MURSHID GESA TINDAKAN TEGAS PENGHINA BENDERA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Akhir-akhir ini, timbul budaya tidak sihat di Malaysia iaitu perbuatan menghina bendera kebangsaan negara, Jalur Gemilang. Rutin yang biasa berlaku, setelah kebiadaban tersebut ditegur, pihak yang menghina ini tampil meminta maaf dan selepas itu isu ini akan senyap tanpa sebarang tindakan tegas daripada pihak berkuasa.

Bendera adalah lambang identiti dan kedaulatan sebuah negara. Setiap inci simbol yang terpapar pada sesebuah bendera melambangkan semangat negara tersebut. Perbuatan mengubah suai, menterbalikkan bendera dan sebagainya adalah suatu jenayah patriotisme yang berat dan sewajarnya dihukum keras. Sehubungan itu, Pertubuhan Multaqa Asatizah dan Du’at (MURSHID) menggesa pihak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap penghina bendera kebangsaan Malaysia.

Malah, dalam sejarah Islam bendera (atau dikenali juga sebagai panji) adalah elemen penting. Ia telah tercatat semasa Perang Mu’tah di mana Saidina Ja’afar bin Abi Talib RA sanggup kehilangan 2 tangannya mempertahankan panji atau bendera tentera Islam dalam perang Mu’tah. Jika ia sekadar kain kosong, masakan Allah gantikan kedua tangan Ja’afar dengan 2 sayap sehingga beliau bebas berterbangan dalam syurga bersama para malaikat!

Itu antara kelebihan yang dimiliki seorang sahabat nabi bernama Ja’afar bin Abi Talib RA. Beliau adalah sepupu nabi SAW dan antara orang terawal memeluk Islam. Dalam perang Mu’tah melawan tentera Rom, beliau kehilangan dua tangan kerana mempertahankan panji tentera Islam. Lalu Allah ganti kedua tangannya itu dengan 2 sayap. Ia diceritakan Rasulullah SAW dalam sabda baginda:

يا أيها الناس، إن جعفرا مع جبريل وميكائيل له جناحان عوضه الله من يديه سلم علي……..فلذلك سمي الطيار في الجنة

Ertinya: “Wahai sekelian manusia, sesungguhnya Ja’afar (sekarang) bersama malaikat Jibril dan Mika’il. Dia punyai 2 sayap sebagai ganti 2 tangannya (yang hilang dalam perang Mu’tah). Dia baru sahaja memberi salam kepadaku (dari alam barzakh).” Oleh kerana itu beliau dinamakan sebagai al-Tayyar (insan yang terbang) dalam syurga kelak (Mustadrak al-Hakim).

Tindakan tegas boleh diambil sama dengan menggubal atau meminda undang-undang sedia ada agar tiada lagi penghinaan ini berulang dan disengajakan. Semoga perkara ini tidak lagi berulang pada masa hadapan.

Sekian, terima kasih.

Multaqa Asatizah dan Du’at (MURSHID)

MURSHID


Comments are Closed