PKP JADI SEBAB DAPAT PAHALA SYAHID DAN PAHALA PATUHI PEMIMPIN?

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Setiap hari ada sahaja laporan korban COVID 19. Sehingga 24 Mac 2020 sudah 15 orang korbannya. Apa yang sangat menyedihkan adalah pemergian mereka tidak dapat diurus secara biasa. Tiada kucup selamat tinggal dan tiada keluarga hadir bersama menghantar ke pusara sedangkan itulah bakti terakhir yang hidup kepada yang pergi. Apa nak buat kerana itu adalah ketetapan yang dibuat pihak Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai langkah keselamatan membendung penularan penyakit ini. Kepada yang kehilangan, ingatlah doa masih boleh dikirim sebagai pengganti diri.

Di tengah kesedihan ini, ada banyak khabar gembira kerana Rasulullah SAW menjanjikan sesiapa yang meninggal dunia kerana beberapa jenis penyakit dikategorikan sebagai mati syahid:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا تَعُدُّونَ الشَّهِيدَ فِيكُمْ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ قُتِلَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَهُوَ شَهِيدٌ قَالَ إِنَّ شُهَدَاءَ أُمَّتِي إِذًا لَقَلِيلٌ قَالُوا فَمَنْ هُمْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ مَنْ قُتِلَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَهُوَ شَهِيدٌ وَمَنْ مَاتَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَهُوَ شَهِيدٌ وَمَنْ مَاتَ فِي الطَّاعُونِ فَهُوَ شَهِيدٌ وَمَنْ مَاتَ فِي الْبَطْنِ فَهُوَ شَهِيدٌ

Ertinya: Rasulullah SAW bertanya kepada para sahabat, “Apa tanggapan kalian tentang orang yang mati syahid dalam kalangan kalian?” Mereka menjawab: “Wahai Rasulullah sesiapa yang gugur berjuang pada jalan Allah, merekalah yang syahid.” Baginda menyambung: “Kalau begitu, amat sedikitlah yang mati syahid dalam kalangan umatku (sedangkan mereka sebenarnya ramai).” Sahabat bertanya: “Siapakah mereka itu Wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Sesiapa yang gugur berjuang dan mati pada jalan Allah maka dia dikira syahid, sesiapa yang mati kerana penyakit Taun maka dia dikira syahid, sesiapa yang mati kerana penyakit dalam perut maka dia dikira syahid (Sahih Muslim).

Ketika mengulas hadith ini Imam al-Nawawi mengkategorikan mati syahid kepada 3 jenis iaitu:

(1) Syahid terbaik iaitu di dunia dan di akhirat. Mereka adalah orang yang gugur ketika memerangi musuh yang kafir,

(2) Syahid di akhirat. Mereka berbeza dengan kategori sebelum ini. Jenazah mereka perlu diurus dan dimandikan seperti biasa,

(3) Syahid di dunia tetapi tidak mendapat ganjaran syahid di akhirat kerana jenayah yang mereka lakukan dalam perang seperti mati setelah menggelapkan harta rampasan perang atau mati di medan perang ketika melarikan diri (Syarh Sahih Muslim oleh Imam al-Nawawi).

Huraian lanjut 2 dosa syahid dunia itu adalah;

(3.1) Mati setelah menggelapkan harta rampasan perang boleh dirujuk dalam kisah kematian Mid’am. Selepas perang Khaybar, Rasulullah SAW menuju ke Wadi al-Qura untuk memburu saki baki orang Yahudi yang masih bersembunyi di situ. Mid’am yang berjalan di hadapan tunggangan Rasulullah SAW ditembak mati oleh sebatang anak panah sesat. Para sahabat yang melihat peristiwa itu menganggap Mid’am sungguh beruntung kerana gugur syahid pada jalan Allah. Baginda menafikan perkara itu dengan sabdanya:

بَلْ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ إِنَّ الشَّمْلَةَ الَّتِي أَصَابَهَا يَوْمَ خَيْبَرَ مِنْ الْمَغَانِمِ لَمْ تُصِبْهَا الْمَقَاسِمُ لَتَشْتَعِلُ عَلَيْهِ نَارًا

Ertinya: Tidak sama sekali. Demi yang jiwaku berada pada tangan (Kuasa-Nya), sesungguhnya KAIN SELIMUT YANG DIA GELAPKAN DARIPADA PERANG KHAYBAR YANG BELUM DIMASUKKAN KE DALAM BAHAGIAN PEMBAHAGIAN (HARTA KHAYBAR) AKAN MENJADI (SEBAB) NYALAAN API (NERAKA TERHADAPNYA) (Sahih al-Bukhari & Sahih Muslim).

(3.2) Melarikan diri dari medan perang termasuk satu dosa besar sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ قَالَ الشِّرْكُ بِاللَّهِ وَالسِّحْرُ وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَأَكْلُ الرِّبَا وَأَكْلُ مَالِ الْيَتِيمِ وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ وَقَذْفُ الْمُحْصَنَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ الْغَافِلَاتِ

Ertinya: “Jauhilah 7 dosa pemusnah.” Para sahabat bertanya: “Apakah dosa itu?” Baginda menyambung: “Syirik kepada Allah, mengamalkan sihir, bunuh jiwa yang diharamkan Allah melainkan dengan alasan benar (Qisas atau bunuh balas), makan riba, makan harta anak yatim, LARI DARIPADA MEDAN PERANG dan menuduh wanita suci berzina (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Dalam hadith lain nabi menambah lagi jenis mati syahid:

