TADABBUR PILIHAN JUZUK 19 – AMALAN BAIK JADI DEBU?

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Ayat pilihan yang elok kita faham, belajar dan hadam daripada juzuk 19 sempena hari ke 19 Ramadhan adalah:

وَقَدِمْنَا إِلَى مَا عَمِلُوا مِنْ عَمَلٍ فَجَعَلْنَاهُ هَبَاءً مَنْثُورًا

Ertinya: Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), LALU KAMI JADIKAN DIA TERBUANG SEBAGAI DEBU YANG BERTERBANGAN (al-Furqan 25:23).

Ayat ini menceritakan kepentingan Tawhid dalam kehidupan atau kepentingan mengiktiraf hanya Allah satu-satu-Nya Tuhan yang layak disembah. Bukan Isa, bukan malaikat, bukan jelmaan Tuhan yang diukir indah pada patung atau arca, bukan Uzayr, bukan Zeus, bukan berbagai nama dewa dewi, bukan matahari dan bukan segalanya. Hanya Allah! Inilah asas agama Islam. Berdasarkan ayat di atas, segala amalan baik orang bukan Islam tiada nilai sedikit pun pada Allah di akhirat kelak. Tawhid seumpama passport utama untuk ke syurga. Tanpa Tawhid, amalan yang menggunung sekali pun akan berderai menjadi debu tak bernilai di akhirat kelak, lalu pelaku amal baik itu diheret untuk dihumban ke neraka.

Perkara ini diulang sebut banyak kali dalam al-Quran:

قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُمْ بِالْأَخْسَرِينَ أَعْمَالًا (103) الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا (104) أُولَئِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِ رَبِّهِمْ وَلِقَائِهِ فَحَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فَلَا نُقِيمُ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَزْنًا (105) ذَلِكَ جَزَاؤُهُمْ جَهَنَّمُ بِمَا كَفَرُوا وَاتَّخَذُوا آيَاتِي وَرُسُلِي هُزُوًا (106)

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang yang paling rugi amal perbuatannya? (Iaitu) orang yang sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan”. Merekalah orang yang kufur ingkar akan ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan dengan-Nya; oleh itu gugurlah amal mereka; maka akibatnya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak. (Mereka yang bersifat) demikian, balasannya neraka Jahannam, disebabkan mereka kufur ingkar, dan mereka pula menjadikan ayat-Ku dan Rasul-Ku sebagai bahan ejekan (al-Kahfi 18:103-106).

Juga firman Allah:

مَثَلُ الَّذِينَ كَفَرُوا بِرَبِّهِمْ أَعْمَالُهُمْ كَرَمَادٍ اشْتَدَّتْ بِهِ الرِّيحُ فِي يَوْمٍ عَاصِفٍ لَا يَقْدِرُونَ مِمَّا كَسَبُوا عَلَى شَيْءٍ ذَلِكَ هُوَ الضَّلَالُ الْبَعِيدُ
Ertinya: Bandingan (segala kebaikan amal dan usaha) orang yang kufur ingkar terhadap Tuhannya ialah seperti abu yang diterbangkan angin pada hari ribut yang kencang; mereka tidak memperoleh sesuatu faedah pun dari apa yang mereka telah usahakan itu. Sia-sianya amalan itu ialah kesan kesesatan yang jauh dari dasar kebenaran (Ibrahim 14:18).

Firman Allah:

وَالَّذِينَ كَفَرُوا أَعْمَالُهُمْ كَسَرَابٍ بِقِيعَةٍ يَحْسَبُهُ الظَّمْآَنُ مَاءً حَتَّى إِذَا جَاءَهُ لَمْ يَجِدْهُ شَيْئًا وَوَجَدَ اللَّهَ عِنْدَهُ فَوَفَّاهُ حِسَابَهُ وَاللَّهُ سَرِيعُ الْحِسَابِ

Ertinya: Dan orang yang kafir pula, amalan mereka adalah umpama riak sinaran panas di tanah rata yang disangkanya air oleh orang yang dahaga, (lalu dia menuju ke arahnya) sehingga apabila dia datang ke tempat itu, tidak didapati sesuatu pun yang disangkanya itu; (demikianlah keadaan orang kafir, tidak mendapat faedah dari amalnya sebagaimana yang disangkanya) dan dia tetap mendapati hukum Allah di sisi amalnya, lalu Allah meyempurnakan hitungan amalnya (serta membalasnya); dan (ingatlah) Allah Amat segera hitungan hisabNya (al-Nur 24:39).

Dan banyak lagi (Ali ‘Imran 3:10-11, 116-117]).

Oleh itu, jika anda mempunyai teman bukan Islam yang baik dan dermawan. Kasihanilah mereka dengan mengajaknya kepada Islam agar akhlak mulianya benar-benar memberati neraca amalannya di akhirat.

98175367_10217246596182341_3318491255595335680_n




Comments are Closed