TADABBUR PILIHAN JUZUK 10 – BERANI KAMU UBAH NAMA BULAN!

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Malam tadi kami Qiyam juzuk 10 seiring dengan malam ke 10 Ramadhan. Antara Tafsir ayat pilihan yang bagus kita perhatikan adalah:

إِنَّمَا النَّسِيءُ زِيَادَةٌ فِي الْكُفْرِ يُضَلُّ بِهِ الَّذِينَ كَفَرُوا يُحِلُّونَهُ عَامًا وَيُحَرِّمُونَهُ عَامًا لِيُوَاطِئُوا عِدَّةَ مَا حَرَّمَ اللَّهُ فَيُحِلُّوا مَا حَرَّمَ اللَّهُ زُيِّنَ لَهُمْ سُوءُ أَعْمَالِهِمْ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْكَافِرِينَ (37)

Ertinya: Sesungguhnya perbuatan mengundurkan (kehormatan itu dari satu bulan ke satu bulan yang lain) adalah menambah kekufuran yang menjadikan orang-orang kafir itu tersesat kerananya. Mereka menghalalkannya pada satu tahun dan mengharamkannya pada tahun yang lain, supaya mereka dapat menyesuaikan bilangan (bulan-bulan yang empat) yang telah diharamkan Allah (berperang di dalamnya); dengan itu mereka menghalalkan apa yang telah diharamkan oleh Allah. Perbuatan buruk mereka itu dihias dan dijadikan indah (oleh Syaitan) untuk dipandang baik oleh mereka. Dan (ingatlah) Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang kafir (al-Tawbah 9:37).

Ubah nama bulan? Tak tercapai dek akal sihat kita ada orang sanggup berbuat demikian. Tapi itulah hakikat yang pernah berlaku pada zaman jahiliah di Tanah Arab. Bulan yang 12 bermula daripada Muharram adalah ciptaan Allah! Ia hak mutlak Allah di alam ini. Usahkan Allah, kita pun pasti geram mengacip gigi jika ada sesiapa memandai mengubah susun atur kedudukan barang kita di rumah. Inilah sebabnya dalam ayat 36 al-Tawbah Allah tegaskan dia Pencipta dan Penyusun kedudukan semua bulan:

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ (36)

Ertinya: Sesungguhnya bilangan bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati (Dhu al-Qa’dah, Dhu al-Hijjah, Muharram & Rejab). Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah bersama orang yang bertaqwa (al-Tawbah 9:36).

Kita tertanya-tanya mengapa manusia boleh mengubah nama bulan? Tidak lain kerana kepentingan diri sendiri. Ia dilakukan oleh pembesar Arab pada zaman Jahiliah bagi menyesuaikan nama bulan mengikut nafsu mereka. Contohnya, ketika perang melawan musuh hampir mendapat kemenangan, bulan haram menjengah (Dhu al-Qa’dah, Dhu al-Hijjah, Muharram & Rejab). Jika mereka berhenti pada waktu kecederaan itu, musuh akan terlepas. Lalu si ketua akan mengisytiharkan nama bulan berikutnya dengan nama bulan lain dan bukannya bulan Haram bagi memastikan kemenangan milik mereka. Selain itu, ada juga yang mengubah bulan haji ke bulan lain apabila musim haji berlaku dalam musim panas. Pastinya perniagaan dalam musim panas kurang menguntungkan. Dosa mereka sangat besar kerana menghalalkan sesuatu yang diharamkan Allah, juga mengharamkan bulan yang tidak dihukum haram oleh Allah. Jenayah ini bukan calang-calang! Ia jenayah mengubah ketetapan Allah. Jenayah ini pernah dilakukan Junadah bin ‘Awf bin Umayyah al-Kinani pada zaman jahiliah (Tafsir Ibn Kathir).

Saya pernah terbaca, antara satu sebab mengapa Rasulullah SAW tidak menunaikan haji pada tahun ke 9 Hijri walaupun pada waktu itu Mekah sudah dikuasai orang Islam adalah kerana kitaran bulan yang dirosakkan orang jahiliah belum pulih sepenuhnya. Kitaran asal hanya pulih pada tahun ke 10 Hijri. Walaupun begitu, ini sekadar satu andaian sesetengah ulama Tafsir.

Kesimpulannya, kita jangan sesekali memandai-mandai mencabar kuasa dan hak Allah. Jika putih kata Allah, jangan berani cuba mengatakannya hitam atau kelabu kerana tindakan itu bakal mengundang murka dan laknat Allah. Contohnya, jika Allah kata arak dan judi itu haram, jangan pula kita kata ia haram jika tiada permit, setelah permit diluluskan maka ia halal. Jika Allah haramkan zina, jangan pula kita halalkannya atas nama cinta dan persetujuan bersama lelaki dan wanita. Mohon dijauhkan Allah daripada pemikiran sebegini. Semoga Allah selamatkan kita semua daripada sebarang jenayah mengubah hukum Allah.

95252944_10217163838433449_6817618708127547392_n




Comments are Closed