TADABBUR PILIHAN JUZUK 11 – FIRAUN SEMPAT TAUBAT 3 KALI?

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Malam tadi kami Qiyam juzuk 11 seiring dengan malam ke 11 Ramadhan. Antara Tafsir ayat pilihan yang bagus kita perhatikan adalah:

وَجَاوَزْنَا بِبَنِي إِسْرَائِيلَ الْبَحْرَ فَأَتْبَعَهُمْ فِرْعَوْنُ وَجُنُودُهُ بَغْيًا وَعَدْوًا حَتَّى إِذَا أَدْرَكَهُ الْغَرَقُ قَالَ آمَنْتُ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا الَّذِي آمَنَتْ بِهِ بَنُو إِسْرَائِيلَ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ (90) آلْآنَ وَقَدْ عَصَيْتَ قَبْلُ وَكُنْتَ مِنَ الْمُفْسِدِينَ (91) فَالْيَوْمَ نُنَجِّيكَ بِبَدَنِكَ لِتَكُونَ لِمَنْ خَلْفَكَ آيَةً وَإِنَّ كَثِيرًا مِنَ النَّاسِ عَنْ آيَاتِنَا لَغَافِلُونَ (92)

Ertinya: Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah dia (pada saat yang genting itu): (1) “AKU PERCAYA, BAHAWA (2) TIADA TUHAN MELAINKAN YANG DIPERCAYAI OLEH BANI ISRAIL, DAN (3) AKU ADALAH DARI ORANG YANG BERSERAH DIRI (MENURUT PERINTAH)”. (Allah berfirman): “Adakah sekarang (baharu engkau beriman), padahal sesungguhnya engkau dari dahulu telah kufur derhaka, dan engkau telahpun menjadi dari orang yang melakukan kerosakan? “Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil itibar). Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda kekuasaan Kami!” (Yunus 10:90-92).

Dalam ayat di atas Allah gambarkan Firaun melafaz taubatnya sebanyak 3 kali. Malang sekali waktu pilihannya menghantar borang taubat sudah tamat. Umpamanya menghantar permohonan selepas tarikh tutup. Masakan penganjur sudi menjeling borang itu? Taubat masih boleh diterima sekiranya kena pada masanya. Bila tarikh akhir taubat?

هَلْ يَنْظُرُونَ إِلَّا أَنْ تَأْتِيَهُمُ الْمَلَائِكَةُ أَوْ يَأْتِيَ رَبُّكَ أَوْ يَأْتِيَ بَعْضُ آَيَاتِ رَبِّكَ يَوْمَ يَأْتِي بَعْضُ آَيَاتِ رَبِّكَ لَا يَنْفَعُ نَفْسًا إِيمَانُهَا لَمْ تَكُنْ آَمَنَتْ مِنْ قَبْلُ أَوْ كَسَبَتْ فِي إِيمَانِهَا خَيْرًا قُلِ انْتَظِرُوا إِنَّا مُنْتَظِرُونَ

Ertinya: Apa (lagi yang ditunggu mereka yang tidak beriman itu?) mereka tidak menunggu melainkan kedatangan malaikat (yang mencabut nyawa mereka), atau kedatangan (azab) Tuhanmu, atau kedatangan sebahagian daripada tanda Tuhanmu (yang menjadi alamat hari kiamat). Pada hari datangnya sebahagian daripada tanda Tuhanmu itu, tidak berguna lagi iman seseorang yang tidak beriman sebelum itu, atau yang tidak berusaha mengerjakan kebaikan mengenai imannya. Katakanlah: “Tunggulah kamu (akan apa yang kamu berhak mendapatnya), dan kami pun sebenarnya menunggu (akan apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kepada kami)” (al-An’am 6.158).

Ayat ini menyebut waktu PERTAMA pintu taubat ditutup. Ia disokong sebuah hadith:

لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ مِنْ مَغْرِبِهَا فَإِذَا رَآهَا النَّاسُ آمَنَ مَنْ عَلَيْهَا فَذَاكَ حِينَ { لَا يَنْفَعُ نَفْسًا إِيمَانُهَا لَمْ تَكُنْ آمَنَتْ مِنْ قَبْلُ }

Ertinya: Kiamat tidak akan berlaku sehinggalah matahari terbit dari Barat. Apabila manusia melihat kejadian itu, semua yang berada di bumi akan beriman. Akan tetapi itulah saatnya yang {tidak berfaedah lagi iman seseorang yang tidak beriman sebelum itu, atau yang tidak berusaha mengerjakan kebaikan mengenai imannya (Sahih al-Bukhari, hadith no 4269, 6025 dan Sahih Muslim, hadith no 226).

Juga hadith Rasulullah SAW yang menyebut waktu KEDUA pintu taubat ditutup. Kesilapan Fir’awn adalah taubatnya dipohon pada saat ini:

إِنَّ اللَّهَ يَقْبَلُ تَوْبَةَ الْعَبْدِ مَا لَمْ يُغَرْغِرْ

Ertinya: Sesungguhnya Allah akan menerima taubat seorang hamba selagi rohnya belum sampai ke kerongkong (Sunan al-Tirmidhi, hadith no 3460 dan Sunan Ibn Majah, hadith no 4243).

Besar sekali bahana angkuh dan bertangguh. Jika kena pada masa dan tempatnya, sekali taubat sudah cukup untuk mendapat rahmat Allah kerana rahmat-Nya jauh lebih luas berbanding murka-Nya. Keangkuhan Fir’awn menghalangnya unutk bertaubat lebih awal. Pada saat genting nyawa sampai ke kerongkong, barulah taubat dan syahadah mahu dilafazkan, namun apa gunanya nasi sudah menjadi bubur dan harapan juga sudah berkubur.

Penyesalan dan penolakan 3 kali taubat Fir’awn ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada semua agar jangan menangguhkan taubat. Ayuh guna peluang dalam limpahan rahmat Allah pada Ramadhan ini untuk segera dan sentiasa bertaubat. Jangan jadi seperti Firaun!




Comments are Closed