Perluaskan Penggunaan “Roller Barrier” di Kawasan Bahaya Seluruh Malaysia

Semalam (19 Jun 2018), negara dikejutkan dengan kemalangan melibatkan bas di Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak. Seorang penumpang meninggal dunia dan berpuluh penumpang yang lain cedera.

Tumpuan orang awam dan pengguna jalan raya terarah kepada keberkesanan pemasangan “roller barrier” yang dilanggar kenderaan tersebut. Pemasangannya dapat meninggalkan kesan ketara apabila impak terhadap kenderaan dan penumpang menurun. Berbeza dengan pemasangan penghadang besi yang sangat memberi kesan besar kepada kenderaan dan penumpang.

Difahamkan teknologi “roller barrier” sudah dipasang untuk sesi ujian sejak beberapa tahun lepas di beberapa kawasan di Malaysia. Oleh itu, MURSHID berpandangan sudah tiba masanya perlaksanaan secara menyeluruh terhadap teknologi ini diperluaskan merangkumi kawasan yang berisiko kemalangan seperti selekoh tajam, kawasan berbukit sama ada di lebuh raya, jalan persekutuan atau jalan negeri.

Penggunaan teknologi “roller barrier” ini sangat bertepatan dengan Maqasid Syariah yang utama iaitu mementingkan penjagaan nyawa. Sebarang usaha yang dibuat bagi menjaga nyawa manusia dipuji Allah sebagaimana firman-Nya dalam al-Quran:

وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَا أَحْيَا النَّاسَ جَمِيعًا

Ertinya: Dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya (al-Ma’idah 5:30).

MURSHID juga menggesa pihak kerajaan agar mengawal selia proses pemasangan “roller barrier” dengan telus agar tidak berlaku ketirisan atau penyelewengan kualiti bahan kerana ia melibatkan nyawa pengguna.

Pada masa sama, para pengguna juga mesti diingatkan agar mengamalkan pemanduan selamat dan berhemah bagi menjaga keselamatan di jalan raya. Sebarang kemalangan yang berlaku kerana kecuaian kita akan merugikan banyak pihak. Ingatlah, sebarang aksi anda di jalan raya boleh membuahkan pahala dan dosa.

Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim
Timbalan Presiden
MURSHID (Pertubuhan Multaqa Asatizah dan Du’at)
20 Jun 2018
.
Sumber: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/seorang-maut-42-cedera-dalam-kemalangan-km33-3-lebuhraya-karak-178446

Nota: Contoh penggunaan ‘Roller Barrier’.

sri jengka jamm


Comments are Closed