أَنَّهَا قَالَتْ: سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الطَّاعُونِ، فَأَخْبَرَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” أَنَّهُ كَانَ عَذَابًا يَبْعَثُهُ اللَّهُ عَلَى مَنْ يَشَاءُ، فَجَعَلَهُ رَحْمَةً لِلْمُؤْمِنِينَ، فَلَيْسَ مِنْ رَجُلٍ يَقَعُ الطَّاعُونُ، فَيَمْكُثُ فِي بَيْتِهِ صَابِرًا مُحْتَسِبًا يَعْلَمُ أَنَّهُ لَا يُصِيبُهُ إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَهُ، إِلَّا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ الشَّهِيدِ “.

Ertinya : “Dari Aisyah r.a, dia berkata: Aku telah bertanya kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam tentang Ta’un, maka Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam menjelaskan kepadaku: “Waba’ (Ta’un) itu adalah azab yang Allah kirim kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan Allah jadikan sebagai rahmat bagi orang-orang beriman. Tiadalah seseorang yang ketika terjadinya waba (Ta’un) lalu dia tinggal (berdiam) di rumahnya, bersabar dan berharap pahala (di sisi Allah), juga dia yakin bahawa tidak akan menimpanya kecuali apa yang ditetapkan Allah untuknya, maka dia akan mendapatkan seperti pahala syahid”. [ hadis sahih, Riwayat al-Bukhari]

Rasulullah s.a.w turut bersabda:

إِذَا سَمِعْتُمْ بِالطَّاعُونِ بِأَرْضٍ فَلاَ تَدْخُلُوهَا، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلاَ تَخْرُجُوا مِنْهَا
Maksudnya: “Jika kamu mendengar penyakit taun melanda di suatu kawasan, janganlah masuk ke kawasan tersebut. Dan jika kamu berada di kawasan tersebut janganlah kamu keluar dari situ.”(Riwayat al-Bukhari)

Wallahu’alam, Sekian terima kasih




Comments are Closed