TADABBUR PILIHAN JUZUK 12 – ISTIQAMAH MEMUTIHKAN KEPALA?

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Malam tadi kami Qiyam juzuk 12 seiring dengan malam ke 12 Ramadhan. Antara ayat yang mampu memutihkan kepala kita adalah:

فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Ertinya: Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh istiqamah di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan (Hud 11:112).

Ayat ini tegas didatangkan Allah dengan “lafaz arah” FASTAQIM – MAKA HENDAKLAH KAMU ISTIQAMAH kepada Nabi SAW. Lafaz Istiqamah licin sahaja ditutur lidah, namun ia tidak selicin praktiknya. Kenapa pula memutih-ubankan kepala? Kisahnya pada suatu hari Sayyidina Abu Bakar RA bertanya Baginda SAW:

قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَدْ شِبْتَ قَالَ شَيَّبَتْنِي هُودٌ وَالْوَاقِعَةُ وَالْمُرْسَلَاتُ وَعَمَّ يَتَسَاءَلُونَ وَإِذَا الشَّمْسُ كُوِّرَتْ

Ertinya: Abu Bakar RA berkata; “Engkau sudah beruban Wahai Rasulullah!” Baginda menjawab; “(Isi kandungan) surah Hud, al-Waqi’ah, al-Mursalat, al-Naba’ dan al-Takwir menyebabkan aku beruban” (Sunan al-Tirmidhi, hadith no 3219).

Mengapa sampai beruban? Ia adalah kiasan kepada betapa beratnya isi kandungan semua surah tersebut yang menceritakan perihal kiamat. Untuk surah Hud pula, Abdullah Ibn ‘Abbas RA sepupu Nabi menyatakan ayat arahan istiqamah itu sangat sukar dilaksanakan sehingga seakan ia memutihkan kepala baginda SAW (Tafsir al-Razi).

Istiqamah memang penting dalam agama. Dalam sebuah hadith Rasulullah SAW berpesan kepada sahabatnya agar turut istiqamah dalam imannya kepada Allah:

أَنَّ رَجُلًا قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَخْبِرْنِي أَمْرًا فِي الْإِسْلَامِ لَا أَسْأَلُ عَنْهُ أَحَدًا بَعْدَكَ قَالَ قُلْ آمَنْتُ بِاللَّهِ ثُمَّ اسْتَقِمْ

Ertinya: Seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah beritahu padaku suatu perkara dalam Islam (yang cukup untukku bertanya padamu) tanpa aku perlu bertanya sesiapapun selepasmu. Rasulullah menjawab: Sebutlah aku beriman kepada Allah, kemudian berpegang teguhlah (dengannya) (Musnad Ahmad, hadith no 14870).

Bukan setakat Rasulullah SAW, Nabi Musa dan Harun AS turut diarahkan agar istiqamah dalam perjuangan mereka menentang kezaliman Fir’awn:

قَالَ قَدْ أُجِيبَتْ دَعْوَتُكُمَا فَاسْتَقِيمَا وَلَا تَتَّبِعَانِّ سَبِيلَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ

Ertinya: Allah berfirman: “Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua; “OLEH ITU HENDAKLAH KAMU TETAP ISTIQAMAH (MENJALANKAN PERINTAHKU SETERUSNYA)”, dan janganlah kamu menurut jalan orang yang tidak mengetahui (peraturan janji-Ku)” (Yunus 10:89).

Bawalah Istiqamah seluas mungkin dan jangan kurung maknanya hanya dalam kandang politik, sosial, muamalat atau penghayatan Sunnah sahaja. Kita perlu pancarkan makna istiqamah secara menyeluruh seiring dengan sifat Islam yang syumul.

Jika ada hafiz al-Quran yang istiqamah mengulang kaji hafazan tetapi gagal memahami atau menghayati ayat yang saban hari dibacanya, dia belum benar-benar istiqamah. Jika ada pejuang politik Islam, pejuang akidah atau pejuang amalan Sunnah Rasulullah yang istiqamah dalam medan masing-masing, tetapi gagal istiqamah menjaga akhlak ketika berselisih pandangan, mereka belum benar-benar istiqamah.

Allah itu Maha Adil. Walau istiqamah sangat sukar dilakukan, namun tuaiannya sangat manis. Ia sudah mula dirasai oleh para pejuang semasa di dunia, setelah melangkah ke alam barzakh dan setelah bangkit di akhirat kelak (Tafsir Ibn Kathir):

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنْتُمْ تُوعَدُونَ
Ertinya: Sesungguhnya orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu (Fussilat 41:30).

Marilah kita sama-sama menyinsing lengan, melipat kaki seluar dan mengatur langkah dengan gigih agar mampu terus istiqamah dalam memenuhi tuntutan agama. Agama ini adalah pakaian insan yang tidak boleh ditanggalkan sehingga mati. Meninggalkan istiqamah dalam sebahagian sudut agama boleh diumpamakan seperti seorang manusia yang berbaju tanpa seluar. Atau berseluar tanpa baju. Atau lengkap berbaju dan berseluar tetapi sebelah lengan bajunya hilang. Atau lengkap berpakaian tetapi kasutnya hilang sebelah. Pandangan ini nampak sangat janggal dan pelik. Jauhi kejanggalan ini dan kekal-lah istiqamah dengan ajaran Islam secara syumul.

Ayuh ambil keberkatan Ramadhan untuk terus istiqamah. Bak kata Nabi SAW, biar sedikit asal kekal:

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سُئِلَ أَيُّ الْعَمَلِ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ قَالَ أَدْوَمُهُ وَإِنْ قَلَّ

Ertinya: ‘Aisyah RA menceritakan Rasulullah SAW pernah ditanya apakah amalan yang PALING DICINTAI ALLAH? Baginda menjawab: Amalan yang berterusan dilakukan walaupun sedikit jumlahnya (Sahih Muslim, hadith no 1303).

95443426_10217180179401963_6331471115080171520_o

Comments are Closed