TADABBUR PILIHAN JUZUK 13 – YUSUF TIDAK MENCURI!

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Malam tadi kami Qiyam juzuk 13 seiring dengan malam ke 13 Ramadhan. Antara ayat pilihan yang perlu kita faham dan hayati adalah:

فَبَدَأَ بِأَوْعِيَتِهِمْ قَبْلَ وِعَاءِ أَخِيهِ ثُمَّ اسْتَخْرَجَهَا مِنْ وِعَاءِ أَخِيهِ كَذَلِكَ كِدْنَا لِيُوسُفَ مَا كَانَ لِيَأْخُذَ أَخَاهُ فِي دِينِ الْمَلِكِ إِلَّا أَنْ يَشَاءَ اللَّهُ نَرْفَعُ دَرَجَاتٍ مَنْ نَشَاءُ وَفَوْقَ كُلِّ ذِي عِلْمٍ عَلِيمٌ (76) قَالُوا إِنْ يَسْرِقْ فَقَدْ سَرَقَ أَخٌ لَهُ مِنْ قَبْلُ فَأَسَرَّهَا يُوسُفُ فِي نَفْسِهِ وَلَمْ يُبْدِهَا لَهُمْ قَالَ أَنْتُمْ شَرٌّ مَكَانًا وَاللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا تَصِفُونَ (77)

Ertinya: Ertinya: Maka Yusuf pun mulailah memeriksa tempat barang mereka sebelum memeriksa tempat barang saudara kandungnya (Bunyamin) kemudian dia mengeluarkan benda yang hilang itu dari tempat simpanan barang saudara kandungnya. Demikianlah Kami jayakan rancangan untuk (menyampaikan hajat) Yusuf. Tidaklah ia akan dapat mengambil saudara kandungnya menurut undang-undang raja, kecuali jika dikehendaki oleh Allah. (Dengan ilmu pengetahuan), Kami tinggikan pangkat kedudukan sesiapa yang Kami kehendaki, dan setiap orang yang berilmu pengetahuan, ada lagi di atasnya yang lebih mengetahui, Mereka berkata:” Kalau dia mencuri, maka (tidaklah pelik), kerana sesungguhnya saudara kandungnya (Yusuf ketika kecil) pernah juga mencuri dahulu. (Mendengar kata-kata yang menyinggung itu) maka Yusuf pun menyembunyikan perasaannya, dan tidak menyatakannya kepada mereka, sambil berkata (dalam hati): “Kamulah yang lebih buruk keadaannya; dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu katakan itu” (Yusuf 12:76-77).

Ayat di atas menceritakan strategi Nabi Yusuf AS yang mahu adiknya Bunyamin kekal di Mesir. Kalau mahu disukat, rindu Yusuf kepada adiknya Bunyamin sudah memuncak. Lama sungguh Baginda terpisah dengan Bunyamin. Bukan sehari atau sebulan tapi sudah puluhan tahun lamanya. Lantaran itu, setelah Bunyamin sampai, Yusuf berusaha mengekalkannya di Mesir dengan memasukkan piala diraja ke dalam karung Bunyamin. Tindakan ini bukan perangkap licik Yusuf bagi menganiaya Bunyamin sebaliknya berlaku atas arahan wahyu. Frasa “KECUALI JIKA DIKEHENDAKI OLEH ALLAH” dalam ayat 76 di atas menjadi bukti Yusuf bertindak dengan panduan wahyu.

Setelah barang itu ditemui dalam karung Bunyamin, tanpa tunggu saudara mereka yang lain mengutuk Bunyamin yang seibu dengan Yusuf. Seolah mahu disahkan tabiat mencuri Bunyamin sama seperti tabiat Yusuf kerana keduanya berkongsi “genetik pencuri.” Masya-Allah! Mereka sepatutnya membela Bunyamin dan bukannya mencurahkan minyak ke dalam api yang baru menyala. Tambah parah apabila mereka cuba melibatkan watak Yusuf yang sudah lama hilang akibat aniaya mereka sendiri. Soalannya, adakah benar Yusuf pernah mencuri bagai yang didakwa? Apa kisahnya?

Ketika mengulas kisah tuduhan Yusuf pernah mencuri semasa kecil, para ulama Tafsir membawa 2 riwayat (Tafsir Ibn Kathir):

1) Yusuf ketika kecil pernah mencuri berhala sembahan datuknya (bapa kepada ibunya). Tujuan baginda mencuri berhala itu adalah untuk menghentikan penyembahan berhala dan mentawhidkan Allah. Tindakan ini sepatutnya dipuji. Lagipun pada waktu itu Yusuf masih kanak-kanak yang masih tiada tanggungan dosa pahala. Bahkan anak kepada ‘Amru bin al-Jamuh RA yang bernama Mu’adh pernah mencuri berhala ayahnya dan membuangnya bagi menghalang syirik ayahnya berleluasa. Tindakan Mu’adh akhirnya menjadi sebab pengislaman ‘Amru bin al-Jamuh (Sirah Ibn Hisyam).

2) Nabi Yusuf semasa kecilnya dibela oleh ibu saudaranya. Setelah meningkat dewasa, nabi Ya’qub meminta agar Yusuf dikembalikan ke pangkuan keluarganya. Ibu saudara Yusuf (juga kakak nabi Ya’qub) sangat sayangkan Yusuf lalu merancang untuk mengekalkan Yusuf bersamanya. Dia kemudiannya mendakwa kehilangan sesuatu dan setelah dicari, barangnya itu ditemui ada pada Yusuf. Menurut syariat mereka, pencuri perlu menjadi hamba atau berkhidmat kepada pemilik barang yang dicuri. Setelah itu, Yusuf ditahan oleh ibu saudaranya itu sehingga beliau meninggal dunia.

Jika diperhatikan, kedua kisah ini sebenarnya menafikan Yusuf pernah menjadi pencuri. Satunya menunjukkan usaha Yusuf menghapuskan syirik, manakala satu lagi menunjukkan Yusuf dituduh oleh ibu saudaranya yang mahu Yusuf terus kekal bersamanya.

Ketika dituduh sedemikian oleh saudaranya, Yusuf hanya berdiam diri, tidak menyerang balas dan tidak menafikan tuduhan tersebut. Baginda hanya berdiam diri dan mengeluh dalam hatinya sahaja. Apa yang boleh kita pelajari dari sikap baginda ini? Baginda AS meletakkan “AKAL DI HADAPAN LIDAH” kerana lidah yang mendahului akal akan menimbulkan banyak masalah kepada empunya lidah. Benar kata pepatah “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.” Awasilah lidah kita. Fikirlah sedalam mungkin sebelum lidah menghamburkan kata. Orang yang “mengunci lidah dengan akal” akan lebih selamat daripada bencana. Kunci lidah sepatutnya dibuka hanya pada keadaan yang sesuai sahaja. Itulah contoh manusia bijaksana.

 




Comments are Closed