TADABBUR PILIHAN JUZUK 12 – PILIH ANTARA DUA, MUSIBAH DUNIA ATAU MUSIBAH AGAMA?

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Malam tadi kami Qiyam juzuk 12 seiring dengan malam ke 12 Ramadhan. Antara ayat yang perlu kita perhati dan hayati:

قَالَتْ فَذَلِكُنَّ الَّذِي لُمْتُنَّنِي فِيهِ وَلَقَدْ رَاوَدْتُهُ عَنْ نَفْسِهِ فَاسْتَعْصَمَ وَلَئِنْ لَمْ يَفْعَلْ مَا آمُرُهُ لَيُسْجَنَنَّ وَلَيَكُونًا مِنَ الصَّاغِرِينَ (32) قَالَ رَبِّ السِّجْنُ أَحَبُّ إِلَيَّ مِمَّا يَدْعُونَنِي إِلَيْهِ وَإِلَّا تَصْرِفْ عَنِّي كَيْدَهُنَّ أَصْبُ إِلَيْهِنَّ وَأَكُنْ مِنَ الْجَاهِلِينَ (33)

Ertinya: (Isteri Aziz atau Zulaikha) berkata (wanita Mesir yang terpotong tangan setelah kagum melihat ketampanan dan karisma Yusuf AS): “Inilah orangnya yang kamu tempelak aku mengenainya! Sebenarnya aku telah memujuknya berkehendakkan dirinya tetapi dia menolak dan berpegang teguh kepada kesuciannya; dan demi sesungguhnya kalau dia tidak melakukan apa yang aku suruh tentulah dia akan dipenjarakan, dan akan menjadi daripada orang yang hina.” Yusuf (merayu kepada Allah dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara daripada apa yang perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan aku daripada tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku jadi daripada orang yang tidak mengamalkan ilmunya“(Yusuf 12:32-33).

Ini kisah yang kita sedia maklum! Isteri Aziz Mesir sangat gilakan Yusuf. Kemuncaknya dia mengugut akan memenjarakan Yusuf jika kehendak nafsu kejinya tidak dipenuhi. Pada waktu itu, Yusuf AS berdoa agar selamat daripada tipu daya wanita itu dan rela dipenjarakan. Pilihan Yusuf ini membawa satu kaedah agama yang penting iaitu “jaga agama jangan sampai terkena musibah.”

Musibah agama? Ramai yang tak tahu rupanya musibah itu ada 2 jenis iaitu; musibah agama dan musibah dunia. Musibah dunia merujuk kepada kesusahan yang menimpa manusia di dunia seperti sakit, letih, rugi dan sebagainya. Musibah dunia mampu menjadi rahmat kepada orang beriman yang redha dengan ujian Allah sebagaimana disebut Rasulullah SAW:

مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلَا وَصَبٍ وَلَا هَمٍّ وَلَا حُزْنٍ وَلَا أَذًى وَلَا غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا إِلَّا كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ

Ertinya: Tiada yang menimpa seorang muslim satu kesusahan, kesakitan, keresahan, kesedihan, kedukaan, bahkan sehingga secucuk duri yang menikamnya melainkan Allah akan menghapus dosanya (Sahih al-Bukhari, hadith no 5210).

Musibah agama pula merujuk tindakan manusia yang merosakkan iman mereka kepada Allah dengan menderhakai Allah atau melakukan dosa. Musibah ini boleh menjadi sebab manusia terhumban ke neraka. Bahkan dalam doanya yang masyhur, Baginda SAW memohon perlindungan daripada terkena musibah agama:

وَلَا تَجْعَلْ مُصِيبَتَنَا فِي دِينِنَا وَلَا تَجْعَلْ الدُّنْيَا أَكْبَرَ هَمِّنَا وَلَا مَبْلَغَ عِلْمِنَا وَلَا تُسَلِّطْ عَلَيْنَا مَنْ لَا يَرْحَمُنَا

Ertinya: Dan janganlah Engkau jadikan musibah/keburukan kami pada agama kami. Dan janganlah Engkau jadikan dunia itu sebagi keutamaan cita-cita kami dan kesudahan ilmu kami. Dan janganlah Engkau jadikan pemerintah kami orang yang tidak bersifat belas kasihan kepada kami (Sunan al-Tirmidhi, hadith no 3424).

Ayat di atas adalah contoh tentang musibah agama dan musibah dunia. Ketika berada di persimpangan antara menderhakai Allah atau dipenjarakan, nabi Yusuf AS memilih penjara kerana baginda tahu susah dunia dalam penjara bukanlah penghujung kehidupannya asal jangan mengundang amarah murka Allah dengan musibah agama seperti zina.

Antara contoh musibah agama yang lain adalah sikap sesetengah Muslim yang tidak sensitif dengan pesta ibadat seperti Ramadhan. Ramadhan atau tidak, sama sahaja kepada mereka. Tidak tergerak jiwa untuk menghias diri dengan ibadat. Juga sikap mengabaikan perebutan mencari Malam al-Qadar ketika Ramadhan sampai ke akhir gairsan kerana SIBUK DENGAN PERSIAPAN HARI RAYA. Sambutlah pesta Malam al-Qadar dahulu sebelum sibuk menyambut Hari Raya.

Ayuh kita bersama menjaga agama kita agar tidak dicarik oleh musibah dosa dan maksiat.

96080814_10217181690839748_7953553814647209984_n




Comments are Closed