TADABBUR PILIHAN JUZUK 11 – JOM JADI WALI ALLAH!

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Malam tadi kami Qiyam juzuk 11 seiring dengan malam ke 11 Ramadhan. Antara Tafsir ayat pilihan yang bagus kita perhatikan adalah:

أَلَا إِنَّ أَوْلِيَاءَ اللَّهِ لَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ (62) الَّذِينَ آمَنُوا وَكَانُوا يَتَّقُونَ (63) لَهُمُ الْبُشْرَى فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الْآخِرَةِ لَا تَبْدِيلَ لِكَلِمَاتِ اللَّهِ ذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (64)

Ertinya: Ketahuilah! Sesungguhnya para wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. “(PARA WALI ALLAH ITU IALAH) (1) ORANG YANG BERIMAN SERTA MEREKA PULA (2) SENTIASA BERTAQWA.” Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang mengembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada (sebarang perubahan pada janji Allah yang demikian itulah kejayaan yang besar (Yunus 10:62-64).

Setakat pengalaman saya mengajar Tafsir al-Quran kepada orang awam, ada dua topik kegemaran orang awam; cerita Jin dan Wali Allah. Jika kedua topik ini dibuka, mata yang mengantuk akan segera terbeliak, masa yang suntuk akan terbuka luas diberi tambahan.

Menurut ayat di atas, kriteria menjadi Wali Allah Cuma dua sahaja; BERIMAN PENUH KEPADA SEMUA RUKUN IMAN dan SENTIASA KEKAL BERTAQWA KEPADA ALLAH. Aduhai! Jika kriteria menjadi Wali begitu mudah pastinya bumi akan dipenuhi keamanan dan kedamaian. Tapi bukan begitu hakikatnya, bumi ini dipenuhi onak duri jenayah dan dosa manusia. Perlu diingat! Al-Quran membuat tawaran secara terbuka agar kita semua CUBA SEDAYA MAMPU DAN BERTUKAR MENJADI WALI ALLAH SUATU HARI NANTI. Umpamanya al-Quran seolah-olah membawa slogan:

“Now Everybody Can become Wali.”

Cuma silap kita apabila meletakkan watak Wali dalam kerangka penuh keajaiban yang mustahil dicapai manusia. Lalu kita berkata, mustahil nak jadi Wali, kita orang biasa sahaja. Cuba ubah paradigma berfikir tentang wali! Syarat utama menjadi Wali bukanlah karamah serta keajaiban seperti para Wali besar dalam sejarah Islam. Allah sebutkan 2 kriteria dalam ayat di atas untuk menggalakkan kita AGAR BEIRMAN PENUH KEPADA ALLAH dan SENTIASA BERTAQWA DALAM KERANGKA SELALU WASPADA MENJAGA LARANGAN-NYA serta MELAKUKAN SEPENUH HATI SEGALA SURUHAN-NYA. Jika mampu menjiwai 2 syarat ini, maka kita sudah dianggap Wali pada Allah. Mudahnya orang beriman yang soleh adalah Wali kecil walaupun masih jauh darjatnya dengan para wali hebat seperti Maryam ibu Nabi Isa AS, 10 sahabat dijamin syurga, semua sahabat, tabi’in, semua ulama’ mazhab dan ramai lagi.

Panjang lagi sebenarnya cerita Wali Allah ini. Saya tutup topik ini dengan peringatan Imam al-Syafie bagi melengkapkan makna Wali Allah sebenar:

بل إذا رأيتم الرجل يمشي على الماء ويطير في الهواء فلا تغتروا به حتى تعرضوا أمره على الكتاب والسنة،

Ertinya: Jika kamu melihat seorang lelaki berjalan atas air atau terbang di udara, maka jangan terpedaya dengan kelebihan itu sehinggalah kamu menilai dirinya mengikut neraca al-Quran dan al-Sunnah (Tafsir Ibn Kathir pada tafsiran ayat al-Baqarah 2:35):

Ayuh penuhi 2 kriteria saranan Allah dalam ayat di atas untuk meletakkan kita dalam Liga para Wali Allah walaupun masih dalam “liga ketiga.” Masuk dahulu liga ketiga, kemudian usahalah untuk tambah ilmu dan amal. Insya-Allah lama kelamaan kita akan maju ke “liga pertama” bersama bersama para wali besar Islam yang lain. Jangan hanya fikir mahu mencapai karamah kerana ia bonus kurniaan Allah pada sesetengah Wali-Nya sahaja. Jika kita tak dikurniakan Karamah sekalipun tak mengapa, asal Allah redha kepada kita setelah berusaha sekuat hati memenuhi 2 kriteria di atas.




Comments are Closed