TADABBUR PILIHAN JUZUK 15 – APA DIPERLUKAN IBU BAPA KITA?

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Ayat pilihan yang elok kita faham, belajar dan hadam daripada juzuk 15 sempena hari ke 15 Ramadhan adalah:

وَقَضَى رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِنْدَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُلْ لَهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُلْ لَهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا (23) وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُلْ رَبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا (24)

Ertinya: Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika seorang daripada keduanya, atau keduanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (al-Isra’ 17:23-24).

Ayat ini menyatakan kewajipan setiap Muslim berbakti kepada kedua ibu bapanya sepanjang masa terutama sekali setelah usia mereka meningkat tua. Cabaran sabar dan bakti kepada ibubapa yang tua semakin meningkat kerana keadaan fizikal dan mental mereka yang semakin merosot. Oleh itu, mereka perlu disantuni dengan bahasa dan akhlak terbaik. Selain bakti, setiap Muslim juga perlu mendoakan ibu bapa mereka dengan doa ampunan dan rahmat.

Rugi benar kalau ada anak-anak yang berkira untuk berbakti kepada kedua ibu bapa mereka, apatah lagi dengan doa sependek ayat di atas – رب ارحمهما كما ربياني صغيرا . Ingatlah! Tanpa mereka siapalah kita ini? Jika kita telusuri al-Quran, para nabi AS selalu mendoakan rahmat dan ampunan untuk kedua ibu bapa mereka;

Kisah doa Nabi Nuh AS:

رَبِّ اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِمَنْ دَخَلَ بَيْتِيَ مُؤْمِنًا وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَلَا تَزِدِ الظَّالِمِينَ إِلَّا تَبَارًا (28)

Ertinya: (Nabi Nuh berdoa)”Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku, dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang yang beriman, lelaki dan perempuan (dalam segala zaman); dan janganlah Engkau tambahi orang yang zalim melainkan kebinasaan!” (Nuh 71:28).

Kisah doa Nabi Ibrahim AS:

رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Ertinya: (Nabi Ibrahim AS berdoa) “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan” (Ibrahim 14:41).

Cuma perlu diingat, Nabi Ibrahim AS mendoakan kesejahteraan ayahnya dalam doa ini berikutan janji Baginda lama dahulu sebelum diusir ayahnya keluar dari negerinya (Maryam 19:47-48). Setelah tahu ayahnya mati kufur, Baginda langsung berhenti berdoa untuknya kerana ia dilarang keras oleh Allah (al-Tawbah 9: 113-114).

Sebenarnya bukan setakat doa di atas, banyak lagi cara bakti untuk kedua ibu bapa sebagaimana disebut 2 hadith ini:

عَنْ أَبِي أُسَيْدٍ مَالِكِ بْنِ رَبِيعَةَ السَّاعِدِيِّ قَالَ بَيْنَا نَحْنُ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ جَاءَهُ رَجُلٌ مِنْ بَنِي سَلَمَةَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ هَلْ بَقِيَ مِنْ بِرِّ أَبَوَيَّ شَيْءٌ أَبَرُّهُمَا بِهِ بَعْدَ مَوْتِهِمَا قَالَ نَعَمْ الصَّلَاةُ عَلَيْهِمَا وَالِاسْتِغْفَارُ لَهُمَا وَإِنْفَاذُ عَهْدِهِمَا مِنْ بَعْدِهِمَا وَصِلَةُ الرَّحِمِ الَّتِي لَا تُوصَلُ إِلَّا بِهِمَا وَإِكْرَامُ صَدِيقِهِمَا

Ertinya: Abi Usyad Malik bin Rabi’ah al-Sa’idiy menceritakan; (Pada suatu hari) ketika kami duduk bersama Rasulullah SAW, seorang lelaki daripada Bani Salamah bertanya: “Wahai Rasulullah apakah ada cara bagiku untuk berbuat baik kepada kedua ibu bapaku selepas kematian mereka?” Baginda menjawab: “Ya! (Caranya adalah) dengan bersolat (jenazah kepada mereka dan berdoa kepada mereka), memohon keampunan (Allah) untuk mereka berdua, menunaikan janji mereka selepas kematian mereka berdua (antaranya membayar hutang mereka), menghubung hubungan keluarga yang tidak berkait melainkan dengan hubungan mereka dan memuliakan sahabat mereka berdua (Sunan Abu Dawud, hadith no 4476).

Juga hadith:

عَنْ ابْنِ عُمَرَ أَنَّهُ كَانَ إِذَا خَرَجَ إِلَى مَكَّةَ كَانَ لَهُ حِمَارٌ يَتَرَوَّحُ عَلَيْهِ إِذَا مَلَّ رُكُوبَ الرَّاحِلَةِ وَعِمَامَةٌ يَشُدُّ بِهَا رَأْسَهُ فَبَيْنَا هُوَ يَوْمًا عَلَى ذَلِكَ الْحِمَارِ إِذْ مَرَّ بِهِ أَعْرَابِيٌّ فَقَالَ أَلَسْتَ ابْنَ فُلَانِ بْنِ فُلَانٍ قَالَ بَلَى فَأَعْطَاهُ الْحِمَارَ وَقَالَ ارْكَبْ هَذَا وَالْعِمَامَةَ قَالَ اشْدُدْ بِهَا رَأْسَكَ فَقَالَ لَهُ بَعْضُ أَصْحَابِهِ غَفَرَ اللَّهُ لَكَ أَعْطَيْتَ هَذَا الْأَعْرَابِيَّ حِمَارًا كُنْتَ تَرَوَّحُ عَلَيْهِ وَعِمَامَةً كُنْتَ تَشُدُّ بِهَا رَأْسَكَ فَقَالَ إِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ مِنْ أَبَرِّ الْبِرِّ صِلَةَ الرَّجُلِ أَهْلَ وُدِّ أَبِيهِ بَعْدَ أَنْ يُوَلِّيَ وَإِنَّ أَبَاهُ كَانَ صَدِيقًا لِعُمَرَ

Ertinya: Pada suatu hari Abdullah bin ‘Umar dalam perjalanan ke Mekah dengan menunggang keldai dan memakai serban di kepalanya. Ketika sampai di sebuah tempat beliau terserempak dengan seorang lelaki badwi. Abdullah lantas menegurnya: “Bukankah kamu ini anak si fulan bin si fulan?” Apabila lelaki itu mengakuinya, Abdullah memberikan keldai dan serbannya kepada lelaki tersebut. Selepas itu para teman Abdullah memujinya atas perbuatan tersebut. Berikutan itu Abdullah berkata: “(Tindakanku itu didorong) oleh sebuah hadith yang aku dengar daripada Rasulullah SAW: Antara kebajikan terbaik seorang lelaki adalah berbuat baik kepada orang yang dikasihi oleh bapanya selepas kematiannya.” Menurut maklumat, bapa kepada lelaki badwi itu adalah teman kepada Sayyidina ‘Umar al-Khattab (Sahih Muslim hadith no 4631).

Allah takdirkan kita berada dalam bahtera keluarga kita yang dipandu selia oleh ibu bapa sebagai ujian untuk mendapat bahagia atau derita di dunia dan di akhirat. Ambil-lah peluang ini untuk jadikan bahtera ini sebagai kenderaan ke syurga dan bukannya ke neraka.




Comments are Closed