TADABBUR PILIHAN JUZUK 16 – TAMBAT ILMU DENGAN PENULISAN!

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Ayat pilihan yang elok kita faham, belajar dan hadam daripada juzuk 16 sempena hari ke 16 Ramadhan adalah:

قَالَ فَمَا بَالُ الْقُرُونِ الْأُولَى (51) قَالَ عِلْمُهَا عِنْدَ رَبِّي فِي كِتَابٍ لَا يَضِلُّ رَبِّي وَلَا يَنْسَى (52)

Ertinya: Firaun bertanya lagi: “Jika demikian, bagaimana pula keadaan kaum yang telah lalu?” Nabi Musa menjawab: “Pengetahuan mengenainya ada di sisi Tuhanku, TERTULIS DI DALAM SEBUAH KITAB (LUH MAHFUZ); TUHANKU TIDAK PERNAH KELIRU DAN DIA JUGA TIDAK PERNAH LUPA” (Taha 20:51-52).

Ayat ini menceritakan dialog antara Nabi Musa AS dan Firaun setelah mereka bertemu. Nabi Musa AS mengajak Firaun agar beriman kepada Allah. Dalam sesi soal jawab itu, Firaun yang bijak-licik cuba menduga kesahihan agama Nabi Musa dengan bertanya beberapa soalan antaranya; jika benar agama Musa ini benar, bagaimana nasib umat lampau yang tidak pernah kenal pun Tuhan sembahan Musa.

Pada waktu itu, Allah ilhamkan Nabi Musa dengan jawapan di atas iaitu; nasib baik buruk iman kufur atau syurga neraka umat lampau diketahui secara sempurna oleh Allah. Dalam ayat lain Allah tegaskan perihal luasnya pengetahuan-Nya merangkumi seluruh manusia dahulu, kini dan akan datang:

وَإِنَّا لَنَحْنُ نُحْيِي وَنُمِيتُ وَنَحْنُ الْوَارِثُونَ (23) وَلَقَدْ عَلِمْنَا الْمُسْتَقْدِمِينَ مِنْكُمْ وَلَقَدْ عَلِمْنَا الْمُسْتَأْخِرِينَ (24) وَإِنَّ رَبَّكَ هُوَ يَحْشُرُهُمْ إِنَّهُ حَكِيمٌ عَلِيمٌ (25)

Ertinya: Dan sesungguhnya Kamilah yang menghidupkan dan yang mematikan, dan Kamilah yang kekal memiliki segala-galanya. Dan sesungguhnya Kami tahu (perihal) orang yang terdahulu sebelum kamu dan Kami telah tahu (perihal) orang yang terkemudian. Dan sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah yang menghimpunkan mereka semuanya; sesungguhnya Dia Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui (al-Hijr 15:23-25).

Maklumat tentang nasib semua makhluk dijelaskan Musa kepada Firaun sudah termaktub dalam Kitab Allah atau Luh Mahfuz. Rekod itu tepat benar kerana Allah pasti tidak tersilap atau terlupa. Antara mesej utama ayat Taha di atas adalah kepentingan mencatat atau merekodkan sesuatu. Kalau Allah yang tidak mungkin tersilap atau terlupa masih merekodkan segalanya, manusia yang serba lemah lagi mudah lupa semestinya mencatit segala sesuatu atau perlu ada mekanisme tertentu untuk mengekalkan maklumat.

Antara pengajaran penting bagi kita ketika membaca ayat ini adalah kepentingan alat untuk merekodkan ilmu yang dipelajari. Alat itu adalah pena dan kertas sama ada dalam bentuk klasik (pena kertas) atau moden (alat perakam, telefon pintar, berbagai teknologi maklumat). Keduanya juga menjadi sebab perkembangan tamadun manusia sejak zaman berzaman. Bahkan ayat pertama yang diturunkan menyebut peranan pena sebagai alat penyampaian ilmu (al-‘Alaq 96:1-5). Oleh itu, manafaatkan segala ni’mat teknologi moden hari ini untuk menuntut dan menambat ilmu pengetahuan sebanyak mungkin. Melihat kepada perkembangan luar biasa teknologi penyampaian maklumat, seolah-olah mustahil untuk kita kekal jahil. Oh! Alangkah ruginya manusia yang sibuk menyalah guna ni’mat ini ke laluan yang tidak berfaedah.

Menutup nota tadabbur kali ini, saya petik kata-kata Sayyidina Umar RA berpesan:

قيدوا العلم بِالْكِتَابِ

Ertinya: Tambatlah ilmu dengan penulisan (Mustadrak al-Hakim, hadith no 330, 331 dan Sunan al-Darimi, hadith no 506).

95758200_10217217294769824_1054922973821009920_n




Comments are Closed