PAKEJ RANSANGAN ROHANI TERBAIK SEMASA PKP

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Ramai gembira dengan pengumuman kerajaan berkaitan pakej ransangan ekonomi bagi membantu rakyat yang dilanda kesusahan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sebenarnya semasa PKP kita turut mendapat pakej ransangan rohani terbaik iaitu membaca al-Quran.

Oleh itu, ambillah peluang kawalan pergerakan ini untuk memperbanyakkan bacaan al-Quran. Jika ada pelaburan yang mampu memberi pulangan terbaik, pastinya ia adalah bacaan al-Quran. Lafaz Basmalah sahaja sudah menjamin 19 pahala bersesuaian dengan jumlah hurufnya. Bayangkan berapa pula pahala seluruh huruf al-Quran yang kita baca?

عَبْدَ اللَّهِ بْنَ مَسْعُودٍ يَقُولُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا لَا أَقُولُ الم حَرْفٌ وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ

Ertinya: “Siapa yang membaca satu huruf al-Quran maka baginya pahala satu kebaikan dan setiap satu kebaikan itu (digandakan ganjarannya) bersamaan dengan 10 kali ganda. Tidak aku katakan ALIF-LAM-MIM itu satu huruf, tetapi ALIF itu (dikira) satu huruf, LAM (dikira) satu huruf dan MIM (dikira) satu huruf” (Sunan al-Tirmidhi).

Pakej ransangan al-Quran turut memberi kemungkinan darjat dalam syurga diangkat berdasarkan jumlah ayat yang biasa kita baca semasa di dunia:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يُقَالُ لِصَاحِبِ الْقُرْآنِ اقْرَأْ وَارْتَقِ وَرَتِّلْ كَمَا كُنْتَ تُرَتِّلُ فِي الدُّنْيَا فَإِنَّ مَنْزِلَتَكَ عِنْدَ آخِرِ آيَةٍ تَقْرَأُ بِهَا

Ertinya: “(Setelah hamba masuk ke syurga), dikatakan kepada orang yang sentiasa membaca serta mengamalkan isi kandungan al-Quran; baca, naiklah darjatmu (dalam syurga) dan bacalah dengan tenang sebagaimana kamu selalu membacanya di dunia dahulu. Kerana kedudukanmu (dalam syurga ini) berada pada ayat terakhir yang kami baca (di dunia dahulu)” (Sunan al-Tirmidhi).

Bagaimana dan berapa banyak jumlah bacaan al-Quran harian Rasulullah SAW? Ia tiada nass jelas tapi ayuh kita ikuti kisah ini yang menunjukkan baginda SAW dan para sahabat ada jadual mereka tersendiri:

أَوْسِ بْنِ حُذَيْفَةَ قَالَ كُنْتُ فِي الْوَفْدِ الَّذِينَ أَتَوْا النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَسْلَمُوا مِنْ ثَقِيفٍ مِنْ بَنِي مَالِكٍ أَنْزَلَنَا فِي قُبَّةٍ لَهُ فَكَانَ يَخْتَلِفُ إِلَيْنَا بَيْنَ بُيُوتِهِ وَبَيْنَ الْمَسْجِدِ فَإِذَا صَلَّى الْعِشَاءَ الْآخِرَةَ انْصَرَفَ إِلَيْنَا وَلَا نَبْرَحُ حَتَّى يُحَدِّثَنَا وَيَشْتَكِي قُرَيْشًا وَيَشْتَكِي أَهْلَ مَكَّةَ ثُمَّ يَقُولُ لَا سَوَاءَ كُنَّا بِمَكَّةَ مُسْتَذَلِّينَ وَمُسْتَضْعَفِينَ فَلَمَّا خَرَجْنَا إِلَى الْمَدِينَةِ كَانَتْ سِجَالُ الْحَرْبِ عَلَيْنَا وَلَنَا فَمَكَثَ عَنَّا لَيْلَةً لَمْ يَأْتِنَا حَتَّى طَالَ ذَلِكَ عَلَيْنَا بَعْدَ الْعِشَاءِ قَالَ قُلْنَا مَا أَمْكَثَكَ عَنَّا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ طَرَأَ عَلَيَّ حِزْبٌ مِنْ الْقُرْآنِ فَأَرَدْتُ أَنْ لَا أَخْرُجَ حَتَّى أَقْضِيَهُ قَالَ فَسَأَلْنَا أَصْحَابَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ أَصْبَحْنَا قَالَ قُلْنَا كَيْفَ تُحَزِّبُونَ الْقُرْآنَ قَالُوا نُحَزِّبُهُ ثَلَاثَ سُوَرٍ وَخَمْسَ سُوَرٍ وَسَبْعَ سُوَرٍ وَتِسْعَ سُوَرٍ وَإِحْدَى عَشْرَةَ سُورَةً وَثَلَاثَ عَشْرَةَ سُورَةً وَحِزْبَ الْمُفَصَّلِ مِنْ قَافْ حَتَّى يُخْتَمَ

