PENYIASAT PARANORMAL DI TV

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari Abdul Rahim

Tertonton rancangan Paranormal Caught on Camera, Session 1 di Astro. Syukur kita Muslim dibekalkan al-Quran yang lengkap menjelaskan perihal Ghaib seperti alam jin.

Semua yang misteri pada bukan Islam dalam rancangan itu seperti rumah berhantu bekas tempat mafia dibunuh, barang bergerak sendiri, wajah sukarelawan PARANORMAL bertukar menjadi menakutkan, video penampakan UFO dan sebagainya sudah ada jawapan dalam al-Quran…

Alhamdulillah aku dilahirkan Muslim dan diberi kesempatan mendalami al-Quran dan al-Sunnah. Apabila bertemu atau dengar semua perkara yang dikatakan PARANORMAL ini, aku nampak petunjuknya dalam al-Quran:

KUNCI DAN JAWAPAN SEMUA YANG DIDAKWA PARANORMAL ITU TERSIMPUL DALAMAL-QURAN.

Tiada roh si mati balik menjadi hantu, yang mengusik itu adalah jin kerana manusia yang mati TAK BOLEH BALIK KE DUNIA SAMA SEKALI:

حَتَّى إِذَا جَاءَ أَحَدَهُمُ الْمَوْتُ قَالَ رَبِّ ارْجِعُونِ (99) لَعَلِّي أَعْمَلُ صَالِحًا فِيمَا تَرَكْتُ كَلَّا إِنَّهَا كَلِمَةٌ هُوَ قَائِلُهَا وَمِنْ وَرَائِهِمْ بَرْزَخٌ إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ (100)

Ertinya: Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang antara mereka, dia berkata: ” Wahai Tuhanku, kembalikanlah aku (hidup semula di dunia) – “Supaya aku mengerjakan amal yang soleh dalam perkara yang telah aku tinggalkan”. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang dia sahaja ucapkan, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (dinding pemisah yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat)” (al-mu’minun 23:99-100).

UFO dan makhluk asing? Ia juga mungkin jin:

وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦ خَلۡقُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَمَا بَثَّ فِيهِمَا مِن دَآبَّةٖۚ وَهُوَ عَلَىٰ جَمۡعِهِمۡ إِذَا يَشَآءُ قَدِيرٞ

Dan di antara tanda kekuasaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi serta segala yang Dia biakkan pada keduanya dari makhluk yang melata; dan Dia Maha Kuasa menghimpunkan mereka semuanya apabila Dia kehendaki (melakukannya) (Al-Syura 42:29).

Jin lebih dahulu mendaki ke langit sebelum NASA menghantar manusia ke bulan:

وَأَنَّا كُنَّا نَقۡعُدُ مِنۡهَا مَقَٰعِدَ لِلسَّمۡعِۖ فَمَن يَسۡتَمِعِ ٱلۡأٓنَ يَجِدۡ لَهُۥ شِهَابٗا رَّصَدٗا

Padahal sesungguhnya kami (para Jin) dahulu biasa menduduki tempat (perhentian) di langit untuk mendengar (percakapan penduduknya); maka sekarang sesiapa yang cuba mendengar, akan mendapati api yang menyala yang menunggu merejamnya (al-Jinn 72:9).

Sudah lama semua misteri ini dirungkai al-Quran. Oleh itu, dalamilah al-Quran untuk meneroka semua misteri alam DALAM BATASANNYA.

Comments are Closed