TADABBUR PILIHAN JUZUK 11 – JEMAAH MASJID QUBA’ DIPUJI KERANA KEBERSIHAN

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Malam tadi kami Qiyam juzuk 11 seiring dengan malam ke 11 Ramadhan. Antara Tafsir ayat pilihan yang bagus kita perhatikan adalah:

لَا تَقُمْ فِيهِ أَبَدًا لَمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَى مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَنْ تَقُومَ فِيهِ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَنْ يَتَطَهَّرُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ

Ertinya: Jangan engkau sembahyang di masjid itu (Masjid Dhirar yang dibina orang munafik) selamanya, kerana sesungguhnya masjid (Qubaa’ yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. DALAM MASJID ITU ADA LELAKI YANG SUKA (MENGAMBIL BERAT) MEMBERSIHKAN (MENSUCIKAN) DIRINYA; DAN ALLAH MENGASIHI ORANG YANG MEMBERSIHKAN DIRI MEREKA (ZAHIR DAN BATIN) (al-Tawbah 9:108).

Selepas turunnya ayat ini, Rasulullah SAW terpegun dengan pujian Allah kepada Jemaah Masjid Quba’. Lantas segera dihantar wakil bertanya kepada mereka apa rahsianya sehingga mengundang pujian Allah dalam ayat ini. Rupanya mereka akan membersihkan kemaluan dan tempat menunaikan hajat “DENGAN AIR” setiap kali selesai menunaikan hajat (Sunan al-Tirmidhi, hadith no 3025 dan Musnad Ahmad hadith no 22714).

Kisah ini menyebut prinsip kebersihan dalam Islam. Kisah ini pula kekal termaktub dalam al-Quran sehingga kiamat kerana Allah mahu umat Islam mengutamakan kebersihan tanpa mengira di mana mereka berada. Setelah faham kisah ini, kita sepatutnya mendidik diri dan semua Muslim agar menjaga kebersihan tandas Masjid.

Bayangkan apa akan berlaku jika Jemaah Masjid jahil teknik membersihkan diri selepas ke tandas. Sudahlah diri tidak bersih, dibawa pula najis yang mungkin melekat di kaki dan anggota badan yang lain ke dalam Masjid, lalu tanpa disedari najis sudah mencemari ruang solat Masjid. Jangan main-main! Kencing yang tak bersih mampu mengundang azab kubur! Ngerinya! Pada suatu hari Rasulullah SAW bersama para sahabatnya melewati sebuah kubur, lalu baginda berkata:

يُعَذَّبَانِ ، وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ ، ثُمَّ قَالَ : بَلَى ، كَانَ أَحَدُهُمَا لا يَسْتَتِرُ مِنْ بَوْلِهِ ، وَكَانَ الآخَرُ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ

Ertinya: Mereka berdua (dalam kubur ini) sedang diazab, dan sebab mereka diazab bukanlah (kerana jenayah yang) besar pun (tapi kesannya sangat teruk). Rasulullah kemudiannya berkata: Sebenarnya dia memang dosa yang besar; seorang daripada mereka kencing secara terbuka. (Dalam riwayat lain disebut) “DIA DIAZAB KERANA TIDAK BENAR-BENAR BERSIH DARI KENCINGNYA. Manakala yang seorang lagi diazab kerana berjalan dengan umpatan (melaga-lagakan orang) (Sahih al-Bukhari, hadith o 209, 211, 1273, 5592 dan Sunan al-Nasa’i hadith no 31, 2041).

Kepada pengurusan Masjid, lebihkan peruntukan untuk tandas Masjid. Biar ia harum, suci dan boleh digunakan tanpa was-was. Biar ia bertaraf tandas 5 bintang. Kalau perlu letakkan poster adab masuk ke tandas pada bahagian luar tandas bersama ayat dan hadithnya kerana ia mencerminkan kesempurnaan Islam. Nanti pengunjungnya berkata:

“Untung sekali mengunjung tandas masjid ini, hajat dapat dilepas dalam suasana yang bersih, ilmu Islam pun dapat.”

Selain itu, Masjid Quba’ sangat istimewa kerana Rasulullah SAW sangat mencintainya dan selalu datang ke sini setiap hari Sabtu sama ada berjalan kaki atau menunggang kenderaan (Sahih Muslim, hadith no 2484). Bukan setakat itu, ganjaran berwuduk dari rumah (baca hotel untuk situasi sekarang) dan solat di Masjid Quba’ sama seperti menunaikan satu umrah:

مَنْ خَرَجَ حَتَّى يَأْتِيَ هَذَا الْمَسْجِدَ يَعْنِي مَسْجِدَ قُبَاءٍ فَيُصَلِّيَ فِيهِ كَانَ كَعَدْلِ عُمْرَةٍ

Ertinya: Sesiapa yang keluar dari rumahnya (lalu) mendatangi Masjid Quba’ dan bersolat padanya, (pahalanya) sama seperti (mengerjakan) satu umrah (Musnad Ahmad, hadith no 15414 dan Mustadrak al-Hakim, hadith no 4246 ).

95215569_10217172547451169_2363861918529093632_n




Comments are Closed