TADABBUR PILIHAN JUZUK 18 – KISAH CAHAYA AJAIB DI ALAM SEMESTA

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Ayat pilihan yang elok kita faham, belajar dan hadam daripada juzuk 18 sempena hari ke 18 Ramadhan adalah:

اللَّهُ نُورُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ مَثَلُ نُورِهِ كَمِشْكَاةٍ فِيهَا مِصْبَاحٌ الْمِصْبَاحُ فِي زُجَاجَةٍ الزُّجَاجَةُ كَأَنَّهَا كَوْكَبٌ دُرِّيٌّ يُوقَدُ مِنْ شَجَرَةٍ مُبَارَكَةٍ زَيْتُونَةٍ لَا شَرْقِيَّةٍ وَلَا غَرْبِيَّةٍ يَكَادُ زَيْتُهَا يُضِيءُ وَلَوْ لَمْ تَمْسَسْهُ نَارٌ نُورٌ عَلَى نُورٍ يَهْدِي اللَّهُ لِنُورِهِ مَنْ يَشَاءُ وَيَضْرِبُ اللَّهُ الْأَمْثَالَ لِلنَّاسِ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ (35)

Ertinya: Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk Allah (Kitab Suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah “misykat” (lubang di dinding untuk melatak lampu) yang berisi (dalamnya) sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak daripada pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu – dengan sendirinya – memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendaki-Nya kepada cahaya hidayah-Nya itu; dan Allah mengemukakan berbagai misal perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha Mengetahui akan segala sesuatu (al-Nur 24:35).

Ayat ini menerangkan Allah adalah satu-satu-Nya Tuhan yang memberi cahaya kepada alam semesta. Percikan anugerah cahaya Allah merangkumi cahaya fizikal yang boleh ditanggap pancaindera dan cahaya petunjuk jiwa. Apabila seseorang disirami cahaya petunjuk dari Allah, jiwanya menjadi lapang saujana mata memandang. Ketika orang lain masih meraba-raba mahu memahami sesuatu isu atau perkara, mata hatinya sudah melihat banyak lapis dan langkah ke hadapan. Mindanya terbuka luas mampu menerima berbagai siraman ilmu. Dadanya mampu menahan ujian hidup walaupun ia seberat batu yang dihempap ke dada di tengah panas padang pasir seperti Bilal. Itulah hebatnya siraman cahaya Allah. Dalam sebuah ayat yang dikaitkan dengan Sayyidina ‘Umar bin al-Khattab (Tafsir al-Tabari), Allah berfirman:

أَوَمَنْ كَانَ مَيْتًا فَأَحْيَيْنَاهُ وَجَعَلْنَا لَهُ نُورًا يَمْشِي بِهِ فِي النَّاسِ كَمَنْ مَثَلُهُ فِي الظُّلُمَاتِ لَيْسَ بِخَارِجٍ مِنْهَا كَذَلِكَ زُيِّنَ لِلْكَافِرِينَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Ertinya: Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan KAMI JADIKAN BAGINYA CAHAYA (IMAN) YANG MENERANGI (SEHINGGA DIA DAPAT MEMBEZAKAN ANTARA YANG BENAR DENGAN YANG SALAH, DAN DIA DAPAT) BERJALAN DENGAN SULUHAN CAHAYA ITU DALAM MASYARAKAT MANUSIA, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah (sebagaimana iman itu diperlihatkan keelokannya kepada orang yang beriman), diperlihatkan pula pada pandangan orang yang kafir itu akan keelokan apa yang mereka telah lakukan (dari perbuatan kufur dan segala jenis maksiat) (al-An’am 6:122).

Kita mungkin terfikir, bagaimana manusia seperti ‘Umar bin al-Khattab, orang soleh atau para ulama ummah sejak zaman berzaman mampu memiliki cahaya yang begitu ekslusif ini? Pandangan mereka seakan tembus mencecah yang rumit dan tidak mampu dilihat oleh manusia biasa. Apa rahsia mereka? Apa amalan zikir atau doa mereka? Apa makanan mereka? Adakah mereka mengamalkan air jampi 30 juzuk al-Quran atau makanan Sunnah? Setelah diteliti, petua utama yang mereka amalkan adalah menghayati Islam sepenuh jiwa. Keikhlasan inilah membuahkan cahaya iman yang terang benderang bak sinar mentari di tengahari. Firman Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَآَمِنُوا بِرَسُولِهِ يُؤْتِكُمْ كِفْلَيْنِ مِنْ رَحْمَتِهِ وَيَجْعَلْ لَكُمْ نُورًا تَمْشُونَ بِهِ وَيَغْفِرْ لَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Ertinya: Wahai orang yang beriman! BERTAQWALAH KAMU KEPADA ALLAH DAN TETAPLAH BERIMAN KEPADA RASULNYA (MUHAMMAD), SUPAYA ALLAH MEMBERI KEPADA KAMU DUA BAHAGIAN DARI RAHMATNYA, DAN MENJADIKAN BAGI KAMU CAHAYA UNTUK KAMU BERJALAN DENGANNYA (di dunia dan pada hari kiamat kelak), serta diampunkannya dosa kamu; dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (al-Hadid 57:28).

Bukan setakat itu, Rasulullah SAW sendiri mengajarkan kita semua agar memohon “CAHAYA” ini dalam setiap penjuru hidup kita. Abdullah bin ‘Abbas pernah melaporkan doa cahaya Baginda itu:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ فِي قَلْبِي نُورًا وَفِي بَصَرِي نُورًا وَفِي سَمْعِي نُورًا وَعَنْ يَمِينِي نُورًا وَعَنْ يَسَارِي نُورًا وَفَوْقِي نُورًا وَتَحْتِي نُورًا وَأَمَامِي نُورًا وَخَلْفِي نُورًا وَعَظِّمْ لِي نُورًا

Ertinya: Ya Allah! Jadikan dalam hatiku, penglihatanku dan pendengaranku cahaya. Jadikan juga dari kananku, kiriku, atasku, bawahku, depanku dan belakangku cahaya. Dan besarkan cahaya ini pada diriku (Sahih al-Bukhari, hadith no 5841).

Ayuh kita berusaha dan berdoa agar cahaya ini menjadi milik kita. Jangan jadi seperti ramai manusia yang celik mata zahirnya tapi kelabu atau gelap mata hatinya sehingga tidak mampu melihat sinaran cahaya Islam dan al-Quran yang sudah sekian lama terpamer di depan mata.

96047624_10217238426418102_4761958291230162944_n




Comments are Closed