NISFU SYA’BAN

Oleh: Akh Amin Idris (Ahli Majlis Ilmuan Murshid, MUSTASYAR)

Ada hadis hasan sahih yang menceritakan kelebihan malam Nisfu Sya’ban iaitu daripada Abu Musa al-Asy’ari RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ لَيَطَّلِعُ فِي لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT melihat pada malam nisfu Sya’ban kemudian mengampunkan semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. (Riwayat Ibn Majah)

ADAKAH WUJUD AMALAN KHUSUS DI MALAM NISFU SYA’BAN?

Antaranya dengan mengkhususkan solat 100 rakaat pada malam nisfu Sya’ban, kemudian membaca setiap rakaat surah al-Fatihah dan surah al-Ikhlas sepuluh kali sebagaimana dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:

يَا عَلِي, مَنْ صَلَّى مِائَة رَكْعَة لَيْلَة النِّصْفِ مِنْ شَعْبَان، يَقْرَأ فِي كُلِّ رَكْعَة بِفَاتِحَةِ الكِتَاب, وَقُلْ هُوَ اللهُ أَحَدْ عَشرَ مَرَّات, إِلَّا قَضَى اللهُ لَهُ كُلّ حَاجَة

“Wahai Ali, barangsiapa yang solat seratus rakaat pada malam nisfu Sya’ban, lalu dia membaca setiap rakaat itu surah al-Fatihah dan surah al-Ikhlas sebanyak sepuluh kali pasti Allah SWT akan memakbulkan setiap hajatnya”.

Hadith ini adalah PALSU sebagaimana dihukum oleh Imam al-Syaukani, Imam Ibn al-Jauzi dan ramai lagi dalam kalangan ahli hadith. Imam Ibn al-Qayyim juga menyatakan bahawa antara hadith-hadith palsu adalah hadith berkaitan solat pada malam nisfu Sya’ban

Tokoh besar Mazhab Syafie; Imam Nawawi menolak Solat Raghaib di malam Nisfu Sya’ban. Kata beliau di dalam Kitab al-Majmu’, 3:548;

“Solat yang dikenali dengan solat al-Raghaib adalah solat yang dilakukan pada awal malam dalam bulan Rejab sebanyak 12 rakaat antara waktu Maghrib dan Isyak dan juga solat pada malam nisfu Sya’ban sebanyak 100 rakaat. Kedua-dua solat ini adalah bid’ah yang MUNGKAR LAGI BURUK”.

TIADA AMALAN KHAS TAPI BUATLAH APA SAHAJA ASALKAN IBADAH

Imam al-Syafie berkata: “Doa mustajab adalah pada 5 malam, iaitu malam jumat, malam al-Adha, malam al-Fitri, malam awal bulan Rejab, dan malam nisfu Sya’ban”. (al-Um, 1:264)

Kata Ibnu Rajab: “Berkaitan malam nisfu Sya’ban, pada zaman dahulu para tabi’in daripada penduduk al-Syam, seperti Khalid bin Ma’dan, Makhul, Luqman bin Amir, dan beberapa para tabi’in yang lain memuliakannya (malam tersebut) dan mereka bersungguh-sungguh beribadah pada malam itu”. (Lathaif al-Ma’arif, 247)

Mufti Wilayah Persekutuan yang kini Menteri Agama; Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri merumuskan;

“Islam tidak meletakkan sesuatu amalan khusus yang mungkin boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah untuk diamalkan pada malam nisfu Sya’ban tetapi dalam masa yang sama, kita hendaklah mengambil peluang dengan kelebihan yang ada pada malam tersebut dengan beramal sebanyak-banyaknya samada dengan membaca al-Quran, solat sunat, berzikir dan lain-lain lagi.”

KESIMPULAN
1. Kelebihan malam nisfu Sya’ban adalah sabit berdasarkan hadith sahih

2. Banyakkan ibadah seperti membaca al-Quran (bukan hanya Yasin sahaja), solat sunat, berzikir dan lain-lain lagi.

3. Kesemua amalan ini tidak boleh dinisbahkan kepada Nabi SAW sebagai sunnah yang mesti dibuat dalam bentuk tuntutan kerana kesemua amalan ini adalah bersifat umum.

4. Tiada amalan khusus yang sabit daripada Nabi SAW berkaitan malam nisfu Sya’ban

Comments are Closed