MURSHID SELAR PENGANJURAN EXPO TATTOO MALAYSIA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Baru-baru ini tular berkenaan Expo Tattoo Malaysia yang diadakan di Kuala Lumpur Convention Centre selama tiga hari mulai 29 November hingga 1 Disember. Meskipun pernah beberapa kali diadakan sebelum ini di Sabah, MURSHID menyelar tindakan penganjuran ekspo tersebut yang pertama kali diadakan di Semenanjung Malaysia.

Adapun tanggapan acara sebegini adalah berskala tertutup, tertumpu kepada masyarakat bukan beragama Islam serta dilihat boleh menyumbang kepada sektor pelancongan, MURSHID berpandangan ianya sangat tidak wajar untuk dianjurkan berdasarkan nilai ketimuran serta tatasusila budaya Melayu yang merupakan kaum majoriti di negara kita ini. Masih banyak lagi acara atau lokasi-lokasi pelancongan yang boleh diketengahkan jika bertujuan untuk menaik tarafkan pelancongan negara kita.

Biarpun pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menafikan penglibatannya dalam ekspo tersebut, pihak berwajib perlu seharusnya lebih memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap individu atau entiti terlibat daripada mencemar dan menyalahgunakan nama baik kementerian serta kerajaan.

Penganjuran acara sebegini yang bertentangan dengan norma masyarakat setempat perlu dibendung daripada terus menjadi normalisasi dalam kehidupan masyarakat. Sensitiviti masyarakat umum juga perlu dilihat dengan lebih menyeluruh sebelum menganjurkan sebarang program. Keterbukaan serta kebebasan juga mempunyai limitasi yang perlu dipatuhi demi menjaga keharmonian masyarakat.

MURSHID mengharapkan tindakan yang lebih tegas dilakukan sebagai peringatan dan teguran kepada masyarakat secara amnya untuk lebih berhati-hati dan waspada dalam menganjurkan sebarang program selepas ini.

Sekian, terima kasih.

Multaqa Asatizah dan Du’at (MURSHID)

Annotation 2019-12-04 153741


Comments are Closed