TADABBUR PILIHAN JUZUK 12 – CUMA 10 SURAH PUN TAK MAMPU?

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Malam tadi kami Qiyam juzuk 12 seiring dengan malam ke 12 Ramadhan. Antara ayat pilihan yang bagus dihayati:

أَمْ يَقُولُونَ افْتَرَاهُ قُلْ فَأْتُوا بِعَشْرِ سُوَرٍ مِثْلِهِ مُفْتَرَيَاتٍ وَادْعُوا مَنِ اسْتَطَعْتُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ (13) فَإِلَّمْ يَسْتَجِيبُوا لَكُمْ فَاعْلَمُوا أَنَّمَا أُنْزِلَ بِعِلْمِ اللَّهِ وَأَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ فَهَلْ أَنْتُمْ مُسْلِمُونَ (14)

Ertinya: Bahkan mereka menuduh dengan mengatakan: “Dia (Muhammad) yang mencipta Al-Quran itu! ” katakanlah (wahai Muhammad): “(Jika demikian tuduhan kamu), maka cubalah buat serta datangkan “sepuluh surah rekaan” yang sebanding dengan al-Quran itu, dan panggilah siapa sahaja yang kamu sanggup memanggilnya, yang selain Allah, jika betul kamu orang yang benar.“ Oleh itu, jika mereka (penolong kamu) tidak dapat melaksanakan permintaan kamu (untuk membuat surah yang sebanding dengan Al-Quran), maka ketahuilah bahawa Al-Quran itu diturunkan hanyalah menurut pengetahuan Allah, dan bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. Setelah (terbukti hakikat yang demikian) maka adakah kamu mengakui Islam dan menurut aturannya? (Hud 11:13-14).

Dalam ayat ini Allah mencabar Musyrikin Quraysh yang degil tegar menentang Rasulullah SAW di Mekah dahulu untuk mencipta sekadar 10 surah. Jika kita teliti al-Quran, kita mungkin hairan kerana angka surah yang dicabar-cipta agak tidak konsisten. Ada cabaran sebuah al-Quran, ada pula 10 surah dan ada juga cabaran mencipta satu surah. Ayuh saya hilangkan segala kekeliruan anda itu. Sebenarnya, setelah Baginda SAW muncul di Mekah dan membawa al-Quran, penduduk Mekah terpegun kagum mendengar baris ayat al-Quran yang dibaca Nabi. Mereka tahu itu bukan kalam biasa kerana kualiti ayat dan isinya yang luar biasa. Pun begitu kerana degil mereka tetap menolaknya dan menuduh Baginda mencipta al-Quran hasil cedokan kitab lampau. Mereka juga berkata:

وَإِذَا تُتْلَى عَلَيْهِمْ آيَاتُنَا قَالُوا قَدْ سَمِعْنَا لَوْ نَشَاءُ لَقُلْنَا مِثْلَ هَذَا إِنْ هَذَا إِلَّا أَسَاطِيرُ الْأَوَّلِينَ

Ertinya: Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami, mereka berkata: “Sesungguhnya kami telah mendengarnya. Kalau kami mahu, nescaya kami dapat mengatakan (kata-kata) seperti (Al-Quran) ini. (Al-Quran) ini tidak lain hanyalah cerita cerita dongeng orang dahulu kala” (al-Anfal 8:31).

Lalu Allah mencabar mereka untuk mencipta sebuah al-Quran ekoran cakap besar mereka:

قُلْ لَئِنِ اجْتَمَعَتِ الْإِنْسُ وَالْجِنُّ عَلَى أَنْ يَأْتُوا بِمِثْلِ هَذَا الْقُرْآنِ لَا يَأْتُونَ بِمِثْلِهِ وَلَوْ كَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيرًا

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri“(al-Isra’ 17:88).

Rupanya cabaran itu sangat berat dan besar untuk mereka. Setelah menunggu beberapa ketika, cabaran itu tidak disahut, lalu Allah menurunkan cabaran menjadi HANYA SEPULUH SURAH. Cabaran itulah yang disebut dalam surah Hud ayat 13 di atas. Setelah masa berlalu, cabaran mencipta 10 surah pun tak mampu, lalu Allah mengecilkan cabaran menjadi HANYA SATU SURAH. Tuntas kali ini, Allah mematikan terus hujah mereka dengan firman-Nya:

وَإِنْ كُنْتُمْ فِي رَيْبٍ مِمَّا نَزَّلْنَا عَلَى عَبْدِنَا فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِنْ مِثْلِهِ وَادْعُوا شُهَدَاءَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِينَ (23) فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا وَلَنْ تَفْعَلُوا فَاتَّقُوا النَّارَ الَّتِي وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ أُعِدَّتْ لِلْكَافِرِينَ (24)

Ertinya: Dan kalau kamu berada dalam keraguan tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), MAKA CUBALAH BUAT DAN DATANGKANLAH SATU SURAH YANG SEBANDING DENGAN AL-QURAN ITU, dan panggil-lah orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang yang benar. MAKA KALAU KAMU TIDAK DAPAT MEMBUATNYA, DAN SUDAH TENTU KAMU TIDAK DAPAT MEMBUATNYA, maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang kafir (al-Baqarah 2:22-24).

Pendek kata, sehebat mana sekalipun manusia, mereka tak mampu menandingi kehebatan Allah. Tinggi sekali hikmah dan logik Allah yang mengutus Baginda SAW yang tidak pandai membaca dan menulis dengan sebuah kitab ajaib. Ia sebenarnya satu petunjuk mudah apa yang dibawa Muhammad SAW bukan dari ciptaannya tetapi dari Tuhan Pencipta alam:

وَمَا كُنْتَ تَتْلُو مِنْ قَبْلِهِ مِنْ كِتَابٍ وَلَا تَخُطُّهُ بِيَمِينِكَ إِذًا لَارْتَابَ الْمُبْطِلُونَ (48)

Ertinya: Dan engkau (wahai Muhammad) tidak pernah tahu membaca sesebuah kitab pun sebelum turunnya Al-Quran ini, dan tidak pula tahu menulisnya dengan tangan kananmu; (kalaulah engkau dahulu pandai membaca dan menulis) tentulah ada alasan bagi orang kafir yang menentangmu akan berasa ragu (tentang kebenaranmu) (al-‘Ankabut 29:48).

Tiada guna kagum dengan mukjizat al-Quran jika kita tak ambil manafaat dengan mendalami keajaiban itu. Ayuh dampingi al-Quran secara menyeluruh untuk merasai keajaiban mukjizatnya. Jangan hanya terhenti pada seni baca atau lenggok Tajwidnya sahaja, bahkan dalami dan galilah segenap sudutnya bersama penghayatan. Itulah tanda iman sebenar kepada al-Quran.

95249036_10217179853073805_1461498386380226560_n




Comments are Closed