TADABBUR PILIHAN JUZUK 11 – AL-QURAN UBAT JANTUNG?

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Malam tadi kami Qiyam juzuk 11 seiring dengan malam ke 11 Ramadhan. Antara Tafsir ayat pilihan yang bagus kita perhatikan adalah:

يَاأَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَتْكُمْ مَوْعِظَةٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَشِفَاءٌ لِمَا فِي الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ (57) قُلْ بِفَضْلِ اللَّهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَلِكَ فَلْيَفْرَحُوا هُوَ خَيْرٌ مِمَّا يَجْمَعُونَ (58)

Ertinya: Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi pengajaran daripada Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang yang beriman. Katakanlah (wahai Muhammad) “kedatangan Al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayang-Nya, maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak kekal)”. (Yunus 10:57-58).

Ayat ini menjelaskan al-Quran adalah ubat kepada “sesuatu” yang berada dalam dada. Apa agaknya objek tersebut? Ayuh lihat sabda Nabi SAW:

أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ

Ertinya: Ketahuilah bahawa dalam tubuh ada seketul daging, apabila ia elok maka eloklah keseluruhan tubuh. Jika ia rosak maka rosaklah keseluruhan tubuh. Ketahuilah ia adalah hati (jantung) (Sahih al-Bukhari, hadith no 50 dan Sahih Muslim, hadith no 2996).

Semua tahu Jantung berada dalam dada. Dalam bahasa Melayu, jantung ini dikenali hati nurani yang mempengaruhi tindakan manusia. Saya suka gabungkan dua patah ini dengan jantung nurani. Jika jantung nurani ini hitam pekat dan parah sakitnya maka hodohlah perbuatan manusia, sebaliknya jika ia sihat secara rohani maka manusia akan naik darjatnya hampir setanding malaikat.

Mudahnya al-Quran memang ubat kepada jantung nurani manusia. Bagaimana? Minum air rebusan ayat di atas? Tak sampai ke situ. Jantung nurani jatuh sakit kerana akhlak buruk dan akidah sesat. Solusinya terkandung dalam al-Quran. Secara lebih tepat, maksud utama penawar daripada al-Quran adalah penghayatan kepada isi kandungannya yang mampu mengubah minda dan sudut pandang manusia. Ketika mentafsirkan maksud Syifa’ atau penawar dalam ayat di atas, Imam ibn Kathir berkata:

يذهب ما في القلوب من أمراض، من شك ونفاق، وشرك وزيغ وميل، فالقرآن يشفي من ذلك كله

Ertinya: (al-Quran itu) menghilangkan segala macam penyakit dalam hati jantung, yang terdiri daripada syak wasangka, kemunafikan, syirik, sesat dan bengkok (daripada kebenaran). Maka al-Quran (merawat dan) menyembuhkan dari semua (penyakit hati itu) keseluruhannya (Tafsir Ibn Kathir pada Tafsiran ayat 57 surah Yunus).

Contoh mudah memahami bagaimana al-Quran boleh menjadi “ubat” penyakit hati atau jiwa adalah:

Pengumpat dan pengkeji tegar yang memerhati ancaman azab bagi dosa lidah dalam al-Quran (al-Hujurat 49:12) dan (al-Humazah 104:1-9) akan berasa gerun dan berfikir panjang sebelum mengumpat. Kegerunan itu mendorongnya berhenti daripada aktiviti mengumpat, maka hatinya yang sakit serta kotor lama kelamaan akan dirawat oleh pemahaman dan penghayatan al-Quran.

Para penyembah berbagai berhala dan tangkal akan insaf berfikir dengan waras setelah memahami logik Allah dalam al-Quran betapa segala macam makhluk selain Allah tak mampu membawa manafaat atau mudarat kepada penyembahnya Perbincangan logik ini boleh dirujuk pada beberapa ayat (al-A’raf 7:194-198, al-Hajj 22:73, Yasin 36:74-75).

Orang yang sukar percaya kebangkitan semula manusia yang mati akan menerima akidah itu setelah memahami logik Allah dalam al-Quran yang menyatakan, proses kejadian manusia jauh lebih mudah berbanding kejadian langit. Jika Allah mampu mencipta langit serta alam semesta yang sangat kompleks, sudah pasti penciptaan atau proses menghidupkan semula manusia jauh lebih mudah bagi Allah. Perbincangan logik ini boleh dirujuk pada beberapa ayat (al-Hajj 22:5-7, Yasin 36:78-81, Ghafir 40:57, al-Nazi’at 79:27-33).

Ayuh ubah cara fikir kita dengan al-Quran. Ia bukan sekadar jampi yang dihembus pada bengkak atau pening, tetapi penghayatan mendalam kepada makna ayatnya.

95254479_10217174480259488_2861054771597410304_n




Comments are Closed