أَنَّ عَمَّهُ جَابِرَ بْنَ عَتِيكٍ أَخْبَرَهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَاءَ يَعُودُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ ثَابِتٍ فَوَجَدَهُ قَدْ غُلِبَ فَصَاحَ بِهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمْ يُجِبْهُ فَاسْتَرْجَعَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَالَ غُلِبْنَا عَلَيْكَ يَا أَبَا الرَّبِيعِ فَصَاحَ النِّسْوَةُ وَبَكَيْنَ فَجَعَلَ ابْنُ عَتِيكٍ يُسَكِّتُهُنَّ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَعْهُنَّ فَإِذَا وَجَبَ فَلَا تَبْكِيَنَّ بَاكِيَةٌ قَالُوا وَمَا الْوُجُوبُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ الْمَوْتُ قَالَتْ ابْنَتُهُ وَاللَّهِ إِنْ كُنْتُ لَأَرْجُو أَنْ تَكُونَ شَهِيدًا فَإِنَّكَ كُنْتَ قَدْ قَضَيْتَ جِهَازَكَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ قَدْ أَوْقَعَ أَجْرَهُ عَلَى قَدْرِ نِيَّتِهِ وَمَا تَعُدُّونَ الشَّهَادَةَ قَالُوا الْقَتْلُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ تَعَالَى قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الشَّهَادَةُ سَبْعٌ سِوَى الْقَتْلِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ الْمَطْعُونُ شَهِيدٌ وَالْغَرِقُ شَهِيدٌ وَصَاحِبُ ذَاتِ الْجَنْبِ شَهِيدٌ وَالْمَبْطُونُ شَهِيدٌ وَصَاحِبُ الْحَرِيقِ شَهِيدٌ وَالَّذِي يَمُوتُ تَحْتَ الْهَدْمِ شَهِيدٌ وَالْمَرْأَةُ تَمُوتُ بِجُمْعٍ شَهِيدٌ

Ertinya: Jabr bin ‘Atik RA menceritakan Rasulullah SAW menziarahi Abdullah bin Thabit yang sedang sakit…setelah beliau meninggal dunia anak perempuannya berkata “Sebenarnya aku berharap agar engkau mati syahid (pada jalan Allah) kerana engkau sudah bersiap untuk itu (merancang untuk menyertai satu perang bersama nabi)!” Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah telah mengurniakan padanya pahala syahid berdasarkan niatnya . Apa pandangan kamu tentang orang yang mati syahid?” Para sahabat yang hadir bersama nabi berkata: “ (Hanya) orang yang gugur berjuang pada jalan Allah (sahaja).” Rasulullah SAW bersabda: “Ada 7 jenis mati syahid lagi selain gugur berjuang pada jalan Allah. (Mereka adalah) orang yang mati kerana penyakit taun, orang yang mati lemas, orang yang mati kerana sakit paru-paru, orang yang mati kerana penyakit dalam perut, orang yang mati terbakar (semuanya) dikira mati syahid. Begitu juga orang yang mati ditimpa sesuatu (bangunan) dan wanita yang mati melahirkan anak juga dikira mati syahid (Sunan Abu Dawud).

Bukan hanya yang meninggal kerana penyakit berbahaya sahaja diberikan ganjaran. Yang sabar sedang kuarantin pun ada habuannya. Sabda nabi SAW:

عَنْ عَائِشَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهَا أَخْبَرَتْنَا أَنَّهَا سَأَلَتْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الطَّاعُونِ فَأَخْبَرَهَا نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ كَانَ عَذَابًا يَبْعَثُهُ اللَّهُ عَلَى مَنْ يَشَاءُ فَجَعَلَهُ اللَّهُ رَحْمَةً لِلْمُؤْمِنِينَ فَلَيْسَ مِنْ عَبْدٍ يَقَعُ الطَّاعُونُ فَيَمْكُثُ فِي بَلَدِهِ صَابِرًا يَعْلَمُ أَنَّهُ لَنْ يُصِيبَهُ إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَهُ إِلَّا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ الشَّهِيدِ

Ertinya: Aishah RA memberitahu Rasulullah SAW pernah memberitahu beliau tentang hakikat penyakit Taun: “Ia adalah sejenis azab yang dihantar Allah kepada siapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Maka Allah jadikan ia sebagai limpahan rahmat untuk orang beriman. Oleh itu, tiada seorang Muslim pun (yang tinggal di sebuah tempat terkena penyakit taun) lalu dia kekal sabar berada di tempat tinggalnya (tanpa resah). Dia juga sedar bahawa tiada sesuatu apa pun yang boleh menimpanya melainkan apa yang ditentutkan Allah, maka dia akan memperolehi pahala seperti orang yang mati syahid (Sahih al-Bukhari).

Ketika mengulas hadith ini, Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan janji ganjaran syahid itu bersifat umum merangkumi semua orang yang sabar dan redha dengan penularan wabak in. Tanpa mengira sama ada dia mati kerana penyakit taun, sembuh kembali selepas sakit atau dipanjangkan usia kemudiannya meninggal kemudian hari tanpa sakit taun (Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari).

Aduhai! Lihatlah betapa Pemurahnya Allah. Sabar dan bertahanlah di rumah anda ketika wabak COVID 19 melanda, kerana dengan berbuat demikian anda sudah beroleh dua pahala besar iaitu pahala yang dijanjikan hadith di atas dan ganjaran kerana mematuhi arahan pemimpin.




Comments are Closed