TADABBUR PILIHAN JUZUK 10 – KAMU MESTI MILIKI KEKUATAN LONTARAN

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Malam tadi kami Qiyam juzuk 10 seiring dengan malam ke 10 Ramadhan. Antara Tafsir ayat pilihan yang bagus kita perhatikan adalah:

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِنْ دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لَا تُظْلَمُونَ (60)

Ertinya: Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan daripada pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya (al-Anfal 8:60).

Ayat ini menyatakan umat Islam perlu memiliki kekuatan fizikal dalam bentuk tentera yang perkasa dan teknologi persenjataan yang hebat. Perhatikan 2 sudut utama ayat ini:

1) KEKUATAN. Allah mendatangkan perkataan – قوة – tanpa ALIF dan LAM. Apa bezanya? Dalam bicara Bahasa Arab sebarang perkataan yang tiada ALIF dan LAM dipanggil lafaz NAKIRAH yang membawa maksud yang lebih umum. Oleh itu terjemahan paling tepat kepada perkataan –قوة – dalam ayat ini adalah “(SEDIAKAN) APA SAHAJA JENIS KEKUATAN.” Kekuatan ketenteraan yang dimaksudkan Allah adalah kekuatan yang sesuai dengan zaman. Apa sahaja teknologi terkini yang berkuasa perlu dimiliki umat Islam bagi menjamin kemenangan dan menggerunkan musuh dalam sesebuah peperangan.

Selain itu, ketika mentafsirkan maksud KEKUATAN dalam ayat ini Baginda SAW bersabda:

أَلَا إِنَّ الْقُوَّةَ الرَّمْيُ أَلَا إِنَّ الْقُوَّةَ الرَّمْيُ أَلَا إِنَّ الْقُوَّةَ الرَّمْيُ

Ertinya: Ketahuilah! Sesungguhnya (maksud) kekuatan itu adalah (kuasa) LONTARAN. Baginda mengulang sabdanya ini sebanyak 3 kali (Sahih Muslim, hadith no 3541).

Masya-Allah! Ini antara tanda mukjizat Baginda SAW yang berbicara dengan lafaz merentas zaman. Jika kita perhatikan, dalam peperangan dahulu sampai sekarang, kuasa lontaran seperti panah, peluru dan peluru berpandu menjadi factor utama kekuatan ketenteraan.

2) PERANG SARAF UNTUK MENGGERUNKAN MUSUH. Kekuatan ketenteraan yang dipamerkan sangat berguna untuk menggerunkan musuh. Perang saraf sebegini sekurang-kurang boleh mencegah daripada berlakunya perang, kerana apabila perang tercetus belum tentu kemenangan milik kita. Cegah sebelum berlaku dipraktik secara meluas dalam ilmu perubatan. Seorang doktor yang bijaksana pastinya mahu mencegah sebarang penyakit sebelum ia tercetus. Kebijaksanaan mencegah perang sebelum tercetus turut dipesan oleh Rasulullah SAW:

إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي بَعْضِ أَيَّامِهِ الَّتِي لَقِيَ فِيهَا انْتَظَرَ حَتَّى مَالَتْ الشَّمْسُ ثُمَّ قَامَ فِي النَّاسِ خَطِيبًا قَالَ أَيُّهَا النَّاسُ لَا تَتَمَنَّوْا لِقَاءَ الْعَدُوِّ وَسَلُوا اللَّهَ الْعَافِيَةَ فَإِذَا لَقِيتُمُوهُمْ فَاصْبِرُوا وَاعْلَمُوا أَنَّ الْجَنَّةَ تَحْتَ ظِلَالِ السُّيُوفِ

Ertinya: Rasulullah SAW pada suatu ketika sedang bersiap untuk menghadapi musuh sehingga matahari mulai gelincir. Baginda kemudiannya berucap kepada para sahabatnya: “Wahai sekelian manusia JANGAN SESEKALI BERHARAP AGAR BERTEMBUNG DENGAN MUSUH, sebaliknya pohonlah kepada Allah akan kesejahteraan. Apabila kamu (terpaksa) bertemu dengan musuh maka sabarlah dan ketahuilah bahawa syurga itu berada di bawah naungan pedang.” (Sahih al-Bukhari, hadith no 2744 dan Sahih Muslim, hadith no 3276).

95615020_10217163336580903_5269728265769058304_n




Comments are Closed