TADABBUR PILIHAN JUZUK 17 – KISAH DOA HEBAT TIGA ORANG NABI

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Ayat pilihan yang elok kita faham, belajar dan hadam daripada juzuk 17 sempena hari ke 17 Ramadhan adalah koleksi ayat berkaitan doa 3 orang Nabi AS:

Nabi Ayyub AS:

وَأَيُّوبَ إِذْ نَادَى رَبَّهُ أَنِّي مَسَّنِيَ الضُّرُّ وَأَنْتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ (83) فَاسْتَجَبْنَا لَهُ فَكَشَفْنَا مَا بِهِ مِنْ ضُرٍّ وَآتَيْنَاهُ أَهْلَهُ وَمِثْلَهُمْ مَعَهُمْ رَحْمَةً مِنْ عِنْدِنَا وَذِكْرَى لِلْعَابِدِينَ (84)

Ertinya: Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “SESUNGGUHNYA AKU DITIMPA PENYAKIT, SEDANG ENGKAULAH SAHAJA YANG LEBIH MENGASIHANI DARIPADA SEGALA (YANG LAIN) YANG MENGASIHANI.” Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya, serta Kami kurniakan kepadanya: keluarganya, dengan seganda lagi ramainya, sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang yang taat kepada Kami (supaya bersabar dan mendapat balasan baik) (al-Anbiya’ 21:83-84).

Kisah doa baginda bukan calang-calang kerana doa ini menjadi sebab baginda sembuh dan beroleh kembali bahagia yang hilang setelah lama diuji Allah. Elok benar kita amalkan doa ini ketika sakit melanda, semoga berkat lafaz lidah Baginda melalui doa segera Allah kabulkan.

Nabi Yunus AS:

وَذَا النُّونِ إِذْ ذَهَبَ مُغَاضِبًا فَظَنَّ أَنْ لَنْ نَقْدِرَ عَلَيْهِ فَنَادَى فِي الظُّلُمَاتِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ (87) فَاسْتَجَبْنَا لَهُ وَنَجَّيْنَاهُ مِنَ الْغَمِّ وَكَذَلِكَ نُنْجِي الْمُؤْمِنِينَ (88)

Ertinya: Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika dia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan dia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka dia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: “SESUNGGUHNYA TIADA TUHAN (YANG DAPAT MENOLONG) MELAINKAN ENGKAU (YA ALLAH)! MAHA SUCI ENGKAU (DARIPADA MELAKUKAN ANIAYA, TOLONGKANLAH DAKU)! SESUNGGUHNYA AKU ADALAH DARI ORANG YANG MENGANIAYA DIRI SENDIRI”. Maka Kami kabulkan permohonan doanya, dan Kami selamatkan dia dari kesusahan yang menyelubunginya; dan sebagaimana Kami menyelamatkannya Kami akan selamatkan orang yang beriman (ketika mereka merayu kepada Kami) (al-Anbiya’ 21:87-88).

Lafaz doa dalam ayat ini sangat istimewa kerana disokong sebuah Hadith Nabi SAW:

دَعْوَةُ ذِي النُّونِ إِذْ دَعَا وَهُوَ فِي بَطْنِ الْحُوتِ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنْ الظَّالِمِينَ فَإِنَّهُ لَمْ يَدْعُ بِهَا رَجُلٌ مُسْلِمٌ فِي شَيْءٍ قَطُّ إِلَّا اسْتَجَابَ اللَّهُ لَهُ

Ertinya: Doa nabi Yunus yang dibacanya ketika dalam perut ikan iaitu “Tiada Tuhan Melainkan Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku tergolong dalam orang yang berlaku zalim” (adalah lafaz doa yang sangat istimewa), tiada seorang pun Muslim yang menggunakan lafaz doa ini melainkan akan dimakbulkan Allah baginya (Sunan al-Tirmidhi, hadis nombor 3427).
Nabi Zakariyya AS:

وَزَكَرِيَّا إِذْ نَادَى رَبَّهُ رَبِّ لَا تَذَرْنِي فَرْدًا وَأَنْتَ خَيْرُ الْوَارِثِينَ (89) فَاسْتَجَبْنَا لَهُ وَوَهَبْنَا لَهُ يَحْيَى وَأَصْلَحْنَا لَهُ زَوْجَهُ إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا وَكَانُوا لَنَا خَاشِعِينَ (90)

Ertinya: Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Zakaria, ketika dia merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “WAHAI TUHANKU! JANGANLAH ENGKAU BIARKAN DAKU SEORANG DIRI (DENGAN TIDAK MENINGGALKAN ZURIAT); DAN ENGKAULAH JUA SEBAIK-BAIK YANG MEWARISI.” Maka Kami perkenankan doanya, dan Kami kurniakan kepadanya (anaknya) Yahya, dan Kami perelokkan keadaan isterinya yang mandul, (untuk melahirkan anak) baginya. (Kami limpahkan berbagai ihsan kepada para rasul itu ialah kerana) sesungguhnya mereka sentiasa berlumba dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami (al-Anbiya’ 21:89-90).

Pernah saya bertemu seorang Tan Sri yang alim. Diceritakannya, kahwin sudah belasan tahun tapi belum dikurniakan anak. Ketika pergi menunaikan umrah, beliau tawaf sunat di Ka’abah sambil tidak putus-putus membaca doa Nabi Zakariyya ini. Alhamdulillah, pulang sahaja dari menunaikan umrah, isterinya mengandung anak mereka.

Semua doa di atas bagus untuk kita baca dan amal kerana ia pernah diucap para nabi. Kita boleh perhatikan secara teliti KEBERKESANAN DOA MEREKA kerana sejurus mereka berdoa, pada pangkal ayat berikutnya Allah mulai dengan perkataan – فَاسْتَجَبْنَا لَهُ – MAKA KAMI PERKENANKAN UNTUKNYA (DOANYA). Perkataan ini secara tidak langsung menunjukkan lafaz doa mereka sangat istimewa untuk kita pakai kerana jaminan pemakbulan terus dijawab Allah sejurus mereka berdoa.

Insan terbaik yang Allah arah kita semua contohi adalah para Nabi AS:

أُولَئِكَ الَّذِينَ هَدَى اللَّهُ فَبِهُدَاهُمُ اقْتَدِهْ قُلْ لَا أَسْأَلُكُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا إِنْ هُوَ إِلَّا ذِكْرَى لِلْعَالَمِينَ

Ertinya: MEREKA (PARA NABI) ITULAH, ORANG YANG TELAH DIBERI PETUNJUK OLEH ALLAH, MAKA IKUTILAH OLEHMU (WAHAI MUHAMMAD) AKAN PETUNJUK MEREKA; Katakanlah: “Aku tidak meminta upah kepada kamu mengenai petunjuk (Al-Quran yang aku sampaikan) itu. Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi penduduk alam seluruhnya (al-An’am 6:90).

Jika mereka insan terbaik yang perlu kita contohi, pastinya doa mereka juga doa terbaik yang perlu kita guna. Semoga Allah kabulkan doa kita semua berikutan tingginya nilai para pengucap doa ini. Insya-Allah!

95713663_10217226976131852_5713173434238763008_o




Comments are Closed