PELBAGAI JENIS PELABURAN BOLEH JADI PATUH SYARIAH

Oleh: Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman

Terdapat beberapa pecahan pelaburan yang disarankan dalam Islam dan menjadi keutamaan setiap umat Islam memahami dalam melakukannya demi memperkasa ekonomi sejagat mengikut apa yang telah dibenarkan dalam syariat Islam. Ia adalah seperti berikut:

1) Melabur dalam meningkat ilmu diri sendiri
Melabur untuk mendalami ilmu terlebih dahulu seperti ilmu pemasaran, urus duit, urus stok, teknik pembuatan produk/servis, skill bercakap (interpersonal skills) dan perkara-perkara yang perlu diketahui untuk menjadi seorang usahawan, ahli perniagaan dan pelaburan. Sebahagian ilmu ini membolehkan kita menawarkan servis berbayar kepada pelanggan, seperti pereka design, konsultan dan banyak lagi.

2) Melabur dengan sedikit modal
Menyertai program-program perniagaan yang menyediakan sistem sokongan pemasaran 100% seperti program perniagaan jenis affiliate, dropship atau online publisher dengan tawaran produk yang terjamin halal.

3) Melabur modal dan usaha kerja
Melabur modal kewangan yang disertakan dengan penglibatan usaha kerja seperti menyertai peluang perniagaan yang ditawarkan di pasaran sebagai pembekal, pengedar, agen rasmi produk, usahawan online (online marketer) termasuk berkecimpung dalam program perniagaan francais atau multi level marketing yang sah dan patuh syariah.

4) Buka bisnes dengan produk sendiri. (syarikat pemula atau Start-up)
Melaburkan sejumlah modal membangunkan perniagaan dengan produk sendiri termasuk merangka pelan pemasaran dan operasi. Perkara yang paling penting adalah memastikan pembuatan produk tersebut adalah berasaskan sumber yang halal dengan strategi urusniaga yang tidak melibatkan taktik mengelirukan, unsur penipuan, gharar dan riba’.

5) Melabur dalam perniagaan orang (rakan kongsi)
Melaburkan sejumlah kewangan dalam perniagaan orang lain yang diyakini potensinya berdasarkan kajian. Ia secara langsung menjadikan pelabur sebagai rakan kongsi yang mempunyai akses maklumat, tugasan serta tanggungjawab terhadap perniagaan tersebut dari masa ke semasa dengan persetujuan dan permuafakatan mereka yang sama-sama terlibat.

6) Melabur dalam pegangan dan pemilikan saham
Melaburkan kewangan dengan membeli saham syarikat atas potensinya termasuk syarikat-syarikat patuh syariah yang tersenarai di bursa saham. Terdapat sejumlah 667 syarikat patuh syariah daripada 905 yang tersenarai di Bursa Malaysia sewaktu artikel ini ditulis.

Antara syarat utama saham patuh syariah adalah sesuatu syarikat ini wajib mempunyai profil pengurusan dan portfolio operasi yang boleh dinilai secara rasmi dengan jelas. Selain itu, produk dan perkhidmatan yang diniagakan perlulah daripada sumber pembuatan dan bahan yang halal.

7) Melabur melalui sistem perbankan dan institusi kewangan
Melabur melalui bank dan institusi kewangan patuh syariah. Adalah ditegaskan bahawa sistem perbankan konvensional di Malaysia dikategorikan tidak patuh syariah. Selain itu, skim pelaburan yang menjanjikan pulangan keuntungan tetap mingguan, bulanan atau tahunan juga adalah pelaburan yang haram di sisi muamalat Islam.

8) Melabur dengan membeli hartanah. Sama ada hartanah siap seperti rumah atau lot kedai atau tanah kosong. Rumah boleh diusahakan untuk menjadi homestay atau disewakan. Lot kedai untuk penyewaan. Manakala tanah kosong untuk diusahakan sebagai kebun sayuran atau buahan. Ia juga pelaburan yang boleh membawa banyak keuntungan, namun perlu keringat dicurahkan jika tiada pekerja lain.

Namun begitu, semua di atas boleh menjadi patuh Shariah dan sebaliknya. Bergantung kepada jenis bisnes dan juga kontrak serta terma di dalam kontrak. Ada yang aktiviti bisnesnya patuh Shariah tetapi disbebakan kontraknya, ia menjadi sebaliknya. Justeru, perlukan semakan kepatuhan Shariah juga.




Comments are Closed