Projek Sumbangan Buku Islamik

Membaca merupakan salah satu cara mendapatkan pengetahuan dalam pelbagai perkara. Adakah generasi muda hari ini mudah mendapatkan bahan bacaan Islamik yang terbaik dan berkualiti? Pertubuhan Multaqa Asatizah dan Du’at (MURSHID) akan mengadakan Projek Sumbangan Buku Islamik sebagai sokongan kepada kempen Malaysia Membaca.

Projek ini diadakan bertujuan memberikan bahan bacaan berunsurkan agama yang berkualiti kepada sekolah-sekolah terpilih di sekitar Malaysia. Sekolah-sekolah terpilih dimaksudkan ialah sekolah yang terletak di luar bandar atau pedalaman. Sekolah baharu dibuka serta sekolah yang kekurangan bahan bacaan terkini juga dipertimbangkan untuk menerima sumbangan buku ini.

Sebagai cadangan, sebuah sekolah menengah akan menerima sumbangan buku bernilai RM1000 secara keseluruhan. Manakala, sebuah sekolah rendah akan menerima sumbangan buku bernilai RM500. Buku-buku ini akan diletakkan di pusat sumber sekolah tersebut.

Sehubungan dengan itu, MURSHID memerlukan derma bagi menjayakan projek ini. Sebarang derma boleh didepositkan kepada akaun Maybank Islamic (Pertubuhan Multaqa Asatizah dan Du’at @ MURSHID -564799117561). Para penyumbang diingatkan agar menuliskan informasi ‘buku’ sebagai rujukan sekiranya membuat bayaran secara dalam talian.

Para penyumbang juga boleh memberikan bukti sumbangan berserta nama penuh dan nombor kad pengenalan kepada e-mel: admin@murshid.my untuk resit pengecualian cukai.

Pihak penganjur amat berbesar hati sekiranya ada hebahan dibuat untuk melancarkan perjalanan program ini. Sebarang pertanyaan boleh dibuat melalui talian: 03-6177 4612 atau 011-2080 1636 (pada waktu pejabat).

DESIGN POSTER


Comments are Closed