Ertinya: Aws bin Hudhayfah berkata, aku termasuk dalam rombongan dari Thaqif (daripada Bani Bakar) yang datang bertemu Nabi SAW. Kami ditempatkan oleh baginda dalam sebuah khemah antara rumah baginda dan Masjid. Baginda selalu berulang alik untuk bertemu kami, pulang ke rumahnya dan ke masjid. Setiap kali selesai solat Isyak baginda datang bertemu kami dan bercakap dengan kami………….Pada suatu malam baginda tidak datang menjenguk kami (seperti biasa) sehingga lama kami menunggu selepas solat Isyak. Selepas baginda datang kami bertanya “Apa punca kamu lambat menemui kami?” Baginda menjawab: (Aku sibuk hari ini, sehingga mengganggu jadual bacaan al-Quran harianku. Oleh itu) “APABILA SAMPAI (JADUAL) BAHAGIAN BACAAN AL-QURANKU, AKU TAK MAHU KELUAR (DARI MASJID) SEHINGGA SELESAI MEMBACANYA.” Menjelang pagi kami tanya kepada sahabat Rasulullah bagaimana kalian membahagikan bacaan al-Quran (secara harian)?” Mereka menjawab kami bahagikannya kepada 3,5,7,9,11,13 (surah) dan bahagian surah pendek daripada surah Qaf (surah ke 50 dalam juzuk 27) sehingga akhir al-Quran (Musnad Ahmad).

Berikut adalah ringkasan jadual yang dimaksudkan hadith ini:

1) 3 surah pertama; al-Baqarah (surah no 2), Ali ‘Imran (surah no 3) dan al-Nisa’ (4).

2) 5 surah berikutnya; al-Ma’idah (5), al-An’am (6), al-A’raf (7), al-Anfal (8) dan al-Tawbah (9).

3) 7 surah berikutnya; Yunus (10), Hud (11), Yusuf (12), al-Ra’du (13), Ibrahim (14), al-Hijr (15) dan al-Nahl (16).

4) 9 surah berikutnya; al-Isra’ (17), al-Kahfi (18), Maryam (19), Taha (20), al-Anbiya’ (21), al-Hajj (22), al-Mu’minun (23), al-Nur (24) dan al-Furqan (25).

5) 11 surah berikutnya; al-Syu’ara’ (26), al-Naml (27), al-Qasas (28), al-‘Ankabut (29), al-Rum (30), Luqman (31), al-Sajdah (32), al-Ahzab (33), Saba’ (34), Fatir (35) dan Yasin (36).

6) 13 surah berikutnya; al-Saffat (37), Sad (38), al-Zumar (39), Ghafir (40), Fussilat (41), al-Syura (42), al-Zukhruf (43), al-Dukhan (44), al-Jathiyah (45), al-Ahqaf (46), Muhammad (47), al-Fath (48) dan al-Hujurat (49).

7) Mufassal (surah yang ayatnya pendek) bermula daripada surah Qaf (50) sehingga al-Nas (114).

Sebelum ini agak sukar untuk kita isi masa untuk berdamping dengan al-Quran. Ayuh kita isi tambah keberkatan masa semasa PKP ini dengan dampingan al-Quran. Sungguh! Ini adalah pakej ransangan pahala yang terbaik. Jangan lepaskan ia begitu sahaja.

91207226_10216866157431610_3379589037986676736_n




Comments are Closed