TADABBUR PILIHAN JUZUK 14 – SANGGUP KONGSI HARTA DENGAN HAMBA?

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Malam tadi kami Qiyam juzuk 14 seiring dengan malam ke 14 Ramadhan. Antara ayat pilihan yang perlu kita faham dan hayati adalah:

وَاللَّهُ فَضَّلَ بَعْضَكُمْ عَلَى بَعْضٍ فِي الرِّزْقِ فَمَا الَّذِينَ فُضِّلُوا بِرَادِّي رِزْقِهِمْ عَلَى مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَهُمْ فِيهِ سَوَاءٌ أَفَبِنِعْمَةِ اللَّهِ يَجْحَدُونَ

Ertinya: Dan Allah telah melebihkan sebahagian dari kamu atas sebahagian yang lain pada rezeki yang dikurniakanNya; DALAM PADA ITU, ORANG YANG DIBERI KELEBIHAN ITU TIDAK MAHU MEMBERIKAN SEBAHAGIAN DARI KELEBIHAN HARTANYA KEPADA HAMBA MEREKA, SUPAYA ORANG ITU DAPAT SAMA MEMPUNYAI HARTA. Maka mengapa mereka tergamak mengingkari nikmat Allah itu dengan perbuatan syirik? (al-Nahl 16:71).

Allah bermain logik dengan ayat ini bagi menyedarkan para penyembah berhala, tangkal dan azimat sepanjang zaman betapa idea perkongsian kuasa antara Allah dengan makhluk ciptaan-Nya sangat mengarut dan tak boleh diterima akal sihat. Usahkan Allah sebagai Satu-satu-Nya Tuhan Pencipta alam, kita pun tak mahu berkongsi harta dengan “hamba atau pekerja bawahan kita.” Katakanlah gaji anda sebulan RM 15 ribu, sanggupkah anda kongsi separuh dengan orang gaji di dapur rumah anda? Pastinya manusia yang waras tak akan buat begitu.

Ketukan logik yang sama ditegaskan Allah dalam ayat lain:

ضَرَبَ لَكُمْ مَثَلًا مِنْ أَنْفُسِكُمْ هَلْ لَكُمْ مِنْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ مِنْ شُرَكَاءَ فِي مَا رَزَقْنَاكُمْ فَأَنْتُمْ فِيهِ سَوَاءٌ تَخَافُونَهُمْ كَخِيفَتِكُمْ أَنْفُسَكُمْ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآَيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْقِلُونَ

Ertinya: Dia mengemukakan kepada kamu satu misal perbandingan daripada keadaan diri kamu sendiri, iaitu: RELAKAH KAMU MENERIMA SEBAHAGIAN HAMBA ABDI YANG KAMU MILIKI ITU MENJADI RAKAN KONGSI KAMU PADA HARTA BENDA YANG KAMI TELAH KURNIAKAN KEPADA KAMU, SUPAYA DENGAN PENERIMAAN KAMU ITU, MEREKA DENGAN KAMU MENJADI SAMA-SAMA BERHAK PADANYA, SEHINGGA KAMU PUN TIDAK BERANI (MENGURUSKAN HARTA BENDA ITU DENGAN TIADA PERSETUJUAN) MEREKA, SEBAGAIMANA KAMU TIDAK BERANI (BERBUAT DEMIKIAN DENGAN ORANG YANG BERKONGSI DENGAN KAMU – YANG SETARAF DENGAN) DIRI KAMU? Demikianlah Kami jelaskan keterangan satu persatu bagi orang yang menggunakan akal untuk memahaminya( (al-Rum[30:28]).

Tempelak Allah dalam ayat di atas sangat logik bagi menafikan persekutuan-Nya dengan mana-mana makhluk. Jika sesama makhluk pun sudah ada rasa “KEAKUAN” dan enggan berkongsi harta atau kuasa dengan orang lain lebih-lebih lagi dengan orang bawahan, bayangkan pula Keagungan Allah sebagai satu-satunya Tuhan alam semesta.

Situasi hampir sama juga berlaku pada sesetengah orang yang “BERTUHANKAN KERJA DAN MAJIKAN” sehingga sebarang desakan kerja atau perintah si majikan yang bercanggah dengan kehendak Allah dilanggar. Ayuh teguhkan iman dan Tawhid anda. Semoga Allah selamatkan kita daripada kebebalan dan kebodohan manusia yang sudah dijangkiti kuman syirik sebegini.

95143397_10217200789557204_5087959498841128960_n




Comments are Closed