TADABBUR PILIHAN JUZUK 20 – ALLAH AJAR CARA HILANGKAN RASA TAKUT

Oleh: Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim

Ayat pilihan yang elok kita faham, belajar dan hadam daripada juzuk 20 sempena hari ke 20 Ramadhan adalah:

وَأَنْ أَلْقِ عَصَاكَ فَلَمَّا رَآهَا تَهْتَزُّ كَأَنَّهَا جَانٌّ وَلَّى مُدْبِرًا وَلَمْ يُعَقِّبْ يَامُوسَى أَقْبِلْ وَلَا تَخَفْ إِنَّكَ مِنَ الْآمِنِينَ (31) اسْلُكْ يَدَكَ فِي جَيْبِكَ تَخْرُجْ بَيْضَاءَ مِنْ غَيْرِ سُوءٍ وَاضْمُمْ إِلَيْكَ جَنَاحَكَ مِنَ الرَّهْبِ فَذَانِكَ بُرْهَانَانِ مِنْ رَبِّكَ إِلَى فِرْعَوْنَ وَمَلَئِهِ إِنَّهُمْ كَانُوا قَوْمًا فَاسِقِينَ (32)

Ertinya: (Allah mengarahkan Musa) “Dan (sekarang) campakkanlah tongkatmu”. (Dia pun mencampaknya), maka apabila dia melihat tongkatnya itu (menjadi seekor ular besar) bergerak cepat tangkas, seolah-olah seekor ular kecil, dia berpaling melarikan diri dan tidak menoleh lagi. (Allah lantas menyerunya): “Wahai Musa, datanglah kemari dan janganlah engkau takut. Sesungguhnya engkau tergolong daripada orang yang beroleh aman. “Masukkanlah tanganmu melalui belahan dada bajumu, ia akan keluar putih bersinar dengan tiada cacat; DAN KEPITLAH TANGANMU DI CELAH KETIAKMU KETIKA MERASA TAKUT (NESCAYA HILANGLAH TAKUTMU). Yang demikian adalah dua bukti dari Tuhanmu (untuk engkau menunjukkannya) kepada Firaun dan kaumnya. Sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik – derhaka” (al-Qasas 28:31-32).

Ayat ini menceritakan peristiwa perlantikan Nabi Musa AS sebagai Rasul. Perlantikan Baginda sangat mengejutkan! Bayangkan, bagaimana seorang bekas pelarian Mesir dilantik membawa perjuangan besar kepada Maharaja Mesir yang terkenal dengan sifat kejamnya. Allah tahu kegemparan jiwa Musa, oleh itu Allah berikan kepada Baginda mukjizat tongkat bertukar jadi ular dan tangan menjadi putih bersinar. Kedua mukjizat ini tambah menggempar-debarkan Musa! Siapa tak gentar dan gempar, jika tongkat di tangan tiba-tiba bertukar jadi ular besar gesit berlari.

Tindak reflektif Musa yang lari dalam ayat di atas adalah perkara biasa bagi manusia. Usahkan Nabi Musa AS, Junjungan kita Muhammad SAW pun gentar terkejut ketika kali pertama menerima wahyu sehingga Baginda minta segera diselimutkan:

فَقَالَ زَمِّلُونِي زَمِّلُونِي فَزَمَّلُوهُ حَتَّى ذَهَبَ عَنْهُ الرَّوْعُ

Ertinya: (selepas didatangi Jibril dalam gua Hira’, Baginda SAW pulang ketakutan sambil berkata kepada ahli keluarga Baginda): “SELIMUTKAN AKU, SELIMUTKAN AKU.” MEREKA MENYELIMUTKAN NABI SEHINGGA HILANG RASA TAKUT DARIPADANYA……. (Sahih al-Bukhari, hadith no 3 dan Sahih Muslim, hadith no 231).

Menariknya dalam ayat 32 surah al-Qasas di atas, Allah mengajar Nabi Musa AS “CARA MENGHILANGKAN RASA TAKUT” iaitu dengan memekap dua tangannya ke dada. Masya-Allah! Mungkin ini satu teknik berkesan bagi menghilangkan rasa gentar dan takut dalam jiwa. Lihat ulasan Imam Ibn Kathir dalam Tafsir ayat ini:

وربما إذا استعمل أحد ذلك على سبيل الاقتداء فوضع يديه على فؤاده، فإنه يزول عنه ما يجد أو يَخف، إن شاء الله، وبه الثقة.

Ertinya: Boleh jadi jika seseorang meniru cara ini kerana mengikut cara (Nabi Musa), lalu dia meletakkan 2 tangannya pada dadanya (sendiri), ia boleh menghilangkan ketakutannya dengan izin Allah (Tafsir Ibn Kathir).

Ayuh kita cuba, semoga keberkatan kisah ini mampu membantu kita menghilang sebarang rasa takut.

 




Comments are Closed