TADABBUR PILIHAN JUZUK 12 – TUBUH SURUHANJAYA DIRAJA SIASAT KES ITU

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Malam tadi kami Qiyam juzuk 12 seiring dengan malam ke 12 Ramadhan. Antara ayat pilihan yang perlu kita faham dan hayati adalah:

وَقَالَ الْمَلِكُ ائْتُونِي بِهِ فَلَمَّا جَاءَهُ الرَّسُولُ قَالَ ارْجِعْ إِلَى رَبِّكَ فَاسْأَلْهُ مَا بَالُ النِّسْوَةِ اللَّاتِي قَطَّعْنَ أَيْدِيَهُنَّ إِنَّ رَبِّي بِكَيْدِهِنَّ عَلِيمٌ (50) قَالَ مَا خَطْبُكُنَّ إِذْ رَاوَدْتُنَّ يُوسُفَ عَنْ نَفْسِهِ قُلْنَ حَاشَ لِلَّهِ مَا عَلِمْنَا عَلَيْهِ مِنْ سُوءٍ قَالَتِ امْرَأَتُ الْعَزِيزِ الْآنَ حَصْحَصَ الْحَقُّ أَنَا رَاوَدْتُهُ عَنْ نَفْسِهِ وَإِنَّهُ لَمِنَ الصَّادِقِينَ (51)

Ertinya: Dan (apabila mendengar tafsiran mimpi oleh Yusuf itu) Raja Mesir berkata:” Bawalah dia kepadaku (Aku mahu jumpa Yusuf sendiri)! “Maka tatkata utusan raja datang kepada Yusuf (menjemputnya menghadap raja), Yusuf berkata kepadanya: “Kembalilah kepada tuanmu (rajamu) kemudian tanyakan padanya: Apa halnya wanita yang melukakan tangan mereka? Sesungguhnya Tuhanku Maha Mengetahui tipu daya mereka”. Setelah wanita itu dipanggil), raja bertanya kepada mereka: “Apahal kamu, semasa kamu memujuk Yusuf mengenai dirinya?” Mereka menjawab: Jauh-Nya Allah daripada segala cacat cela, kami tidak mengetahui sesuatu kejahatan terhadap Yusuf”. Isteri Al-Aziz pun berkata: “Sekarang ternyatalah kebenaran (yang selama ini tersembunyi), akulah yang memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya (tetapi dia telah menolak); dan sesungguhnya adalah dia daripada orang yang benar (Yusuf 12:50-51).

Dalam ayat ini Allah menceritakan Nabi Yusuf AS dengan tegas menolak pelawaan pembebasan daripada penjara oleh Raja Mesir. Setelah mendengar Tafsir Nabi Yusuf AS yang luar biasa terhadap mimpinya, sang Raja mahu bertemu dan dengar sendiri dari empunya badan, namun begitu Yusuf AS “menolak pelawaan itu dan mahu namanya dibersihkan terlebih dahulu.”

Berikutan permintaan itu, sang Raja menubuhkan Suruhan Jaya Diraja membuka kembali kes banduan bernama Yusuf yang disumbat ke penjara Mesir beberapa tahun dahulu. Setelah fail dibuka kembali dan para wanita yang terlibat dalam konspirasi memenjarakan Yusuf mengakui kedok mereka dan kesucian maruah Yusuf, baru Baginda AS sanggup keluar.

Soalannya, mengapa Baginda perlu meletakkan syarat sebegitu? Tidak lain, demi menjaga maruahnya yang dicalar fitnah. Baginda manusia terpuji yang menjaga maruah diri. Jika bebas atas ampunan sang Raja sekalipun, orang ramai akan tetap sangsi dan ragu tentang kehormatannya. Bahkan jika Baginda memegang tampuk penting dalam kerajaan Mesir nanti pun, orang ramai atau “netizen” Mesir akan lancang mengutuk:

“Menteri kewangan kita yang baru tu, dahulu masuk penjara sebab bermukah dengan isteri orang! Isteri tuan yang membelanya! Teruk benar perangainya, Tuannya memberi susu, dibalasnya tuba. Memang patut pun dia merengkot mereput dalam penjara. Bebas dari penjara pun kerana “Kabel” Raja. Jadi kita kena hati-hati dengannya, jangan sampai anak isteri kita pula menjadi mangsa rakus nafsunya.”

Jika ini persepsi penduduk Mesir, pasti usahanya membela nasib Mesir yang bakal ditimpa bencana kemarau panjang akan terbantut. Rakyat tunduk tetapi tidak semestinya patuh. Inilah kelebihan sudut pandang seorang Nabi. Maruah perlu dibersihkan agar nama kekal harum dan suci.

Ketika memuji kesabaran Nabi Yusuf AS menjaga maruahnya, Baginda SAW merendah diri dengan sabdanya:

وَلَوْ لَبِثْتُ فِي السِّجْنِ طُولَ مَا لَبِثَ يُوسُفُ لَأَجَبْتُ الدَّاعِيَ

Ertinya: Jika aku dipenjara sepanjang tempoh Yusuf dipenjarakan, (lalu ada tawaran bebas), sudah pasti aku terima tawaran si penawar (Sahih al-Bukhari, hadith no 3121, 4326 dan Sahih Muslim, hadith no 216, 4369).

Ternyata sikap Yusuf yang berpegang dengan slogan “MARUAHKU LEBIH UTAMA DARIPADA BEBASKU” direkodkan Allah dalam al-Quran agar ia menjadi panduan kita semua sampai kiamat. Ayuh jaga maruah kita dan jangan sesekali mencalar maruah orang.

95714530_10217182269294209_5459093446864142336_o




Comments are Closed