RAMADHAN SEUMPAMA YUSUF ALAIHISSALAM

Oleh: Ustaz Syaari Ab Rahman

Terdapat dua belas bulan dalam setahun.
Ia seumpama dua belas orang-orang anak-anak Nabi Ya’qub عليه السلام .
Ramadhan bersama sebelas bulan itu seumpama Yusuf عليه السلام bersama saudara-saudaranya.
Yusuf menjadi anak paling dicintai Ya’qub, seumpama Ramadhan yang dicintai al-Rahman علام الغيوب.
1. Segunung tinggi mana pun dosa-dosa saudara-saudara Yusuf, akhirnya pertemuan di musim ketiadaan makanan itulah menyebabkan mereka mendapat keampunan dan pembebasan dari celaan ( لَا تَثْرِيبَ عَلَيْكُمُ الْيَوْمَ ۖ يَغْفِرُ اللَّهُ لَكُمْ ۖ وَهُوَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ )
Itulah umpamanya Ramadhan, bulan yang siangnya kita menjauhi makanan, itulah bulan yang menjanjikan keampunan dan pembebasan dari dosa walau sebanyak mana pun ia pernah dilakukan.
2. Barang-barang yang diberikan saudara-saudara Yusuf kepada al-‘Aziz tidak sempurna, penuh kecacatan sehingga tidak layak untuk diberikan kepada kerajaan al-‘Aziz ( وَجِئْنَا بِبِضَاعَةٍ مُّزْجَاةٍ فَأَوْفِ لَنَا الْكَيْلَ وَتَصَدَّقْ عَلَيْنَا ).
Namun, kesungguhan datang mengadap dan memohon belas ihsan itulah penyebab bermulanya detik al-‘Aziz menyatakan dirinya yang sebenar, yang memaafkan saudara-saudaranya dan mahu mereka mendapat kesenangan di negara al-‘Aziz, tiada lagi kelaparan dan kebuluran.
Itulah umpamanya Ramadhan. Amalan yang selama ini kita kerjakan, hakikatnya penuh kecatatan.
Namun, kesungguhan untuk kembali kepada al-Rahman, itulah sebab-sebab pemaafan dan pengampunan diberikan, ketaqwaan dianugerahkan agar dengan iman dan taqwa itulah lebih tenang menghadapi ujian kehidupan mendatang ( يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ )
3. Saudara-saudara Yusuf seramai sebelas orang lelaki. Penampilan dan keindahan yang diberikan Allah kepada mereka menyebabkan manusia pasti suka memandang ke arah mereka dan mengetahui lebih lanjut perihal mereka.
Sehinggalah Ya’qub perlu memerintahkan mereka berstrategi apabila memasuki Mesir ( وَقَالَ يَا بَنِيَّ لَا تَدْخُلُوا مِن بَابٍ وَاحِدٍ وَادْخُلُوا مِنْ أَبْوَابٍ مُّتَفَرِّقَةٍ ۖ ).
Namun, dengan kelebihan kesemua sebelas orang saudara-saudara Yusuf, hanya qamish Yusuf jualah yang dapat merawat mata Ya’qub sehingga dapat melihat semula.
Ia seumpama sebelas bulan selain Ramadhan. Setiap bulan ada kelebihan tersendiri.
Namun beruntunglah mereka yang dapat menghidu dan menikmati wanginya Ramadhan, wanginya sunnah-sunnah صلى الله عليه وسلم semasa Ramadhan, menghidupkan malam-malamnya dengan al-Qur’an, meninggalkan perbuatan dosa dan keji waktu siang.
Agar akhirnya pulihlah mata hati, kembali melihat apa yang selama ini tidak dapat dilihat kerana dalam kegelapan, kembali melihat indahnya percaturan Allah SWT, setiap kesulitan akan berakhir dengan kesenangan.
Bayi dalam kandungan akan lahir ke dunia selepas 9 bulan. Bulan Ramadhan ialah bulan ke 9 dalam kalendar hijrah.
Sesungguhnya mereka yang melalui Ramadhan dan menyempurnakan kesemua hak-haknya sebelum ia meninggalkan kita, lahirlah kita selepas Ramadhan seperti bayi yang baru dilahirkan, memulakan diari baru kehidupan tanpa noda tiada dosa.
‎اللهم اجعلنا من المقبولين الفائزين بتمام الرحمة والمغفرة والعتق من النيران، وصلى الله وسلم على سيدنا وحبيبنا بدر التمام محمد عليه الصلاة وأفضل السلام
Diadaptasi dan diberi pengubahsuian dari sumber asal :
1. Risalah رمضان يوسف الزمان في عين يعقوب الإيمان oleh al-Imam Ibnul Jauzi رحمه الله (wafat 597 H) dari kitabnya بستان الواعظين ورياض السامعين.
2. Tulisan Prof. Madya Dr. Abd al-Tawwab Mustafa Khalid dari UNISHAMS (boleh layari http://www.lahaonline.com/articles/view/45983.htm)
Wallahu a’lam

93991557_10222457758213814_7067769307232468992_n

Comments are Closed