TADABBUR PILIHAN JUZUK 13 – KENALI 4 MALAIKAT PENJAGA KITA

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Malam tadi kami Qiyam juzuk 13 seiring dengan malam ke 13 Ramadhan. Antara ayat pilihan yang perlu kita faham dan hayati adalah:

لَهُ مُعَقِّبَاتٌ مِنْ بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ يَحْفَظُونَهُ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ

Ertinya: Bagi setiap seorang (manusia) ada malaikat penjaga yang silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah (al-Ra’d 13:11).

Ayat di atas menerangkan peranan dua malaikat utusan Allah yang menjaga kita setiap waktu. Kedua malaikat ini diposisikan Allah di hadapan dan belakang setiap manusia. Mereka dikenali sebagai – معقبات – PARA MALAIKAT YANG SILIH BERGANTI kerana mereka bertukar giliran pada 2 waktu sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

يَتَعَاقَبُونَ فِيكُمْ مَلَائِكَةٌ بِاللَّيْلِ وَمَلَائِكَةٌ بِالنَّهَارِ وَيَجْتَمِعُونَ فِي صَلَاةِ الْفَجْرِ وَصَلَاةِ الْعَصْرِ ثُمَّ يَعْرُجُ الَّذِينَ بَاتُوا فِيكُمْ فَيَسْأَلُهُمْ رَبُّهُمْ وَهُوَ أَعْلَمُ بِهِمْ كَيْفَ تَرَكْتُمْ عِبَادِي فَيَقُولُونَ تَرَكْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ وَأَتَيْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ

Ertinya: Para malaikat datang silih berganti pada kalian pada waktu malam dan waktu siang. Mereka berkumpul ketika waktu solat subuh dan Asar. Kemudian yang menjaga kalian di waktu malam naik. Kemudian Allah Yang Maha Mengetahui urusan mereka, bertanya kepada malaikat-malaikat tersebut, “Bagaimanakah keadaan hamba-Ku ketika kalian tinggalkan? Mereka menjawab, “Kami tinggalkan mereka ketika mereka sedang solat dan kami datang juga ketika mereka sedang solat” (Sahih al-Bukhari, hadith no 522, 6878, 6932 dan Sahih Muslim, hadith no 1001).

Selain dua malaikat ini, kita turut ditemani 2 malaikat dari arah kanan dan kiri yang bertugas merekodkan semua amal baik dan buruk kita. Mereka digelar Raqib dan ‘Atid:

إِذْ يَتَلَقَّى الْمُتَلَقِّيَانِ عَنِ الْيَمِينِ وَعَنِ الشِّمَالِ قَعِيدٌ (17) مَا يَلْفِظُ مِنْ قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ (18)

Ertinya: Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; YANG SATU DUDUK DI SEBELAH KANANNYA, DAN YANG SATU LAGI DI SEBELAH KIRINYA. Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya) (Qaf 50:17-18).

Perkara sama disebut dalam ayat lain (al-An’am 6:61). Pun begitu, ada pula bertanya dengan sentap:

“Ustaz! Jika benar bagai dikata ada malaikat menjaga kita sepanjang masa, mengapa masih ada yang luka, cedera, sakit ditimpa musibah. Bahkan ada yang langsung mati! Nampak tak seiring dengan ayat di atas.”

Jawapannya mudah sahaja, perhatikan hujung ayat (al-Ra’d 13:11) di atas. Allah tegaskan dengan lafaz – يحفظونه من أمر الله – “MEREKA MENJAGA MANUSIA DENGAN ARAHAN ALLAH.” Hujung ayat ini menjelaskan para malaikat ini hanya bertugas dalam bidang kuasa yang dibenarkan Allah untuk mereka. Apabila datang takdir Allah yang lain ke atas si hamba, para malaikat tidak mampu berbuat apa-apa kerana mereka hanya hamba suruhan Allah dan bukannya penentu takdir hamba.

Kesimpulannya, iman kita kepada kewujudan empat malaikat ini sepatutnya menjadikan kita lebih beringat kerana kamera litar tertutup seliaan mereka sentiasa mengawasi kita sepanjang masa.

95585468_10217191420802991_1830853934474854400_n




Comments are Closed